Sunday, July 31, 2011

Enggan jadi lelaki


KEDUA-DUA 'wanita' ini memberitahu penulis bahawa mereka sememangnya dilahirkan sebagai lelaki.


MAYA dan Tasha tiba dahulu di sebuah kafe di Mont Kiara, Kuala Lumpur untuk sesi temu bual dengan Jurnal baru-baru ini. Dari kejauhan, kecantikan seorang wanita memang menjadi milik mereka. Penampilan Maya dan Tasha tiada cacat celanya.

Kedua-duanya berambut lembut melepasi bahu, selain susuk tubuh ramping dan berkulit mulus.

Tutur kata dan suara Maya dan Tasha juga lembut lagi tersusun. Cuma Maya yang berfizikal lebih tinggi berbanding Tasha mempunyai suara yang sedikit serak.

Namun, di sebalik figura wanita itu, sebenarnya banyak rahsia yang tersimpan. Tanpa mendedahkan identiti, tiada siapa yang menyedari bahawa kedua-dua mereka sebenarnya dilahirkan sebagai seorang lelaki.

“Kami memang dilahirkan sebagai seorang lelaki. Namun, naluri kewanitaan yang mendesak kami untuk berubah menjadi seperti seorang wanita,” kata Tasha, 30.

Menyingkap sejarah lalu, Tasha yang kini bekerja sebagai jurujual di sebuah butik mekap berjenama antarabangsa memberitahu bahawa dia mempunyai naluri seperti seorang perempuan sejak kecil lagi.

Tidak pernah terikut-ikut dengan pengaruh lelaki lembut lain, Tasha yang tinggal bersama datuk dan neneknya sejak berusia tiga tahun mengaku bahawa dia memiliki sifat itu secara semula jadi.

“Saya tidak meniru sesiapa, sebaliknya saya sendiri yang gemar berperwatakan dan melakukan perkara yang gemar dilakukan oleh seorang perempuan.

“Saya juga berasa pelik mengapa saya suka melakukan perkara itu,” kata Tasha yang menjadi mangsa perceraian rumah tangga ketika berusia tiga tahun.

Biarpun berperwatakan lembut dan hatinya meronta untuk menjadi seorang wanita, Tasha kekal berpakaian lelaki sehingga dia meningkat dewasa.

Titik mula Tasha melakukan perubahan drastik dalam hidupnya ialah ketika dia bekerja di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

Pil hormon

Melihat ramai rakan sekerja yang menukar penampilan daripada seorang lelaki kepada wanita, jiwanya yang sebelum ini terperangkap mula berani mengikut hati.

“Apabila melihat wanita cantik, jiwa saya meronta-ronta untuk menjadi seperti mereka. Saya tidak dapat menghalang perasaan itu.

“Setelah bertekad untuk berpenampilan sepenuhnya sebagai wanita, saya mula mengambil pil hormon wanita (estrogen),” katanya yang tidak pernah putus mengambil pil itu sejak enam tahun lalu.

Dia yang mendapatkan pil tersebut di farmasi pada harga sekitar RM11 untuk enam biji, mula menunjukkan perubahan fizikal dalam tempoh sebulan.

Di samping memperbanyakkan minum air soya, pinggul Tasha mula menunjukkan bentuk manakala buah dadanya membesar seakan-akan seorang wanita.

Tekstur rambut dan kulit Tasha turut berubah setelah dia mengambil pil yang mempunyai fungsi sebagai pil perancang jika diambil oleh seorang wanita tulen itu.

Bermulalah episod Tasha sebagai seorang wanita dari segi fizikal dan perasaan. Biarpun gembira dengan kehidupan barunya itu, Tasha bersedia untuk dicemuh.

“Ayah saya yang selama ini tidak pernah mengambil berat pada saya memukul saya kerana tidak suka dengan penampilan ini. Bahkan nenek juga sering dikeji orang kampung.

“Saya pernah bertanya pada nenek, adakah dia mahu melihat saya gembira begini ataupun rela membiarkan saya berkelakuan liar akibat seksaan perasaan,” kata Tasha yang mengaku mempunyai salasilah keluarga yang berperwatakan lembut.

Sahabatnya, Maya turut melalui jalan yang sama. Membuat keputusan untuk mengambil pil hormon ketika menuntut di sebuah universiti tempatan, Maya kini gembira dengan pilihannya itu.

Maruah

Namun, dia tetap berpakaian seperti lelaki ketika menghadiri kuliah. Ingin menangkis stigma masyarakat kepada golongan sepertinya, Maya nekad membuktikan bahawa golongan mak nyah bukan hanya hidup di lorong.

“Saya sekarang bekerja sebagai eksekutif di syarikat swasta. Bukan semua golongan mak nyah hidup di lorong-lorong gelap sebagai pelacur.

“Kami ada maruah. Masyarakat tidak sepatutnya menghentam kami kerana segelintir sahaja yang melakukan perkara keji itu,” ujar Maya yang turut menjadi mangsa perceraian ibu bapa.

Maya yang mendapat tentangan hebat daripada keluarganya setelah rahsia yang dijaganya terbongkar apabila ramai menyedari perubahan pada susuk tubuhnya itu nekad untuk menjadi seorang mak nyah yang berjaya, bijak dan disegani.

Dia kini membuktikan bahawa dia telah membela golongan sepertinya daripada terus dicemuh dan mengetepikan stigma kepada golongan mak nyah.

“Kami tidak pernah meminta untuk menjadi begini. Kalau boleh kami ingin menjadi seorang lelaki sejati.

“Biarlah masyarakat mencaci kami, asalkan kami bahagia dengan kehidupan begini kerana Tuhan sahaja tahu apa yang kami rasa.

“Apa yang penting bukan semua mak nyah akan menghabiskan sisa hidupnya di lorong-lorong,” kata Maya.

Maya dan Tasha bagaimanapun tidak merancang untuk menjalani pembedahan jantina. Penampilan mereka tidak menjadi penghalang untuk berjaya dalam bidang profesional selagi menjaga nama syarikat tempat mereka bekerja.

“Dicemuh menjadi perkara biasa. Tetapi kami tidak menghadapi masalah untuk hidup, cuma ada sedikit kekeliruan bila berurusan dengan beberapa pihak.

“Setelah dijelaskan, mereka memahami siapa kami,” kata Maya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: