MELENTUR buluh biar daripada rebungnya, amat sesuai dengan matlamat yang cuba diterapkan oleh majalah Al Islam di dalam program Eksplorasi Islam 2011. Aktiviti pertama kali anjuran majalah keluaran Utusan Karya Sdn. Bhd. ini mendapat sambutan menggalakkan daripada 11 buah Sekolah Rendah Agama (SRA) terpilih di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta sebuah kumpulan yang diturunkan oleh Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM).
Cetusan program Eksplorasi Islam berdasarkan program Explorace Amazing yang disiarkan di kaca televisyen tetapi diberi nilai tambah dengan memasukkan unsur-unsur pengetahuan mengenai ilmu-ilmu Islam. Ketandusan program-program Islam seumpama ini, mendorong Al Islam untuk mengetengahkan melalui gabungan konsep pembelajaran dan aktiviti permainan.
Sekali gus, di samping mengingati ilmu yang telah dipelajari di sekolah, peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah agama tahun 4 hingga 6 juga diberikan pendedahan konsep kepimpinan dalam kumpulan, disiplin, mematuhi arahan dan tanggungjawab. Peserta bukan saja diuji mindanya tetapi juga kepantasan menyusun strategi yang efektif untuk menyelesaikan permasalahan yang diberikan dengan sempurna.
Ternyata ciri-ciri yang menjadi objektif penganjuran program tersebut, dimiliki oleh kumpulan SRA Masjid Sayidina Abu Bakar, Bangsar yang berjaya merangkul gelaran juara. Kumpulan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM800 berserta hadiah iringan dan sijil penyertaan.
Manakala bagi kumpulan kedua dimenangi oleh SRA Al-Mubarakah, Cheras dengan menerima hadiah wang tunai RM700, sijil dan hadiah iringan dan SRA Al-Ihsaniah, Puchong di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM500, sijil serta hadiah iringan.
Menariknya, Eksplorasi Islam bukan saja menjadi medan untuk pelajar mengasah ingatan tetapi membentuk peribadi dan sahsiah diri. Itulah perkara paling penting dalam usaha mendidik jiwa generasi muda cinta pada Islam sekali gus dijadikan sebagai aktiviti memenuhi masa lapang. Aktiviti tugasan Eksplorasi Islam merangkumi setiap subjek yang diajar di sekolah. Antaranya termasuk ilmu feqah, ibadah, al-Quran, tajwid, sirah dan bahasa Arab.
Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, dalam ucapan perasmian penutup, menjelaskan, Eksplorasi Islam adalah salah satu program berbentuk ilmiah yang sangat bermanfaat dan membentuk peribadi mulia generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan.
“Majalah Al Islam bukan sahaja berjaya mengatur program yang mempersembahkan penyampaian ilmu dalam bentuk yang begitu menarik. Sebaliknya aktiviti seumpama ini mampu menarik generasi muda untuk meminati Islam. Melalui program ini juga, pelajar dapat mengisi masa cuti mereka dengan aktiviti yang baik serta mengasah ingatan untuk mengingati kembali setiap ilmu yang diajar oleh para guru di bilik darjah,” katanya.
Ternyata setiap aktiviti yang diatur di empat check point iaitu Masjid Negara, Stesen TV ALHIJRAH perpustakaan Pusat Islam serta di ruang legar Pusat Islam, mempunyai cabaran tertentu. Dan ini terbukti apabila kebanyakan kumpulan dikenakan penalti kerana gagal menyempurnakan arahan tugasan yang diberikan khususnya yang menyentuh soal solat berjemaah. Antara penalti yang dikenakan ialah membersihkan makam pahlawan dan mencatatkan nama negarawan yang disemadikan serta menyusun buku di perpustakaan.
Program yang berlangsung pada 23 Julai lalu mendapat kerjasama dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Masjid Negara, Jawi, Pusat Islam, Perpustakaan Pusat Islam, dan stesen TV ALHIJRAH. Turut membantu memeriahkan perjalanan program ialah Restoran Nasi Dagang Ulik Mayang yang menaja sarapan pagi. Selain itu, Yayasan Restu menyumbangkan 60 naskhah al-Quran untuk setiap peserta yang mengambil bahagian serta tajaan produk Bilal dari syarikat Bilal Edar Sdn Bhd. Tidak ketinggalan syarikat Jamu Mak Dara, Nestle, ADABI, D‘Tandoor Food Industries Sdn. Bhd, dan Muniff Hijjaz .
Sementara itu, stesen TV ALHIJRAH menyediakan dua slot dalam rancangan Assalamualaikum untuk Al Islam menguar-uarkan program berkenaan pada masyarakat umum sebelum program berlangsung. Stesen televisyen tersebut turut menyediakan siaran langsung untuk kumpulan terawal yang sampai ke stesen berkenaan. Badan Keluarga Utusan Melayu pula menyumbang buku cerita dan alat tulis.
Tahniah kepada pelajar yang berjaya!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: