SELAMAT datang Ramadan, bulan yang menjanjikan 1,000 keberkatan kepada umat Muhammad SAW. Tuntutan ketiga dalam Rukun Islam itu mendidik penganutnya menjadi tangkas dan mantap jiwa. Ia juga menguji keampuhan iman, sekukuh iman barisan sahabat yang berjuang menegakkan syiar Islam bersama junjungan mulia ribuan tahun lalu.
Ketika Ramadan, daya tahan sukarelawan paling tegar sekalipun akan diuji dengan pertempuran padang pasir tanpa makan dan minum, terutama ketika suhu meningkat
Memang terlalu dalam jurang jika ingin menyamakan apa yang berlaku hari ini dengan pertempuran pertama dalam Islam - Perang Badar - yang berlaku dalam bulan puasa pada tahun kedua Hijrah. Ramadan ini mungkin dapat memberikan gambaran lebih jelas bagaimana bulan itu berfungsi mengukuhkan semangat biarpun dengan kudrat terhad.Kebetulan, bulan mulia ini tiba pada ketika bahang kebangkitan rakyat di dunia Arab masih panas. Harapan rakyat di negara bergolak supaya Ramadan kali ini mampu mencipta saat penting dalam politik, mengharapkan keberkatannya untuk menyaksikan doa mereka termakbul.
Ramadan akan memberikan puak penentang peluang lebih luas menganjurkan bantahan kerana lebih ramai umat Islam berhimpun di masjid dan aktiviti keagamaan. Di negara yang masih berdepan kebangkitan seperti Yaman dan Syria, mungkin puak penentang jadi lebih kuat dan yakin sepanjang sebulan ini, mengguna aktiviti agama untuk mengumpul pengikut.
Bermula esok juga, penggerak kebangkitan di negara Asia Barat berdepan cabaran baru yang bukan calang-calang dengan kedatangan Ramadan, menuntut penganut berlapar dan dahaga daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Apakah makna bulan al-Mubarak ini kepada pihak yang terbabit dalam perang saudara di Libya, pergelutan di antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan di Syria, keruncingan politik di Yaman dan laungan pembaharuan tegar di Mesir?
Awal bulan ini, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menegaskan tidak akan mengebom Libya ketika Ramadan jika tentera yang setia kepada Presiden Muammar Qaddafi turut menghormati gencatan senjata. NATO bimbang pengeboman Tripoli akan mencetuskan kemarahan dunia Islam.
Bagaimanapun, ia bertentangan dengan kenyataan Menteri Luar Perancis, Alain Juppe yang menegaskan kempen ketenteraan NATO akan diteruskan selepas wakil negara Islam memberitahu ‘tiada percanggahan antara peraturan agama ketika Ramadan dan kelangsungan campur tangan tentera’.
Malah kini, pemberontak Libya meminta bantuan askar Perancis untuk menyerbu Tripoli dalam masa beberapa hari lagi melalui gerakan serangan ‘awal Ramadan’.
“Ketika Ramadan, daya tahan sukarelawan paling tegar sekali pun akan diuji dengan pertempuran padang pasir tanpa makan dan minum, terutama ketika suhu meningkat,” menurut wartawan AFP.
Namun masih tidak jelas berapa ramai pemberontak akan berpuasa. Minggu lalu, seorang pemberontak berkata kepada akhbar The Washington Post bahawa Islam membolehkan pejuang tidak berpuasa ketika berperang.
Seorang lagi berazam akan terus berperang seperti biasa jika pertempuran berterusan sepanjang Ramadan dan mereka tidak akan berhenti sehingga berjaya membebaskan Libya. Seorang pejuang muda menambah: “Ramadan adalah waktu terbaik untuk syahid”.
Bagaimanapun, tidak semua orang bersikap optimis seperti pemberontak berkenaan sebaliknya menyifatkan Ramadan menjadi lohong hitam bahaya yang mengancam kempen ketenteraan NATO di Libya. Malah kedatangan Ramadan menguasai perbincangan di ibu pejabat NATO di Brussels dan ibu pejabat pemberontak di Benghazi.
Dengan tentera berpuasa sepanjang hari, pemberontak tidak akan berada dalam kedudukan untuk melancarkan gerakan besar-besaran. Tanpa tindakan selama sebulan, pengunduran mungkin berlaku dan mereka memerlukan masa lebih panjang untuk kembali ke kedudukan terkini.
Malah, dengan pemberontak berdepan kekurangan makanan, minyak dan wang tunai, ada risiko penduduk akan berpaling tadah.
Sementara di Syria, penganalisis menyatakan kedatangan Ramadan memberi kelebihan kepada penunjuk perasaan terutama apabila penduduk miskin memenuhi masjid untuk berbuka puasa dan menjadikan rumah ibadat itu pusat bantahan dan boleh mencetuskan masalah lebih serius kepada kepemimpinan Presiden Bashar al-Assad.
Ramadan juga mungkin mencetuskan bibit perpecahan dalam kalangan penunjuk perasaan di negara ini. Ketegangan mazhab akan diapi-apikan oleh kumpulan tertentu atau pasukan keselamatan yang dikuasai puak Alawite yang pasti akan meneruskan tindakan ke atas penunjuk perasaan bermazhab Sunnah.
Apa yang perlu diawasi tentera Syria ialah mereka berdepan risiko tinggi jika cuba menyerang penunjuk perasaan dalam masjid. Ada juga kemungkinan kerajaan di Asia Barat akan mencapai gencatan senjata dengan pembangkang ketika Ramadan.
Di Yaman pun, pengarah kumpulan pemikir berpangkalan di Sanaa, Ahamad Saif menjangka demonstrasi menentang Presiden Ali Abdullah Saleh akan meningkat ketika Ramadan walaupun mereka sudah kehilangan momentum ketika Saleh semakin pulih daripada pembedahan di Arab Saudi.
“Demonstrasi tidak akan berlaku kerana sentimen agama sebaliknya kerana orang ramai bertemu di jalanan,” katanya.
Kejatuhan Hosni Mubarak nyata belum mematikan semangat pembaharuan di Mesir dan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir berikrar akan meneruskan bantahan mereka sepanjang Ramadan, tetapi penganjur memberi jaminan mengawasi kesesakan jalan raya sebelum waktu berbuka apabila semua orang berpusu-pusu pulang ke rumah, bimbang pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencetuskan kekacauan.
Seorang rakyat Mesir, Cheraz Eldin, berkata penduduk negaranya bercanggah pendapat mengenai bagaimana mereka menilai impak Ramadan ke atas bantahan. Sebahagiannya memandang Ramadan menjadi penghalang dan sebahagian lagi menyifatkan ‘setiap hari adalah Jumaat.’
Di negara Arab yang sering berlaku pergerakan membantah kerajaan, Ramadan menyediakan peluang kepada kedua-dua pihak berkuasa dan pembangkang.
Pada Ramadan, penduduk saling bertemu pada waktu berbuka dan masjid memberikan kesempatan kepada pembangkang untuk meraih simpati dan landasan melancarkan bantahan, namun kerajaan mungkin meningkatkan langkah pencegahan terutama di negara yang perkhidmatan keselamatan ketat seperti Maghribi dan Jordan.
Ada juga penganalisis meramalkan Ramadan tidak akan mencetuskan sebarang perbezaan di sesetengah negara Arab seperti Tunisia.
Apa pun, jika keberkatan Ramadan dihayati dan umat merebut ganjaran berganda yang dijanjikan Ilahi, mungkin ada baiknya pihak bertelagah berbincang dengan pemerintah mencari penyelesaian terbaik buat kedua-dua pihak.
Namun jika mengangkat senjata tetap menjadi pilihan terakhir, dapatkah mereka memastikan matlamatnya selari dengan perjuangan tentera Islam dalam Perang Badar suatu ketika dulu?
INFO: Perkembangan pergolakan di Asia Barat
Kabinet baru Mesir mengangkat sumpah 21 Julai lalu, namun tidak meredakan keadaan malah penunjuk perasaan terus membantah dan berhimpun di Dataran Tahrir
Pembangkang menolak dialog perdamaian dengan parti pemerintah yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Amerika Syarikat, Britain dan 30 negara lain mengiktiraf kumpulan pembangkang utama Libya sebagai kerajaan yang sah. Britain dilaporkan akan mengusir diplomat dari rejim Muammar Gaddafi
Keganasan terus berlaku dan terbaru 11 penunjuk perasaan terkorban selepas tentera Syria melancarkan serangan di Damsyik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: