|
|
NAMA Noriezuana Syed Shafudin atau Wana, pantas menjadi bualan sejurus dinobatkan sebagai juara dalam musim kedua sebuah program realiti televisyen, dua tahun lalu.
Sebagai habuan kepada kemenangan itu, Wana yang berketinggian 154 sentimeter itu turut ditawarkan untuk menghasilkan album solonya sendiri.
Bertuah kerana memiliki vokal yang hebat serta pakej untuk menjadi seorang penghibur, tanggal 12 Ogos 2009 menjadi titik sejarah kepada Wana apabila albumnya berjudul Siapa? dilancarkan di bawah syarikat Warner Music.
Biarpun bergelar juara program yang disiarkan di saluran TV3 itu, nama Wana tidak menjadi sebutan seperti peserta rancangan realiti lain sehinggalah lagunya yang berjudul Orang Biasa mula diterima.
Setelah beberapa tahun bertapa dan mengumpul material, Wana kini tampil dengan buah tangan terbaharunya melalui sebuah album berjudul Wana.
Selain mencari bahan untuk album itu, Wana yang aktif berlakon teater sejak tahun 2004 itu baru sahaja usai dengan sebuah pementasan muzikal berjudul Bumi Berlantai Permata di kampung halamannya di Johor Bahru, Johor.
"Wana memang minat berlakon teater dan pernah membintangi beberapa buah naskhah pementasan ketika di Johor Bahru," katanya.
Antara judul teater yang pernah disertai Wana termasuklah Teater Muzikal Hijrah pada tahun 2004, Teater Muzikal Suara-suara Mati (2005), Teater Muzikal Si Bongkok Tanjung Puteri (2006) dan Teater Tun Teja di Muara Muar (2007).
Berbicara soal album, sebagai sebuah garapan berbanding album terdahulu Wana tampil lebih segar dalam album keduanya pada kali ini.
Tuturnya, album terdahulu yang dihasilkan dengan sedikit tergesa-gesa itu dijadikan model untuk dia memperbaiki bagi menjadi lebih baik dalam album keduanya itu.
"Bukan saya tidak berpuas hati dengan album pertama, tetapi beberapa susunan dan perancangannya tidak terlalu baik.
"Boleh saya katakan bahawa album itu lebih menggambarkan jiwa yang lebih tua berbanding diri saya yang sebenar," kata anak kelahiran Skudai, Johor itu.
Persis lebih remaja berbanding album pertama, Wana menampilkan dirinya yang lebih segar dan muda menerusi garapan beberapa pencipta termasuklah Tam Spider, Omar K, Ashraf Pretty Ugly, Audi Mok, Edry KRU dan Kuncidemark itu.
Antara lima buah lagu yang menjadi pertaruhan Wana adalah Biar, Sedangkal Dulu, Pinjamkan Ku Waktu, Gila Bayang serta tiga buah lagu bonus selain singlenya yang sedang hangat diputarkan berjudul Cinta Benar Cinta.
Menjadikan pengalaman lalu untuknya mencipta mood bagi menyerap roh lagu itu, Wana mengakui bahawa dia pernah mengalami kisah cinta tiga segi seperti kisah lagu tersebut.
"Saya pernah mengalami cinta tiga segi ketika masih bersekolah.
"Jadi mungkin perasaan lama itu boleh dijadikan bahan untuk saya mendalami lagu ini," ujar Wana dalam nada ceria tatkala terkenangkan kisah itu.
Bersedia menyambut Ramadan yang akan bermula esok, Wana mengakui bahawa dia merindui saat menyambut bulan puasa di kampung halamannya di Larkin Jaya, Johor Bahru.
Saat mengimbau kenangan berbuka puasa beramai-ramai bersama sanak saudara itu dia sedih kerana tidak dapat bersama, namun Wana tetap gembira menyambutnya bersama rakan-rakan di ibu kota.
"Selalunya kalau di kampung kami akan berbuka puasa beramai-ramai di rumah datuk. Ia memang pengalaman yang sangat menarik.
"Biarpun terpaksa bersahur dan berbuka puasa tanpa keluarga, saya tetap gembira di Kuala Lumpur bersama kawan-kawan," jelas Wana dalam sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: