|
|
PECUTAN jentera kecil yang mampu mencecah kelajuan 60 hingga 120 kilometer sejam (km/j), go-kart berjaya menambat hati pendatang baru industri seni suara tanah air, Alvin Anthons sebagai alternatif untuk menghilangkan stres yang dialaminya.
Mula meminati salah satu cabang sukan tersebut sejak beberapa tahun lalu, Alvin yang bernaung di bawah label milik Ajai, Wake The Baby itu mengatakan, dia adalah seorang yang suka memandu kereta dengan laju.
Akan tetapi, pemilik kereta mewah BMW 5 Series itu akur dengan peraturan dan undang-undang jalan raya yang dipraktikkan di Malaysia.
“Disebabkan tidak boleh memandu melebihi had laju di mana-mana jalan raya di negara kita, itulah sebabnya saya memilih untuk memandu go-kart.
“Walaupun kelajuan 60 ke 120 km/j nampak macam perlahan bagi sesebuah kereta biasa, tetapi dalam kategori go-kart, pemandu boleh merasakan kelajuan kenderaan mini itu.
“Tambahan pula, sukan ini dilindungi dengan pelbagai kelengkapan keselamatan. Jadi, rasa gusar jika berlaku kemalangan dapat diminimumkan,” kata jejaka berketurunan India itu.
Ditemani dua orang rakannya, Alvin cukup berpuas hati apabila dapat memecut laju ketika memandu go-kart di litar yang bersebelahan dengan Litar Antarabangsa Sepang.
Ujar Alvin, memandu di lokasi tersebut membuatkannya berasa seperti memandu jentera Formula 1 (F1) kerana deruman enjin kenderaan berkenaan boleh didengar dari litar go-kart itu sekiranya ada pemandu yang sedang membuat latihan.
“Bunyi enjin di litar sebelah (litar F1) boleh didengari hingga ke sini. Jadi, suasana memandu go-kart di sini berbeza berbanding litar lain yang terdapat di Lembah Klang.
“Barulah keseronokan dan kepuasan diperoleh pada tahap maksimum,” katanya.
Bagaimanapun, Alvin bukanlah seorang yang fanatik terhadap sukan bermotor itu sehinggakan dia sanggup membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk membeli jentera go-kart.
“Cukuplah sekadar menyewa go-kart yang disediakan di litar ini. Saya belum terfikir lagi untuk memilikinya sendiri.
“Sukan ini untuk suka-suka atau hobi. Lainlah kalau serius nak jadi pelumba go-kart,” terangnya kepada S3.
Sedikit mengenai perkembangan seninya, Alvin yang baru saja tampil dengan single sulung ciptaan Ajai, Berdua, mengharapkan industri muzik memberikan ruang kepadanya untuk melakar nama sebagai penyanyi.
Walaupun dimonopoli oleh kaum Melayu, Alvin yakin akan mendapat tempat dalam kelompok artis tempatan bersandarkan semangat 1Malaysia yang dipupuk di negara ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: