JIKA tahun lalu penganjur MTV World Stage membariskan barisan penyanyi yang gah seperti Katy Perry sehingga membuatkan peminat terpaksa menunggu begitu lama sebelum penyanyi itu muncul di pentas, tahun ini MTV World Stage Live in Malaysia 2011 berjalan dengan lebih lancar. Nampaknya penganjur telah memperbaiki kekurangan sebelum ini.
Pentas persembahan di i-City Shah Alam, Selangor pada malam Ahad lalu dimulakan dengan persembahan band popular Malaysia, Pop Shuvit yang baru sahaja muncul dengan album terbaharu mereka berjudul Cherry Blossom Love Affair.
Menyanyikan barisan lagu popular mereka seperti Oh! Sizuka, Ol Skool Rocka dan buat pertama kalinya lagu Seperti Syurgamu yang dipetik daripada album terkini mereka dinyanyikan secara langsung bersama penyanyi otai Man Bai.
Walaupun berbeza era, namun, gabungan Man Bai dan Pop Shuvit cukup serasi meskipun ketika menyanyikan lagu tersebut, kedengaran suara Man Bai seperti tidak sampai. Apa pun persembahan Pop Shuvit memang cukup membanggakan dan bertenaga.
"Kami semua seronok hari ini dan cukup teruja menghiburkan peminat, kami yakin kami lakukan yang terbaik," kata vokalisnya Moots ketika ditemui beberapa jam sebelum konsert berlangsung.
Tidak sah rasanya persembahan Pop Shuvit tanpa lagu berhantu mereka Marabahaya yang membuatkan penonton tidak kira usia melompat-lompat mengikut rentak lagu. Menariknya dalam persembahan penutup Pop Shuvit itu mereka turut menjemput projek E.A.R yang terdiri Daly Ahli Fiqir (Singapura), Daniel Tanapon Supwattana (Thailand) dan Jamir, Slapshock (Filipina).
Kemudian sebelum menyambung konsert, persembahan dihentikan buat sementara waktu bagi menghormati azan Maghrib. Selepas itu, band asal Korea Selatan yang baru sahaja bertemu peminat mereka di Malaysia iaitu Beast mengambil alih pentas dengan mendendangkan lagu rancak berjudul Shock.
Ternyata, gabungan gerak tari, wajah tampan dan juga busana putih yang disarungkan hari itu membuatkan peminat mereka yang kebanyakannya remaja perempuan menjerit sambil mengangkat kain rentang dan kad-kad yang dibikin mereka khas untuk Beast.
Beast juga menghiburkan peminat dengan barisan lagu seperti Fiction dan When It Rains. Band yang dianggotai oleh Yoon Du Jun, Jang Hyun Seung, Yong Jun Hyung, Yang Yo Seob, Lee Gi Kwang dan Son Dong Woon itu terus menghiburkan peminat selepas video mereka ditayangkan di skrin gergasi dan mereka menukar pakaian dengan menyanyi lagu Special, Breath dan lagu terakhir mereka Beautiful sambil melemparkan bunga ke arah peminat mereka.
Persembahan Beast memang cukup menghiburkan tetapi mereka mempunyai kekangan bahasa kerana jelas kelihatan mereka mencuba untuk berkomunikasi dengan peminat Malaysia, tetapi kelihatan janggal. Hanya beberapa butir perkataan yang terluah daripada mereka.
Disebabkan itu Beast dilihat hanya dinikmati oleh kelompok peminatnya sahaja, selepas persembahan Beast selesai, berduyun-duyun peminat mereka keluar daripada tapak konsert, membuktikan mereka hanya hadir untuk menonton persembahan Beast.
Kemunculan kumpulan rock alternatif, Neon Trees pada set ketiga juga tidak menghampakan. Kumpulan berasal dari Utah, Amerika Syarikat itu berjaya menghiburkan peminat untuk sama-sama menyanyi dan melonjak bersama. Vokalisnya, Tyler Glenn, menarik perhatian apabila muncul daripada tengah khalayak penonton di bawah pentas ketika menyanyikan lagu pertama mereka Your Surrender.
Tyler juga bijak mengawal menonton dengan berceloteh sebelum menyampaikan sesebuah lagu termasuk In The Next Room, 1983, Love and Affection, Sins of My Youth dan tidak ketinggalan lagu single mereka yang cukup popular di carta radio, Animal.
Kemuncak persembahan sudah tentu tertumpu kepada penampilan band yang dinantikan ramai penonton iaitu Thirty Seconds to Mars. Walaupun terpaksa menunggu lama sekitar 45 minit sebelum band itu muncul di pentas, peminat setia menunggu.
Sepanjang menunggu band tersebut, VJ MTV Utt dan Holly bijak mengalih perhatian peminat mengedarkan beberapa barangan cenderamata, tetapi suara VJ Holly kadangkala terlalu membingitkan telinga.
|
|
Peminat kembali bersorak sebaik sahaja pemain drum band itu memecah suasana dengan ketukan drum bertenaga diikuti dengan kemunculan vokalisnya, Jared Letto menyampaikan lagu Escape yang dipetik daripada album This Is War, yang mana album itu berjaya meraih multi-platinum serta berjaya meraih beberapa anugerah MTV sebelum ini. Jared meneruskan persembahan dengan lagu A Beautiful Lie, Attack, Search and Destroy, dan single nombor satu Thirty Seconds to Mars, This Is War.
Melihat peminat yang tidak henti menyanyi dan menari bersama alunan muzik mereka, band itu turut mempersembahkan tiga buah lagu secara akustik iaitu The Kill, Hurricane dan Closer to the Edge. Band yang mempunyai ramai peminat itu mengakhiri persembahannya dengan lagu Kings and Queen dan persembahan terakhirnya itu turut disertai oleh peminat apabila Jared memanggil peminat untuk sama-sama naik ke pentas.
Secara keseluruhan MTV World Stage kali ini lebih lancar tetapi kurang impaknya berbanding dengan penganjuran sebelum ini.
MTV World Stage Live In Malaysia 2011 yang pertama kali dirakamkan dalam versi 3D di Asia ini akan ditayangkan secara eksklusif di saluran MTV SEA (saluran Astro 713) pada 8 Ogos hadapan, pada jam 12.00 tengah malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: