Saturday, July 30, 2011

Bapa revolusi bola sepak Sarawak


KENANGAN manis Awang Mahyan (berbaju putih) ketika membimbing skuad bola sepak Sarawak pada 1988.


HANYA 26 bulan saja Awang Mahyan Awang Mohamad membimbing skuad bola sepak Sarawak, namun dalam tempoh sesingkat itu beliau berjaya merevolusikan pasukan berkenaan dan 'merasuk' semangat penyokong fanatiknya ke tahap luar biasa.

Kejayaan skuad bimbingannya , yang digelar Ngap Sayot pada 1988 dan 1989 diabadikan dalam buku bertajuk Legenda Ngap Sayot hasil tulisan Dr. Jeniri Amir, pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Keperibadian unik Awang Mahyan menyebabkan dia mendapat pelbagai gelaran seperti panas baran, pantang dicabar, keras kepala, cakap lepas, bomoh, 'gila-gila' dan degil, namun sewaktu namanya dipuja, beliau mengundur diri pada 1990 atas nasihat arwah ibunya yang tidak mahu beliau dicemuh jika bersara pada era kemerosotan.

Ketika bergelar pemain, kariernya hampir berkubur apabila digantung seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1973 kerana menumbuk pemain lawan hingga dimasukkan ke hospital selama 14 hari.

Beliau bernasib baik apabila FAM menerima rayuannya dan menukar hukuman kepada penggantungan lima tahun, sebelum akhirnya dipendekkan kepada tiga tahun.

Apabila tempoh penggantungannya berakhir, Awang Mahyan kembali ke padang bola sepak dan menyertai skuad Sarawak pada 1979, di usia 29 tahun sebelum bersara pada 1982.

Tujuh tahun kemudian, beliau diberi mandat menjadi jurulatih, dan bermula dari saat itu, landskap bola sepak Sarawak direvolusikan daripada pasukan belasahan kepada pasukan yang digeruni.

Menggunakan slogan Ngap Sayot yang membawa maksud kasar 'makan sayur' atau lawan boleh dijinakkan, Sarawak amat hebat di bawah bimbingan Awang Mahyan.

Namun, kecemerlangan mereka ketika itu turut diselubungi dakwaan pengunaan ilmu hitam sedangkan kata Awang Mahyan, ia hanyalah permainan psikologi.

Kisah kemunculan kucing hitam di padang cuma kebetulan, malah ada peminat sengaja melepaskan haiwan itu apabila Sarawak menang. "Kita lancar perang psikologi. Semasa menentang Singapura semua pemain memakai stokin sebelah merah sebelah hitam dan masuk padang melalui penjuru, bukan dari garisan tengah. Ia memberi kesan kerana pemain Singapura budak bandar, mereka takut dengan unsur 'ilmu hitam," katanya sambil ketawa.

Awang Mahyan juga memberi air penaik semangat kepada pemain menggunakan ayat al-Quran kepada pemain. "Apabila minum budak-budak saya menjadi, tapi ia kesan psikologi kerana pernah kita terlupa bawa air dan saya 'tipu' mereka dengan bagi air biasa, semangat mereka naik juga," katanya.

Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Negeri, Kuching juga antara peristimewa yang tidak boleh dilupakan Awang Mahyan.

Selepas aksi pertama di Alor Star terikat 1-1, stadium 17,000 tempat duduk itu diserbu 40,000 peminat. Penonton yang melimpah ruah hingga ke tepi padang memaksa perlawanan dibatalkan. Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bersetuju dengan cadangan FAM untuk memindahkan perlawanan ke Stadium Nasional Singapura, di mana Sarawak akhirnya kalah.

"FAS silap besar kerana ikut cakap FAM. Dalam peraturan dinyatakan jika penonton tidak terkawal dan perlawanan ditangguh, ia mesti diteruskan keesokan hari tanpa penonton," katanya.

Tambah Awang Mahyan lagi, kenangan 1988 juga tidak lengkap jika peristiwa beliau terjun ke Sungai Sarawak dari Jambatan Gantung Satok tidak diimbas.

Ia berpunca daripada cabaran yang dilontar kepada pemain jika mereka menewaskan Johor pada suku akhir kedua di Kuching. "Johor memegang kelebihan dua gol ketika itu, jadi bagi menaikkan semangat pemain, saya beritahu akan terjun Sungai Sarawak jika mereka menang dan sanggup berlari balik ke hotel dari stadium selepas perlawanan.

"Alhamdulillah, Sarawak menang dan malam itu juga pemain saya berlari balik ke hotel. Keesokannya saya bersama 150 penyokong terjun ke sungai Sarawak," katanya.

Pada 1989, Sarawak layak ke suku akhir Piala Malaysia tetapi kempen mereka dihentikan oleh insiden hitam bertemu Kuala Lumpur di Stadium Merdeka. Sarawak membantah keputusan pengadil, Steven Ovinis yang melayangkan kad merah kepada pemain mereka yang didakwa membuang masa sedangkan dia benar-benar cedera.

Ovinis mendakwa ditolak oleh pemain dan memaksa Unit Simpanan Persekutuan (FRU) campur tangan dengan memukul pemain Sarawak. Beliau sendiri dikasari Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman, Tan Sri Mohd. Zaman Khan.

"Saya tak kenal siapa dia masa itu, akibat terlalu marah saya meludah muka Zaman Khan," katanya sambil menjelaskan perlawanan berkenaan dihentikan dan Kuala Lumpur diberi kemenangan percuma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: