|
|
WOW...' itulah perkataan pertama yang terpacul daripada mulut penulis apabila melihat koleksi kolar pin yang disimpan oleh ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu.
Bahkan, apa yang lebih menarik sewaktu mendengar satu persatu cerita di sebalik koleksi kolar pin itu, pasti membuat sesiapa sahaja kagum untuk menjadi seorang atlet sepertinya.
Menurut Roslinda, kesemua kolar pin itu dikumpul sejak awal 2001 dan sehingga kini dia mempunyai lebih 50 koleksi di rumahnya di Desa Petaling. Jumlah itu tidak termasuk yang disimpan di kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah.
"Setiap atlet yang mewakili negara ke temasya seperti Sukan Olimpik, Komanwel, Asia dan Sukan SEA akan dibekalkan dengan kolar pin yang melambangkan Malaysia dalam jumlah yang banyak.
"Ia untuk ditukar dengan atlet-atlet lain yang kita temui sewaktu menyertai temasya tersebut. Kalau kita rajin banyaklah kolar pin yang mampu kita peroleh.
"Inilah istimewanya dapat menjadi atlet kerana selepas menyertai kejohanan, kita dapat mengumpul koleksi yang sukar diperoleh seperti kolar pin ini," jelas Roslinda.
Antara kebanyakan kolar pin yang berada dalam koleksi Roslinda itu, terdapat satu yang istimewa bagi dirinya iaitu kolar pin berbentuk obor yang diperoleh ketika menyertai Olimpik Beijing pada 2008.
"Pin ini saya dapat ketika berkunjung ke gerai yang menyediakan kolar pin dari Muzium Olimpik khusus untuk ditukar dengan atlet yang beraksi di Beijing.
"Lihat sahaja bentuknya, amat ringkas berbanding kolar pin lain, malah kolar pin ini juga amat istimewa bagi saya," katanya ramah.
Selain mempunyai koleksi kolar pin, Roslinda juga mempunyai koleksi pelekat peti sejuk bermagnet serta rantai kunci yang diperoleh ketika berkunjung ke luar negara.
"Kebanyakan koleksi saya ini dari Sepanyol, India, Afrika Selatan, Thailand dan banyak lagi.
"Sebab utama saya suka kumpul pelekat peti sejuk bermagnet adalah kerana bentuknya yang unik," ujarnya.
Roslinda yang telah memulakan latihan persediaan untuk menghadapi Sukan SEA berharap mampu mempertahankan pingat emas yang dilakarnya sebelum ini di Laos 2009.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: