Sunday, July 31, 2011

Malaysia kekal prestasi di Hollywood


Pasukan Malaysia dengan pakaian seragam 1Malaysia dalam acara majlis perasmian Worldstars Championship ke- 15 di Nokia Theatre, Los Angeles.


SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, jalan menuju ke Hollywood bukan mudah. Ia berliku dan penuh dengan cabaran tidak dijangka.

Meskipun berbagai usaha telah dilakukan dengan persiapan awal bermula semenjak tahun 2010, saat-saat peserta World Championship of Performing Arts (Worldstars Championship) ke-15 mahu berlepas, halangan mendatang jua.

Pun atas semangat besar tidak mengenal kalah, akhirnya langkah bertapak dan Worlstars Championship 2011 terus digegarkan dengan cabaran daripada bakat-bakat seni muda dalam negara kita.

Walaupun, pasukan negara tahun ini tidak sebesar tahun yang sebelumnya dengan penampilan hanya lapan peserta, tetapi semangat dan perjuangan mereka tetap membara dan meningkat demi maruah bangsa dan negara.

Worldstars Championship merupakan pertandingan setaraf Olimpik bagi dunia seni persembahan.

Bermula pada tahun 1997, pertandingan ini dianjurkan setiap tahun oleh para penggiat seni dari Hollywood, New York dan Nashville, Amerika Syarikat. Sudah memasuki edisi ke 15, acara ini telah berlangsung pada 15 hingga 24 Julai di tengah pusat hiburan terkemuka dunia itu.

Menurut Ketua Delagasi Malaysia, Romli Bidin, seperti juga tahun-tahun lalu, ramai penerbit di Hollywood amat teruja dengan persembahan Malaysia terutamanya dalam segmen tarian.

“Kategori tarian merupakan bidang yang amat diminati dan dihormati oleh para juri di sini apabila bercakap tentang kumpulan Malaysia.

“Pasukan Malaysia juga mendapat banyak liputan media selama seminggu berada di Los Angeles. Umpamanya, majalah Hollywood Weekly memaparkan gambar-gambar peserta negara di muka hadapan mereka dengan beberapa muka surat penuh di bahagian dalam.

“Beberapa bahan cetakan untuk mempromosikan Worldstar Championship 2011 juga memaparkan gambar-gambar penari Malaysia.

“Mengikut penerbit di sini mereka suka dengan cara kita memasukkan ciri-ciri tradisi dan kebudayaan dalam tarian kontemporari kita,” katanya.

Jika tahun lalu hampir 50 negara menyertai Worldstars Championship, tahun ini hanya 35 negara sahaja yang bertanding. Ini ekoran daripada masalah kesukaran dan sekatan ketat oleh pihak kerajaan bagi mendapatkan visa ke Amerika Syarikat.

Malah Pengasas dan Pengerusi Worldstars Championship, Griff O'Neil, turut mengakui bahawa isu mendapatkan visa merupakan halangan yang terbesar setiap tahun untuk menjayakan pertandingan Worldstars Championship ini.

2011 prestasi terhebat

Pasukan Malaysia tahun ini diwakili oleh lapan peserta sahaja terdiri daripada kategori vokal, tarian, muzik, lakonan dan model ucapan. Meski kecil penyertaan, Malaysia memperolehi 17 pingat emas, 7 perak dan 3 gangsa, satu pencapaian yang perlu dibanggakan.

Peserta solo vokal diwakili oleh Putri Norizah yang merupakan anak kepada penyanyi 80-an bersuara jantan, Ibnor Riza. Puteri berjaya mengharum nama negara apabila memenangi enam pingat emas dan mencatat rekod peribadi.

Sementara pasukan tarian Tekatari dari Universiti Teknologi MARA mengulangi kecemerlangan negara dengan memenangi hadiah paling berprestij dalam kategori tarian.

Menurut Romli lagi, imej tarian yang dibawakan oleh peserta negara yang bijaksana mengadun unsur moden dan tradisional dalam karakter di pentas, menjadikan kemenangan mutlak berpihak kepada negara sekali lagi.

“Pasukan Tekatari juga telah berpeluang untuk belajar menari bersama Donyelle Denise Jones dan Kenya Clay dari Millennium Dance Complex di Hollywood.

“Mereka juga mendapat tunjuk ajar bagaimana untuk menjalani sesi uji-bakat muzik video.

“Tekatari ternyata berjaya mengulangi kecemerlangan yang sebelum ini dihadiahkan oleh grup Aswara dan Istana Budaya pada dua tahun sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: