Saturday, July 30, 2011

Pusat 3S, dua model baharu dilancarkan




APRILIA sebenarnya bukannya satu jenama motosikal baharu di negara ini. Pengedaran jenama gah itu dalam pasaran tempatan sudah bermula sekitar tahun 2004. Namun, perjalanan jenama tersebut ibarat layang-layang putus talinya.

Untuk menghidupkan semula suatu jenama yang sudah 'terkubur' bukannya tugas mudah. Ditambah pula untuk mendapat semula kepercayaan pelanggan. Ini cabaran yang dihadapi pengedar baharu jenama Aprilia di Malaysia iaitu Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira).

“Sewaktu Kumpulan Naza memutuskan untuk mendapat hak pengedaran Aprilia, kami sedar akan cabarannya. Jenama ini secara praktikalnya tidak lagi bernyawa di Malaysia,” kata Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin.

Naza Premira merupakan anak syarikat Kumpulan Naza. Hak pengedaran Aprilia diperoleh menerusi pemeteraian satu perjanjian bersama Piaggio Group pada bulan Mei 2010.

Selain Aprilia, Naza Premira turut diberikan hak pengedaran jenama Piaggio, Gilera dan Vespa. Piaggio Group memiliki rangkaian produk jenama Piaggio, Vespa, Gilera, Aprilia, Moto Guzzi, Derbi dan Scrabble.

Sejak Disember 2010, enam model Aprilia telah diperkenalkan dalam pasaran. Ia meliputi model RS125R, Shiver 750, Mana 850, Dorsoduro 750, RSV4R dan RSV4 Factory. Setiap model untuk segmen motosikal berlainan.

Sejauh mana kejayaan Aprilia masih terlalu awal untuk dinilai. Strategi harus tepat. Jika tidak, kecundanglah jawabnya. Naza Premira mengambil dua pendekatan logik. Keutamaan pelanggan dan penetapan harga kompetitif berbanding jentera buatan Jepun.

Dalam tempoh enam bulan sahaja, sebanyak 140 unit motosikal Aprilia sudah dijual. Pengedar sebelum Naza Premira hanya berjaya menjual sebanyak 110 unit Aprilia dalam tempoh dua tahun. Sedikit? Ini bukannya motosikal kapcai yang senang-senang sahaja mampu meraih jualan sebanyak 2,000 atau 4,000 unit sebulan.

Pertama di Asia


DORSODURO 1200 mencetuskan persaingan dalam segmen motard tempatan.


Baru-baru ini, dua model baharu ditambah dalam rangkaian produk Aprilia. Apa lagi jika bukan model Tuono V4 APRC dan Dorsoduro 1200. Pujian harus diberikan kepada Naza Premira kerana berjaya menjadikan Malaysia sebagai negara Asia pertama yang melancarkan model Tuono V4 APRC.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh SM Faisal dan Pengurus Jualan Piaggio Asia Pasific Pte. Ltd., Judah Sangaran. Hadir bersama ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin, Pengurus Besar Naza Two Wheel Division, Nik Danial Nik Mahmood dan Ketua Jualan dan Operasi Naza Premira, Idon Pang.

Spesifikasi

Model Tuono V4 APRC merupakan naked bike yang dilengkapi dengan enjin 16v V4 bersesaran 999.6cc. Enjin sama seperti jentera superbike RSV4 tetapi dengan talaan baharu. Antaranya ialah pemasaan injap baru, pengambilan trompet lebih panjang dan roda tenaga (flywheel) yang lebih berat.

Padanan transmisi enam gear diberikan. Tuono V4 APRC dikatakan mempunyai had putaran enjin mencecah 12,300 rpm. Meskipun begitu, ia mampu menghasilkan 165 kuasa kuda (hp) pada 11,500 rpm. Tork maksimum ialah 111.5Nm pada 9,500rpm. Kelajuan maksimum didakwa mampu melepasi paras 240 kilometer/sejam (km/j).

Untuk memberhentikan jentera seberat 183 kilogram (kg) itu, brek jenama Brembo diketengahkan. Roda hadapan dilengkapi dua set brek cakera berukuran 320 milimeter (mm) dengan empat omboh. Bahagian belakang mengguna pakai brek cakera berukuran 220 mm dan omboh berkembar.

Sistem suspensi Tuono V4 APRC menggunakan khidmat Sachs sepenuhnya. Bahagian hadapan menggunakan fork USD (upside-down fork) boleh laras 43mm, manakala penyerap hentak tunggal boleh laras dipadankan pada roda belakang.


METER laju analog dan digital dipadankan pada Dorsoduro 1200.


Motosikal itu hadir bersama tiga mode pemetaan enjin iaitu Track, Sport dan Road. Mode Track membolehkan respon pendikit minyak menjadi lebih agresif. Sementara mode Sport untuk respons lebih lancar dengan kekangan tork berdasarkan gear. Ia juga dikenali sebagai mode ‘keseronokan maksimum’. Mod Roade pula menyalurkan respons pendikit minyak paling lembut dan ia sesuai untuk tunggangan dalam bandar atau di atas jalan yang basah.

Pesaingnya terdiri daripada Ducati Streetfighter S, KTM Super Duke R dan Triumph Speed Triple. Didatangkan dalam dua warna iaitu kuning dan hitam, jentera itu memiliki tangki petrol berkapasiti 17 liter. Ia dijangka ditawarkan pada harga RM93,000 seunit.

Dorsoduro 1200 pula mencetuskan keterujaan dalam segmen motosikal motard tempatan. Ia dipasang enjin 90 darjah V-twin dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 1,197cc. Jentera motard itu dijana oleh kuasa sebanyak 130hp pada 8,700rpm. Tork maksimum ialah 115Nm @ 7,200rpm. Kelajuan maksimum dikatakan melepasi 200km/j.

Motosikal seberat 203 kilogram itu memiliki sistem suspensi sama seperti Tuono V4 APRC. Cuma penyerap hentak belakang ditempatkan di bahagian kanan. Sistem brek juga sama kecuali saiz cakera belakang yang lebih besar iaitu 240mm.

Tiga pemetaan enjin diberikan iaitu Sport, Touring dan Rain. Mode Sport memberikan akses pada kuasa penuh 130hp. Kuasa penuh dan keselesaaan dapat dirasai dalam mode Touring. Manakala mode Rain untuk jalan basah.


PENYERAP hantak tunggal belakang berada pada bahagian kanan jentera.


Harga dianggarkan RM79,000 seunit. Kedua-dua model tersebut diberi pakej penyelenggaraan selama tiga tahun.

Pelaburan RM600,000

Seiring dengan pelancaran dua jentera tersebut, majlis perasmian sebuah pusat pameran dan pusat 3S Aprilia di Jalan Raja Muda Aziz, Kampung Baru di Kuala Lumpur diadakan. Dengan keluasan 11,000 kaki persegi, premis tersebut membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM600,000.

Ia dilengkapi kemudahan lapan ruangan menyelenggara jentera, di samping peralatan dan kelengkapan untuk semua rangkaian motosikal Aprilia. Mekanik di sana sudah menerima latihan daripada Pusat Latihan Aprilia di Itali.

Turut diperagakan ialah rangkaian model Vespa, Champion Corner dengan dua replika jentera perlumbaan RSV4 Factory dan RS125R. Tidak lama lagi, barisan model Piaggio dan Gillera turut akan dipamerkan.

Selain itu, aksesori, pakaian kasual dan perlumbaan untuk penunggang motosikal turut dijual. Pusat itu dibuka seawal 9 pagi sehingga 8 malam setiap hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: