ANGGUN...bergaya dengan gaun rekaan Ezuwan.
JIKA sebelum ini, dia selesa dikenali sebagai Nora saja namun pe�nyanyi lagu Di Persimpangan Dilema, Nora Ariffin akhirnya mengambil keputusan untuk menukar nama baru kepada Nora J. Kenapa Nora J?
Alasan penyanyi dari Kelantan itu, nama Nora sudah ada banyak persamaan dengan ramai personaliti lain maka dia memilih ‘jenama baru.’
Menjelaskan perkara itu kepada Rap, baru-baru ini, kata Nora, J diambil daripada pangkal huruf nama suami�nya, komposer Johan Nawawi.
Katanya, kalau selama ini dia menghubungi orang dan memberi tahu namanya sebagai Nora Ariffin, pasti ia akan menimbulkan kekeliruan.
“Oleh itu, ‘Nora J’ boleh dikatakan penjenamaan semula nama komersial saya.
Sekurang-kurangnya, tiada lagi kekeliruan pada nama Nora itu yang mengaitkan diri saya dengan individu lain.
“Di Singapura pun sekarang, ada juga model profesional yang namanya Nora Ariffin.
“Bahkan, kalau masuk Internet, kalau taip nama Nora maka dalam carian akan muncul banyak Nora. Jadi, apabila menggunakan nama Nora J, ia sememangnya merujuk kepada diri saya seorang. Cuma ia memerlukan sedikit masa untuk orang ingat,” jelasnya.
Ditemui pada majlis pelancaran album Voices of Ummi (VOU) - Erti Al-Fatihah
di Saloma Bistro, kelmarin, Nora, 38, yang makin selesa dengan imej bertudung bukan saja memiliki vokal yang hebat, malah paling ketara, dia tampak semakin langsing.
Ditanya sama ada dia mengamalkan diet, Nora berkata dia sudah kurang mengambil makanan berminyak dan lebih banyak makan buah-buahan serta sayur-sayuran yang direbus.
Ujarnya, apa yang dilakukan itu sekadar mengutamakan kesihatan diri.
“Saya baru empat bulan mengamalkan diet sebegini. Saya tidak berseorangan melakukannya kerana anak-anak saya pun turut sama.
“Cuma, sekarang saya berusaha menarik minat suami untuk ikut jejak baru saya ini. Bukan apa, saya menjaga kesihatan demi keluarga tersayang.
“Sebagai seorang isteri dan ibu, saya ada keluarga yang harus diberikan perhatian. Justeru, menjadi keutamaan saya menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan seimbang yang baik untuk kesihatan. Amalan diet saya juga mengikut nasihat doktor,” katanya.
Menyentuh pula mengenai pembabitannya dalam album VOU, Nora berkata sekarang adalah masa yang sesuai untuknya muncul dengan produk seni bercorak kerohanian. Ujarnya, bukan hanya sesuai untuk kanak-kanak, tetapi juga seisi keluarga.
Menurutnya, ketika ini kalau dilihat sangat kurang karya hiburan islamik atau kerohanian untuk semua isi keluarga. Menurut Nora, idea untuk muncul dengan album VOU itu disebabkan anak-anaknya yang cukup meminati kumpulan Raihan dan lagu berkonsep ketuhanan.
Selain Nora, VOU juga dianggotai dua anaknya - Alif Johan atau Alif, 12, serta Putri Dahlia (Putri), 7.
Malah, bagi melengkapkan ia sebagai satu kumpulan, anggota lain adalah Aiman Abbas (Aiman), 14, Hana Ham�dan (Hana), 11, dan Jihad Hamdan (Atan), 8.
Bukan hanya kumpulan penyanyi kanak-kanak yang digabungkan, VOU turut muncul dalam siri animasi muzikal kanak-kanak berjudul Ummi-Ceritalah Pada Kami.
Suara mereka diguna pakai dalam watak animasi itu dan Nora sendiri membawa watak Ummi.
Ditanya pula pandangannya mengenai penerimaan album kerohanian, Nora berkata biarpun pasaran muzik terjejas, tetapi album nasyid yang menjurus kepada kerohanian masih mendapat sambutan.
Apa yang diketahui, album nasyid boleh dijual mencecah 30,000 unit.
Ujarnya, tidak dinafikan dia berasa takut juga apabila memikirkan mengenai pasaran, tetapi jauh di sudut hatinya tetap berasa yakin album VOU - Erti Al-Fatihah akan diterima baik.
Lagipun, katanya, album itu tidak dihasilkan untuk mengejar keuntungan semata-mata.
Tak halang bakat seni anak-anak
MELIHATKAN Nora bergabung dengan anak-anak�nya dalam kumpulan VOU, jelas menunjukkan keluarga ini amat meminati seni.
Bukan saja Nora sebagai penyanyi tetapi, suaminya, Johan juga komposer terkenal.
Menurut Nora, dia sendiri tidak menyangka bahawa anak-anaknya meminati seni dan mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.
Malah, ujarnya. anak bongsu, Putri Dahlia pada usia kanak-kanak sudah boleh mencipta lagu.
Kata Nora, lagu Bismillah adalah ciptaan Putri.
“Melihatkan minat anak-anak kepada seni, saya dan suami tidak menghalang. Kami memberikan sokongan berikutan darah seni itu sememangnya sudah ada dalam diri mereka untuk diwarisi.
“Cuma memandangkan anak-anak masih kecil, pendidikan di sekolah masih keutamaan saya.
“Saya sangat bersyukur de�ngan anugerah yang diberikan kepada anak-anak saya dan mereka rela melakukan kerja ini tanpa paksaan.
“Sekarang, saya harap album ini akan mendapat sambutan,” katanya turut mengharapkan mendapat kerjasama stesen radio tempatan.
Dalam pada itu, Johan selaku penerbit album memaklumkan pihaknya me�ngambil masa selama setahun untuk menyiapkan album runut bunyi yang akan mempromosikan animasi terbitan syarikatnya, Hud Hud Media dan Johan Nawawi Sdn Bhd.
“Album ini menampilkan 13 buah lagu yang akan diedarkan oleh Erama Creative Sdn Bhd dan Erama Records Sdn Bhd melalui portal www.erama.tv menjelang Ramadan ini. Apapun, animasi Ummi dijangka akan disiapkan sepenuhnya pada hujung tahun ini. Sehubungan itu, sementara animasi itu disiapkan, adalah lebih baik kami menghasil�kan lagu-lagu yang akan turut dimuatkan. Malah, yang penting konsep lagu dikete�ngahkan ialah pop kerohanian,” katanya.
PROFIL:
NAMA SEBENAR: Wan Nor Afizah Ariffin
TARIKH LAHIR: 26 Julai 1973
ASAL: Kelantan
BILANGAN DALAM KELUARGA: Anak bongsu daripada tujuh beradik
SUAMI: Johan Nawawi
ANAK: Mohd Syakir Iman, Mohd Syakir Alif, Putri Nor Dahlia
KERJAYA: Penyanyi, pengacara
PENCAPAIAN: Juara Bintang HMI 1991
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: