|
|
CUACA panas membahang, tetapi petang itu kelihatan begitu sempurna. Cuaca yang indah dan di sebalik senyum yang tersungging, dia....memang sangat cantik.
Usai didandan, gaun merah melekap di badan dan dia mula bercanda dengan lensa.
“Hmm, sudah lama tak jumpa orang Pancaindera. Lama sangat Faz tak jadi penghias muka depan Pancaindera ni," katanya dalam manja yang mempesona.
Memang lama benar kami tidak bertemu, sementelah dia bukanlah artis yang 'gila' kepada publisiti murahan.
Tidak juga mudah melayan cerita-cerita kontroversi, Fazura biasanya memilih 'diam' daripada berkata-kata, demi menyelamatkan keadaan.
“Beginilah kehidupan Faz dari dulu sampai sekarang. Kalau ada benda tentang kerjaya yang mahu diceritakan, Faz bersedia muncul di media.
“Tetapi kalau tentang personal, kisah kontroversi, maaflah, Faz tidak perlukan itu semua kerana selama ini orang kenal Faz dengan bakat, bukan kerana cerita panas," katanya, memulakan bicara penuh sopan.
Ditanya tentang kehidupan, seperti dulu juga, mulutnya bak bertih kalau bercerita tentang kerjaya. Lakonan kekal di persada utama dan dia masih menerima rezeki besar daripada tugas jurucakap produk ternama.
Bariskan jenama antarabangsa, ya, dia memang ahlinya. Kalau tidak masakan Lux, Nutox, Hairdream dan Avon sanggup membayar 'wang besar' untuk memiliki aura pesonanya.
“Jadi duta produk ni, apa yang Faz paling suka ialah dapat bertemu dengan penggemar di luar Kuala Lumpur. Sibuk membawa nama produk yang Faz wakili ke sana sini, memberi peluang untuk Faz bertemu orang ramai dengan lebih dekat.
“Ini yang Faz mahukan,, bertemu orang ramai secara terus. Awal 2011 itulah tugasan yang membuatkan Faz menjadi terlalu sibuk.
“Kepuasan bertemu dan ramah mesra, berkenalan dan kenal siapa yang sebenarnya menyokong Faz selama ini adalah satu keindahan yang besar dalam kerjaya Faz sebagai anak seni," katanya yang kembali bertandang di ruang tamu rumah kita melalui drama kontroversi, Tahajud Cinta.
Bakal ke lokasi seterusnya bagi menjayakan Kitab Cinta sepanjang Ramadan ini untuk sambutan Aidilfitri, Fazura mengakui semakin lama dalam dunia lakonan, cintanya terhadap bidang yang satu ini semakin subur mengharum.
“Orang selalu bertanya Faz, setelah sekian lama berlakon, dalam kehidupan apa lagi yang Faz mahukan?
“Itu soalan yang susah untuk dijawab sebenarnya. Dalam lakonan Faz tak pernah memperoleh kepuasan maksimum.
“Faz berasa semakin lama dalam bidang ini, masih banyak yang perlu Faz cari, yang perlu digali.
“Sementelah kita orang seni, rezeki kita melalui cabang ini. Kita tidak boleh buat main-main dengan sumber rezeki.
“Sebab itu, sehingga hari ini, lakonan masih menjadi persoalan penting dalam diri Faz. Setiap babak dan setiap watak adalah peluang untuk Faz mencari kesempurnaan dalam bidang lakonan.
“Selagi minat terhadap lakonan tidak terhenti, selagi itulah Faz akan terus berlakon," katanya.
Sibuk menguruskan kerjaya lakonan dan sebagai wajah eksklusif pelbagai jenama popular, hampir 10 tahun berlakon, tidak ada istilah rehat bagi dirinya.
Meskipun jarang muncul di dada akhbar dan majalah, kerja seninya masih menimbun sekaligus membuktikan Fazura kekal laris.
Berasa diri disayangi
Meskipun sudah dijadikan syarat awal supaya tidak terlalu dalam ‘mengorek’ cerita peribadi, ia tidak mungkin terkecuali.
Ternyata, bukan mudah mengorek cerita tentang rahsia hatinya. Meskipun tahu kasih pelakon asal Pahang ini dengan seorang kenamaan masih berlangsung dan utuh, susah untuk mengesahkan daripada mulut empunya diri. Biarlah kekal menjadi teka-teki.
“Dari dulu lagi Faz memang bukan jenis artis yang suka bercerita tentang hal peribadi. Minta maaf sangat sebab itu memang karakter Faz.
“Maklum sajalah, Faz perempuan, tak boleh bercerita lebih-lebih soal cinta sebab nampak macam tak manis,” katanya, mohon pengertian.
Menurut Fazura, selain tidak mahu dikatakan 'syok sendiri' seboleh mungkin dia menutup mulut daripada berbicara tentang hati dan perasaan supaya ia tidak disensasikan orang.
“Cuma apa yang Faz boleh beritahu ialah Faz sangat bersyukur dengan kehidupan hari ini. Hal-hal lain, tak perlulah hendak diceritakan banyak kerana saya menerima kehidupan ini dengan seadanya sahaja," katanya lagi.
Mengakui pada usia mencecah 28 tahun, soal jodoh dan pernikahan tidak boleh ditepis, namun Fazura lebih selesa menyerahkan percaturan hidupnya kepada Yang Maha Esa.
“Sebagai perempuan, tidak dinafikan dalam doa selalu kita berharap untuk mendapat seorang lelaki yang baik, sayangkan kita dan beriman.
“Bagaimanapun kita hanya manusia. Faz selalu percaya, Allah mempunyai perancangan yang paling baik untuk diri Faz dalam soal berkaitan dengan jodoh. Jadi tak perlu risau sebab segala-galanya sudah ada dalam kalam-Nya," katanya lagi.
Sampai waktu dan ketika, akan datang seorang lelaki terbaik untuk masa depan dirinya, menjadi bapa kepada anak-anak yang bakal dilahirkan, itu yang dipegang.
Pun apa yang penting, biarlah lelaki yang bakal menjadi ketua keluarganya kelak adalah seorang lelaki yang boleh mengasihinya setulus hati, sanggup bersusah dan senang, bagaimana ayah dan ibu menjaganya sewaktu kecil.
“Tak kira siapa jodoh itu, yang penting dia boleh menggembirakan Faz. Hidup kita ni sekejap sahaja, Faz selalu berdoa supaya bertemu dengan lelaki yang boleh jaga dan sayangkan Faz setulus hati.
“Perkahwinan bukan hanya untuk sehidup dan semati. Kalau boleh, kita mahu bertemu dengan pasangan kita sampai ke akhirat.
“Jadi, untuk bercakap tentang jodoh dan pernikahan bukan sesuatu yang mudah bagi Faz kerana lebih baik kita serahkan semuanya kepada Yang Maha Esa," katanya.
Dalam kehidupan, menurut Fazura dia tidak mahu meminta lebih. Cukup sekadar berasa diri disayangi dan dikasihi oleh Sang Pencipta.
“Selama ini hidup Faz cukup sempurna, terasa sangat diri ini disayangi oleh Yang Esa kerana setiap permohonan Faz kepada-Nya mudah dimakbulkan.
“Tak ada apa lagi yang nak minta selain menurut perintah dan tanda bersyukur terhadap apa yang dikurniakan. Kalau jodoh belum sampai, tak perlu hendak menangis bersedih kerana Allah ada rancangan terbaik untuk Faz dimasa depan dan kita tak boleh mendahului takdir Allah," katanya lagi, seperti berfalsafah.
Enggan layan cerita murah
Menyentuh mengenai isu membabitkan soal pertelingkahan dengan seorang pelakon baru, Fazura mahu kenyataan yang diberikan ini yang terakhir di media.
Bagi Fazura, melayan persoalan remeh temeh sebegitu, hanya menjamin kerugian bagi pihak diri sendiri.
“Dalam hal berkenaan, saya berasakan diri saya sebagai mangsa keadaan. Tetapi biarlah, perkara remeh-temeh dan cerita murahan tak perlu dilayan sangat.
“Jika untungkan orang lain, biarlah pihak berkenaan saja yang mainkan isu. Matlamat awal saya jadi anak seni yang cari makan dalam bidang ini untuk berlakon, bukan muncul di dada akhbar dengan cerita murahan dan gosip tidak berasas.
“ Ini penjelasan terakhir, saya tak akan menjawab lagi soalan tentang artis baru itu. Tolonglah bantu saya untuk tidak melayan cerita murahan. Ini sandiwara yang menguntungkan orang lain yang dalam masa sama sangat merugikan saya,” katanya, tegas.
Menurut Fazura, cerita pertelingkahan itu tidak ada nilai langsung dan tidak perlu diberikan perhatian besar.
“Apa yang lebih penting lagi, saya tidak mahu melayan niat jahat orang lain terhadap diri sendiri, kehidupan saya dan orang-orang yang saya sayang.
“Sekalipun ada pihak yang mahu ‘meracun’ masyarakat dengan cerita tidak benar, saya serahkan kepada Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana," katanya.
Penjelasan Fazura ini tanpa berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak, tetapi dengan rendah diri dia memohon agar pihak media tidak lagi mengaitkan dirinya dengan pelakon baru atau sebarang sensasi yang tidak menguntungkan.
Petang sudah berlalu dan langit tidak lagi biru di atas.
Saya teringat kata-kata akhirnya " Nama saya Nur Fazura, dan saya mahu menjadi sahabat kepada semua orang, bukan musuh sesiapa kerana di sisi Tuhan, kita semua adalah sama."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: