|
|
DATUK Lee Chong Wei akan tetap dijulang sebagai ikon besar badminton negara, sama ada dia berjaya atau tidak menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik di London tahun depan.
Deretan kemenangan yang telah dipahat jaguh No. 1 dunia itu di pentas antarabangsa cukup membuktikan kehebatannya sebagai pemain terbaik dunia. Dia bukan saja menjadi tumpuan di gelanggang badminton, malah menjadi rebutan banyak pihak korporat untuk menjadi duta mereka.
Chong Wei mampu hidup masyhur dan mewah hasil kejayaan yang dikecapi setakat ini. Dalam kata lain, kerjayanya sudah hampir sempurna tanpa mengira apa yang akan berlaku dua tahun dari sekarang.
Namun sebagai pejuang sejati, Chong Wei percaya, sebanyak mana kejuaraan yang telah dikecapi dan semewah mana harta yang dikumpul, kariernya tidak lengkap selagi emas Olimpik belum dapat digenggam.
Malah, atas keinginan tinggi untuk memburu lebih banyak kejuaraan dan pengiktirafan, Chong Wei menukar hasrat untuk bersara selepas tamat Sukan Olimpik 2012, sebaliknya berikrar akan terus berjuang selagi kudratnya mengizinkan dia mencabar kedudukan No. 1 dunia.
Semua harapan yang disandarkan rakyat Malaysia kepadanya disahut sebagai cabaran, biarpun mengakui ia turut memberi tekanan. "Saya sudah lali dengan tekanan, apa lagi tekanan yang tidak pernah saya rasa?,'' ujar Chong Wei, yang kini berada di England dalam misi mencari kejuaraan dunia pertama.
Tiga tahun lalu, Chong Wei diaibkan dengan kekalahan mudah 12-21, 8-21 kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir Olimpik yang mencuri perhatian dunia. Bukan kegagalannya membawa pulang emas yang dipersoal tetapi bagaimana dia dikalahkan dengan begitu mudah.
Bagi Chong Wei, apa yang sudah berlaku tidak boleh diubah, yang penting dia mengambil iktibar daripada kekalahan itu dan berusaha memperbaiki permainan di masa akan datang. Andai ditakdirkan bertemu lagi dengan jaguh China itu di final Olimpik 2012, ceritanya mungkin akan berbeza.
Chong Wei telah membuktikan keupayaannya memberi cabaran serius kepada Lin Dan di pentas besar dengan mengalahkan juara dunia tiga kali itu pada final All England, Mac lalu, untuk kejuaraan All England kedua.
"Ketika kalah di Olimpik 2008 saya amat tertekan. Saya rasa bersalah kepada rakyat Malaysia, apatah lagi ia kekalahan mudah. Agak lama juga saya cuba bangkit dari rasa tertekan itu tetapi sebaik saya berjaya bangkit, saya tidak lagi pandang ke belakang.
"Saya berusaha keras dalam latihan untuk meletakkan diri saya ke tahap sekarang. Saya percaya kalau mahu menang pingat emas Sukan Olimpik, tahun depan adalah waktu yang paling sesuai dan saya tidak akan mempersiakannya.
"Saya tidak tahu apa akan berlaku pada 2016, ketika itu usia saya sudah 34 tahun, mungkin saya masih bermain atau mungkin tidak. Saya akan lakukan apa saja untuk memastikan emas menjadi milik saya pada 2012, tertekan atau tidak, saya kena melalui semuanya secara positif,'' ujar Chong Wei.
Kebangkitan Chong Wei sejak Sukan Olimpik 2008 jelas dilihat selepas dia merangkul kejuaraan demi kejuaraan antarabangsa, hingga digelar 'Raja Siri Super'. Tahun ini, sudah enam gelaran dirangkul pemain berusia 29 tahun itu bermula dengan Siri Super Masters Akhir, Siri Super Terbuka Malaysia, All England, Siri Super Terbuka India, Grand Prix Emas Terbuka Malaysia dan Siri Super Terbuka Indonesia.
Tahun lalu, Chong Wei memenangi tujuh gelaran - Terbuka Jepun GP Terbuka Macau, GP Emas Terbuka Malaysia, Terbuka Indonesia, All England, Terbuka Malaysia dan Terbuka Korea.
Pada 2009 pula dia berjaya menawan enam kejohanan, Terbuka Hong Kong, Terbuka Macau, GP Emas Terbuka Malaysia, Terbuka Indonesia, Terbuka Switzerland dan Terbuka Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: