|
|
SAMBA Brazil biasanya lebih sesuai di padang bola. Bila bercakap tentang Brazil dan sukan, hanya satu perkara yang bermain di fikiran kita, skuad bola sepak yang hebat atau gadis tinggi lampai di gelanggang bola tampar.
Siapa yang pernah terfikir tentang Brazil dan badminton ? Ia umpama kombinasi yang tidak kena, namun hakikatnya, badminton juga adalah sukan pilihan di negara Amerika Selatan itu. Ini yang menjadikan Santai S2 minggu ini unik, kami memperkenalkan gadis Brazil yang memilih untuk ber’samba’ di gelanggang badminton.
Akademi Badminton New Vision yang terletak di Petaling Jaya menjadi pilihan Yasmin Cury, gadis manis dari Campinas, Sao Paulo dan rakan-rakannya untuk mendalami ilmu badminton. Dia tiba di sini Februari lalu bersama jurulatih, Luis Fernando, pemain lelaki No. 1 Brazil, Daniel Paiola, pemain wanita No. 1 negara itu, Fabiana Silva serta rakan sepasukan, Hugo Artmuso.
Kata Cury, selepas melengkapkan perguruan tujuh bulan di negara ini, barulah dia akan berlepas pulang tetapi dia akan singgah terlebih dulu di Guatemala, September ini untuk beraksi dalam kejohanan di sana.
Menceritakan bagaimana dia boleh terlibat dalam badminton, sukan yang kurang popular di Brazil, Cury menjelaskan, pada asalnya dia seorang pemain bola tampar, namun dia sanggup meninggalkan sukan itu kerana minat terhadap badminton.
“Dulu saya gemar bermain bola tampar tetapi sebaik mula mengenal badminton, cinta saya telah bertukar arah. Saya serius bermain pada usia 11 tahun dan menyertai pasukan kebangsaan. Bagi saya badminton mampu menguji kekuatan individu dan ia antara sebab yang membuatkan saya tertarik dengan sukan ini.
“Kawan-kawan banyak mempengaruhi saya untuk memilih badminton. Saya bergaul dengan ramai pemain hebat di negara saya, daripada suka-suka saya akhirnya bergiat serius. Namun, pada awal penglibatan saya, ibu bapa saya tidak tahu.
“Selepas melihat saya amat meminati sukan ini, mereka terus memberi sokongan sehinggalah hari ini,’’ cerita Cury.
Cury, yang ketika ini menghuni ranking ke-170 dunia dalam perseorangan wanita turut mendedahkan, jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mempunyai pengaruh besar di negaranya. Kehebatan juara All England itu amat dikagumi pemain- pemain Brazil, malah ia antara faktor yang membawa dia untuk berlatih di Kuala Lumpur.
“Kemampuan Lee Chong Wei mempertahankan banyak kejuaraan antarabangsa melahirkan rasa kagum mereka yang sentiasa mengikuti perkembangannya, di Brazil dia menjadi idola dan pujaan ramai pemain,’’ katanya.
Katanya lagi, selain faktor Chong Wei, kelainan sistem latihan di Malaysia juga antara yang membawanya dan rakan-rakan memilih untuk berlatih di sini, biarpun lokasi Kuala Lumpur amat jauh dari negara asalnya.
“Sistem latihan di sini amat berbeza dengan di negara kami, ia banyak memberi penekanan kepada aspek kekuatan kecergasan.
“Banyak perkara baru yang saya belajar sepanjang lima bulan berada di sini,” kata Cury, yang memasang misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 di London.
Biarpun seronok dengan pengalaman di Kuala Lumpur, namun gadis Virgo ini mengakui, amat merindui negaranya.
“Kurang dua bulan lagi, saya tidak sabar untuk pulang.. saya benar-benar rindukan Brazil,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: