Friday, July 29, 2011

Kutahya pewaris seramik Iznik Turki


Bola Seramik Hiasan Kutahya, Turki. Abad ke 19 Masihi / Abad ke 13 Hijrah


KUALITI barangan seramik Iznik mengalami masalah kemerosotan kualiti yang teruk pada abad ke 17 Masihi selepas ia dikagumi ramai selama lebih kurang 200 tahun. Antara sebab utama kemerosotan kualiti barangan Iznik ialah kerana campur tangan istana, kekurangan bahan mentah, masalah kawalan harga yang terlalu ketat dan penghijrahan keluar pembuat seramik dari Iznik.

Pada abad ke 17 Masihi, seorang pegawai kanan empayar Uthmaniyah telah cuba untuk mengukuhkan kembali industri seramik Iznik dengan membawa dua orang pakar pembuat seramik Iznik ke Istanbul untuk memulakan bengkel seramik Iznik semula. Malangnya kesinambungan kraf seramik ini gagal mencapai keputusan yang dikehendaki kerana terdapat pelbagai masalah teknikal.

Sewaktu industri seramik Iznik semakin merudum, satu lagi pusat pembuatan seramik empayar Uthmaniyah mula mendapat perhatian. Kutahya yang juga merupakan pusat pengeluaran barangan seramik Uthmaniyah semakin digemari dan semakin popular di kalangan rakyat tempatan dan juga pendatang asing.

Sewaktu abad ke 17 Masihi, harga barangan seramik Kutahya mula meningkat dan mengatasi harga barangan seramik Iznik di pasaran. Sebagai contoh, pada tahun 1623 Masihi, sebiji pinggan Kutahya berharga 500 akne (mata wang Uthmaniyah ketika itu) berbanding harga dua belas biji pinggan Iznik yang berharga 60 akne keseluruhannya.

Barangan seramik Kutahya mendapat permintaan tinggi kerana motif hiasan dan jenis produk yang berlainan berbanding barangan seramik yang dikeluarkan di Iznik. Motif hiasan Kutahya dikatakan lebih digemari kerana ia sesuai dengan cita rasa golongan pembeli yang bukan daripada golongan istana. Motif hiasannya memaparkan motif harian dan legenda yang menepati cita rasa golongan di luar istana berbanding motif hiasan barangan Iznik yang terlalu kompleks seperti tughra dan rumi hatayi yang sesuai untuk kegunaan istana.

Seramik keluaran Kutahya juga turut mendapat permintaan daripada golongan bukan Islam untuk hiasan seni bina rumah ibadat mereka terutamanya gereja. Pembuat barangan seramik Kutahya juga memenuhi permintaan masyarakat bukan Islam untuk mendapatkan motif-motif keagamaan yang mereka perlukan seperti yang terdapat di dalam gereja St James di Jerusalem.

Antara bangunan empayar Uthmaniyah abad ke 18 Masihi yang menggunakan seramik Kutahya ialah Masjid Yeni Valide di Istanbul, Balikli Tekkesi di Kutahya, Masid Nakiboglu di Konya, Masjid Beylerbeyi di Istanbul dan Masjid Ali Pasha di Kutahya.

Motif yang menunjukkan ilustrasi Ka'abah di Mekah di atas seramik turut bermula dengan seramik Kutahya. Ia juga turut memperlihatkan penambahan warna yang digunakan di atas barangan seramik Kutahya seperti kuning dan biru kundang. Kedua-dua warna ini mendapat permintaan yang tinggi daripada pembeli.

Seperti Iznik, Kutahya juga mengalami saat-saat kemerosotan pada abad ke 18 Masihi tetapi industri ini mampu bangkit semula pada abad ke 20 dan terus mewarisi kegemilangan industri seramik Iznik sehingga ke hari ini dengan menggunakan motif hiasan seramik Iznik seperti bunga tulip, teluki (carnation), hyacinths dan sebagainya atas permintaan pembeli yang tinggi. Sokongan daripada kerajaan di awal abad ke 20 Masihi dengan mewajibkan bangunan baru menggunakan hiasan seramik Kutahya membantu mengukuhkan industri seramik Kutahya.

Selain pembuat seramik Kutahya, terdapat juga pembuat seramik di Jerusalem dan di Eropah yang meneruskan penggunaan motif hiasan seramik Iznik walaupun ia tidak mempunyai kualiti yang setanding dengan barangan seramik Iznik.

Barangan seramik Iznik dan Kutahya ada dipamerkan di galeri seramik Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM). MKIM juga akan menerbitkan sebuah buku mini baru yang berjudul The Essence of Iznik tidak lama lagi. Buku mini ini sesuai untuk bacaan umum dan para pelajar seni sebagai pengenalan kepada seni barangan seramik Iznik. Ia boleh didapati di Kedai Muzium Kesenian Islam Malaysia atau lawati laman sesawang muzium di www.iamm.org.my untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: