Saturday, July 30, 2011

Suara ghaib arah bunuh

BEBAS TUDUHAN...Chee Beng dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, semalam.
BEBAS TUDUHAN...Chee Beng dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, semalam.

SHAH ALAM: “Tertuduh mengalami penyakit jiwa dan diganggu bunyi ghaib,” kata Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad ketika membebaskan penjual telefon bimbit, Tan Chee Beng, 32, daripada tuduhan membunuh teman wanita berusia 16 tahun, dan cuba membunuh diri, di Cheras, dekat sini, tujuh tahun lalu.

Siti Mariah pada penghakimannya berkata, mahkamah menerima keterangan Chee Beng ketika membela diri bahawa dia berada dalam keadaan tidak siuman dan tidak menyedari perbuatannya apabila mendengar suara ghaib yang menyuruhnya membunuh mangsa dan diri sendiri.


Beliau berkata, ini disahkan laporan penilaian oleh saksi pembelaan kedua, Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Permai, Tampoi, Johor, Dr Badiah Yahya, yang menyatakan lelaki itu mengalami penyakit jiwa, halusinasi dan tahap kecerdasan intelektual (IQ) yang rendah.

Menurutnya, pembelaan tertuduh berhubung perkara itu juga tidak disangkal atau dicabar pihak pendakwaan. “Oleh itu, mahkamah berpendapat adalah wajar untuk membebaskan tertuduh daripada tuduhan membunuh mangsa dan cuba membunuh diri. Tertuduh diperintah diletakkan di bawah jagaan Hospital Bahagia selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor,” katanya. Mengikut pertuduhan pertama, Chee Beng didakwa membunuh Tan Hui Choo di tepi tangga, Tingkat 2, Balok A, Apartmen Sri Bayu, Taman Kemacahaya, Batu 9, Cheras, jam 6.20 pagi, pada 6 September 2004. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Lelaki itu juga didakwa kerana membunuh diri dengan menggunakan sebilah pisau di tempat, masa dan tarikh sama. Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau boleh didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hana Hadinah Sheik Mohd Ghazali.


Manakala, Chee Beng diwakili peguam, Edmund Boon. Sepanjang perbicaraan, seramai 14 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan tampil memberi keterangan. Akhbar ini pada 1 September 2004 melaporkan seorang lelaki nekad mengelar leher dan menikam hingga mati teman wanitanya berusia 16 tahun kerana didorong perasaan cemburu. Hui Choo, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Perimbun, Kajang itu ditemui terbaring dengan baju kurung sekolahnya berlumuran darah di beranda kira-kira 10 meter daripada pintu rumahnya. Manakala, teman lelakinya yang ketika itu berusia 25 tahun ditemui terbaring berdekatan mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan nazak dipercayai cuba membunuh diri dengan sebilah pisau sepanjang 30 sentimeter di sisinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: