|
|
SEANDAINYA anda minat memancing, sudah tentu kesabaran menjadi teman setia setiap kali meluangkan masa melakukan aktiviti tersebut.
Malah, memancing juga berupaya melatih kesabaran diri kerana tanpa sifat itu sukar untuk anda memperoleh hasil yang memuaskan.
Kepuasan yang diperolehi selepas mata kail bersama umpan disambar ikan menjadi faktor utama atlet bola jaring wanita, Noor Atika Md. Radzi menjadikan aktiviti memancing sebagai hobi masa lapangnya ketika berada di kampung halamannya.
Lokasi kampung halaman di Ayer Hitam, Kedah dengan persekitaran menghijau, selain berdekatan dengan sungai menjadikan Noor Atika selesa untuk melontar joran sambil tenang menunggu hasil seperti ikan haruan atau puyu.
Menurut Noor Atika, minat memancing timbul sewaktu di bangku sekolah rendah yang ketika itu sekadar meneman adiknya Mohd. Alif melakukan aktiviti berkenaan sebelum timbul minat mendalam selepas melihat hasil tangkapan yang diperoleh.
"Selalunya ikan yang biasa saya dapat ialah ikan haruan dan puyu kerana ikan itu yang biasa ada di sini.
"Memang sukar digambarkan kegembiraan apabila umpan yang dipasang pada joran disambar ikan, suatu kepuasan yang luar biasa bagi saya. Ada kalanya setiap kali memancing saya mampu memperoleh tiga ekor ikan dengan mengunakan umpan serangga dan cacing.
"Ikan-ikan hasil tangkapan itu biasanya saya akan kongsi bersama jiran-jiran atau melepaskan semula ke sungai," jelas Noor Atika.
Selain memancing, Noor Atika juga gemar berkebun terutama menanam sayur-sayuran seperti kacang bendi dan terung di kebun milik ayahnya.
"Ayah saya memang suka berkebun dan kami mempunyai kebun berdekatan rumah. Selalunya jika cuti semester saya akan pergi ke kebun untuk mendapatkan hasil tanaman.
"Berbakti pada tanah memang memberikan kita rezeki yang banyak tambahan pula apabila hasil tanaman itu boleh dimanfaatkan bersama.
"Selain tanaman, di kebun ayah saya juga ada pokok buah-buahan seperti betik, pisang dan sebagainya," kata Noor Atika.
Tambah kapten pasukan Kedah itu, kesemua aktiviti tersebut seakan telah menjadi rutin hariannya ketika pulang bercuti dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.
Pada tahun ini, tiada misi besar buat Noor Atika dan rakan-rakan lain dalam skuad kebangsaan selepas menyertai Kejohanan Bola Jaring Dunia di Singapura awal Julai ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: