|
|
IMPIAN untuk mengembara ke kawasan pergunungan dan desa-desa terpencil di Eropah dengan menaiki karavan sudah terpendam di hati mereka sejak dari zaman kanak-kanak.
Angan-angan di bangku sekolah itu berlalu selepas 20 tahun, pengalaman karavan yang selama ini ditonton melalui filem telahpun menjadi realiti. Kini ia bukan sekadar percutian tetapi ditukar menjadi punca rezeki.
Berbekalkan pengalaman mengurus beberapa perniagaan di Kuala Lumpur, Fairus Mohd. Tabiee dan Muhammad Ikhmal Norizan membuktikan kebolehan anak tempatan untuk berjaya di luar negara.
Trip jelajah Eropah (Eurovac 2011) menaiki kenderaan rekreasi (RV) atau motorhome yang diperkenalkan oleh dua pemuda itu pada Mei lalu kini bersedia untuk menyambung episod seterusnya.
“Pengembaraan trip yang lalu sangat mencabar, khususnya bagi kami selaku penganjur.
“Ia adalah pengalaman yang mematangkan (perniagaan). Segala kelemahan akan dibaiki untuk memastikan trip akan datang lebih lancar,” kata Muhammad Ikhmal, 31, selaku Pengurus EuroVac Management.
Cabaran memandu
Sepanjang pengembaraan 11 hari itu, penulis menjadi salah seorang daripada 19 peserta (termasuk penganjur). Selain membuat liputan, saya ditawar untuk menjadi salah seorang daripada pemandu.
Peluang untuk memandu merentasi lapan buah negara di Eropah itu agak sukar untuk dilepaskan. Tanpa berfikir panjang, cabaran itu disahut untuk berkongsi cerita dengan pembaca.
Pengalaman memandu sejauh 3,000 kilometer merentasi Jerman, Austria, Liechtenstein, Switzerland, Itali, Perancis, Belgium dan Belanda bermula dari Munich, Jerman.
Destinasi pertama yang dituju adalah tapak perkhemahan karavan di Nenzing, Austria.
Cabaran memegang stereng pada hari pertama tidak terlalu sukar, fokus utama ketika itu adalah untuk membiasakan diri dengan pemanduan sebelah kiri jentera Profila Alcove (Ford).
Ketibaan di tapak karavan di kaki Banjaran Alps beberapa jam sebelum matahari terbenam memberi peluang untuk kami mengenali kelengkapan yang tersedia pada setiap motorhome.
Semuanya lengkap untuk keperluan lima hingga enam penghuni termasuk ruang tamu, tempat tidur, dapur, peti sejuk, tandas dan bilik mandi.
Sebelum menikmati semua kemudahan itu, beberapa perkara harus diselesaikan. Paling penting membekalkan setiap kenderaan dengan air dan elektrik. Selepas penyambungan dibuat, kesejukan kami di dalam suhu tiga darjah Celsius itu mula dihangatkan dengan pemanas udara.
Tanggungjawab keesokkan harinya bermula dengan tugas membuang sisa-sisa ke saluran pembentungan. Sekali lagi kami harus memastikan bekalan air diisi secukupnya untuk kegunaan sepanjang perjalanan. Begitulah tanggungjawab rutin yang dipikul oleh pemandu setiap kali beralih stesen.
Penginapan di Alpencamping itu meninggalkan kenangan yang cukup manis bagi kami. Bukan sahaja Banjaran Alps yang indah bahkan stesen karavan itu juga lengkap dengan kemudahan asas seperti restoran, kolam renang dan spa.
Kami meninggalkan Austria melalui sebuah perkampungan yang dibelit jalan sempit dan berliku. Pengendalian manual kenderaan selebar 2.4 meter dan setinggi 3.1 meter itu mula memberikan cabaran sehingga kami melepasi Liechtenstein, antara negara terkecil di dunia yang terlindung di celah-celah pergunungan di situ.
Tidak lama selepas itu kami tiba di Switzerland, negara yang dikenali kerana keindahan muka buminya. Landskap yang memang menakjubkan, cuma fokus pada pemanduan tidak membenarkan saya menikmati semua itu. Apatah lagi apabila kebanyakan kenderaan di lebuh raya itu dipandu laju, minimum antara 100 hingga 120 km/jam.
Lebuh raya yang disifatkan sebagai syurga untuk memandu itu juga diselang-seli dengan terowong yang panjang dan laluan tergantung di tepi gaung. Memang menakutkan, tetapi keadaan tidak membenarkan saya untuk melayan rasa takut kerana pemanduan tidak boleh diperlahankan sembarangan.
Cabaran memandu di lebuh raya yang seakan sama seperti litar di dalam permainan video Need for Speed itu disukarkan dengan treler-treler panjang yang berselilisih rapat, hanya beberapa kaki dengan kami.
Meskipun laluan penuh liku, perjalanan dari Jerman hingga ke Switzerland tidak memerlukan kos yang tinggi kerana tiada tol dikenakan. Cuma harga bahan bakar yang berbeza mengikut jenama membuatkan kami keliru untuk memilih.
Selepas tiba ke tol pertama (di Itali), pemanduan disambut dengan aksi ‘Velontino Rossi’ oleh penunggang-penunggang motosikal di negara itu. Laluan tidak banyak berbeza kecuali sikap-sikap pemandu yang kurang beradap berbanding negara-negara yang terdahulu.
Dari Lembah Aosta, Itali, kami merentasi sebuah terowong yang cukup panjang. Terowong sepanjang 11.6 kilometer yang ditebuk merentasi pergunungan Mont Blanc sehingga berakhir di Chamonix, Perancis.
Di penghujung terowong, dua daripada kenderaan Eurovac ditahan pihak berkuasa Perancis. Mereka disaman kerana melanggar ‘arahan pelik’ yang hanya membenarkan had laju antara 50 hingga 70 km/jam’. Selain itu, jarak pemanduan juga harus mengikut jarak lampu yang dipasang di dinding terowong, kira-kira 100 meter antara satu kenderaan ke kenderaan lain.
Amalan keselamatan yang ketat itu dikatakan bertujuan mengelak kemalangan seperti yang pernah berlaku pada 1999 di mana 39 orang maut apabila sebuah treler terbakar di dalam terowong yang sama.
Sepanjang perjalanan ke Paris, lebuh raya lurus dan lengang pula menjadi ujian. Nasib menyebelahi kami kerana dalam suhu sejuk musim bunga itu, rasa mengantuk masih mampu dikawal. Cabaran lain termasuk tiupan angin lintang yang cukup deras. Kadang-kala memaksa kami memperlahankan kelajuan di bawah 100 km/jam kerana kenderaan bergoyang seperti kapal di lambung ombak.
Ada kala perjalanan memakan masa yang cukup panjang. Laluan paling jauh adalah dari tapak perkhemahan karavan di Paris menuju Amsterdam, Belanda yang memakan masa kira-kira 15 jam.
Selain walkie-talkie, GPS juga adalah nyawa bagi setiap pemandu. Tanpa alat itu, kami melepasi kesibukan di tengah kota sebesar Paris.
Sementara itu, Fairus yang juga salah seorang pemandu berkata, larangan pihak berkuasa terhadap motorhome sesetengah kota memberi peluang kepada peserta trip untuk mencuba sistem pengangkutan awam di negara orang.
“Trip ini tidak seharusnya selesa sepanjang masa, peserta diberi peluang untuk keluar sendiri ke tempat yang diinginkan dengan menaiki teksi, bas ataupun kereta api,” katanya.
Pengembaraan siri pertama Eurovac 2011 yang disertai oleh empat keluarga baru-baru ini berakhir di Amsterdam.
Berbeza dengan percutian biasa, pengalaman melancong di dalam hotel bergerak itu meninggalkan kenangan yang tentunya tidak akan dilupakan.
Selain Eropah, EuroVac Management juga akan melebarkan pengembaraan ke Australia dan New Zealand tidak lama lagi. Untuk mengikuti pengembaraan Eurovac yang seterusnya, sila layari laman www.eurovac.my/v3/.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: