RAMAI yang beranggapan wanita cantik ini rela berkahwin dengan jutawan yang dua kali ganda daripada usianya disebabkan wang.
Namun, Wendi Deng membuktikan dia sanggup mempertahankan suaminya, Rupert Murdoch, dengan menyerang balas lelaki yang cuba melempar pai krim ke muka jutawan media itu dengan satu 'aksi kung fu' yang mengejutkan.
Kejadian itu berlaku semasa bos News Corporation itu memberi keterangan di hadapan Parlimen Britain, 19 Julai lalu, berhubung skandal penggodaman telefon yang membawa kepada penutupan sebuah akhbar tabloid miliknya, News of the World.
Sementara anak lelaki Rupert, James, yang duduk di sebelah bapanya sekadar memandang tindakan lelaki itu, dikenali sebagai Jonnie Marbles, Wendi yang duduk di barisan kedua di belakang suaminya melayangkan badannya sehingga mengenai wanita di hadapannya sebelum menampar muka si penyerang.
Wendi kemudian mengambil pinggan pai itu dan melumurkannya ke muka Jonnie. Semasa polis menangkap lelaki itu, Wendi sempat melepaskan beberapa tumbukan lagi sebelum mendapatkan Rupert dan membersihkan jaket suaminya.
Tindakan spontan Wendi itu segera menarik perhatian dunia. Ia dikatakan lambang cinta sejati, sikap pelindung seorang isteri, bahkan satu keistimewaan memiliki isteri berketurunan Cina.
Wendi, 42, sebelum ini dibayangi cerita yang kurang menyenangkan.
Kisah hidupnya bermula apabila satu pasangan Amerika membantunya berhijrah dari Guangzhou, China, ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) semasa Wendi berusia 19 tahun.
Dia tinggal bersama pasangan itu, tidur di bilik anak pasangan itu yang berusia lima tahun dan mengikuti pengajian di Universiti California.
Rupert
Segalanya berubah apabila si isteri mendapati Wendi menjalin hubungan sulit dengan suaminya. Pasangan itu bercerai dan Wendi berkahwin dengan lelaki itu, Jake Cherry yang pada masa itu berumur 31 tahun.
"Saya menyintai wanita itu," kata Jake kepada The Wall Street Journal." Tidak lama kemudian, mereka berdua juga bercerai.
Wendi menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Yale selepas bercerai, sebelum bekerja di Star TV milik News Corporation. Di situ, dia bertemu Rupert dalam satu acara korporat di Hong Kong pada tahun 1997. Rupert telah pun berkahwin dengan Anna Torv selama lebih 30 tahun dan mempunyai tiga orang anak iaitu Elisabeth, kini 42, Lachlan, 40 dan James, 38.
Perceraian Rupert-Anna selesai selepas Anna dikatakan ditawarkan wang sebanyak lebih AS$1 bilion (RM3.1 bilion). 17 hari selepas bercerai, Rupert mengahwini Wendi di atas kapal layar Morning Glory dengan berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit New York. Rupert berusia 68 manakala Wendi 30 tahun.
Mereka dikurniakan dua orang anak, Grace, 10, dan Chloe, 8. Tahun lalu, dua beradik itu dibaptiskan di tebing sebatang sungai di Jordan dengan kehadiran Permaisuri Rania dan ibu bapa pembaptisan mereka, selebriti Nicole Kidman dan Hugh Jackman.
Keluarga Rupert bukan semuanya mengalu-alukan perkahwinan itu. Ibu Rupert, Dame Elisabeth, 102, yang tinggal di Australia dilaporkan masih kecewa.
Semasa ditemu bual majalah New York mengenai kemungkinan Wendi dan dua anaknya akan menguasai empayar Rupert tahun lalu, Elisabeth berkata: "Saya harap ia tidak akan berlaku. Anak Rupert, James, lebih layak."
China
Dilahirkan di wilayah pesisiran pantai China pada tahun 1968, Wendi membesar semasa era berdarah dalam sejarah negaranya.
Ibu bapanya, ahli Parti Komunis China, pada mulanya memberikan dia nama Wenge, bermaksud 'revolusi budaya', sebagai refleksi situasi pada masa itu. Namun apabila keadaan semakin baik, namanya ditukar kepada Wendi (pencerahan budaya).
Bapanya, seorang pengurus kilang, dan ibunya, seorang jurutera, hanya memperoleh pendapatan sebanyak AS$43 (RM133) sebulan. Walaupun Wendi menggambarkan kehidupannya sangat miskin berdasarkan perkiraan hari ini, pada masa lalu mereka menikmati kehidupan kolar putih.
Di China, kebanyakan orang kaya jarang menunjuk-nunjuk kekayaan mereka kerana khuatir tindak balas negatif daripada rakyat. Tetapi Rupert dan Wendi secara terbuka membeli sebuah rumah tradisional yang besar berharga AS$4.4 juta (RM13.6 juta) pada tahun 2004, iaitu yang dianggap paling mahal di Beijing pada masa itu.
Ia mempunyai kolam renang bawah tanah, sebuah panggung mini dan sebuah bilik acara yang besar.
Di sebalik jurang usia yang memisahkan mereka, rakan-rakannya berkata Wendi dan Rupert mempunyai hubungan yang akrab.
Apabila Rupert menghadiri mesyuarat yang penting, Wendi akan bertanya orang yang duduk di sebelah Rupert secara berulang kali sama ada tali leher yang dipakai taikun itu lurus atau tidak. Kedua-duanya juga sangat meminati cerita trivia dalam akhbar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: