Sunday, July 31, 2011

Suhaila, Jimmy mula perang


NORSUHAILA tetap bertegas tidak mahu lagi bersuamikan Jimmy.


MELETAKKAN tajuk kenyataan akhbar rasmi dengan judul, 'Jimmy Shanley Tidak Siuman' boleh dikatakan satu tindakan paling pelik pernah dilakukan oleh mana-mana pasangan selebriti.

Bagaimanapun, semua itu tertulis di atas satu kenyataan yang dilayangkan oleh Nursuhaila Elliani Shuhaimy kepada suaminya, pengacara Jimmy Shanley sewaktu sidang media membuka pekung gelora perkahwinan mereka.

Ketika itu, genap sebulan selepas Suhaila melahirkan anaknya, Zahrah Shanley. Semuanya sebagai jawapan balas pihak isteri terhadap kenyataan si suami berhubung majlis cukur jambul anak yang tersiar dalam akhbar bukan terbitan Kumpulan Utusan pada 24 Julai.

Entah kali ke berapa, tetapi antara rentetan kepada perkelahian rumah tangga antara Suhaila dan selebriti Astro itu hanya aman 20 hari selepas bernikah.

Sebelum ini, sudah bermacam cerita keluar daripada mulut Jimmy, sepatah pun tiada terkeluar sebarang pertanyaan terpacul daripada Suhaila walaupun ditanya perihal nusyuz yang difailkan Jimmy di mahkamah syariah. Cuma selepas lahirnya Zahrah pada 24 Jun lalu, Suhaila tampil memulang paku buah keras kepada Jimmy.

Semua itu ada di dada Suhaila sendiri yang sebelum ini barangkali sudah tahu benar bahawa Jimmy mahukan hak penjagaan terhadap anak mereka jika talak terus ditagih olehnya. Nampaknya, perang lidah antara Suhaila dan Jimmy sedang bermula, begitu juga dengan kes tuntutan perceraian dan nusyuz mereka yang sudah ada dalam fail mahkamah, menunggu tarikh untuk dibicarakan.

Alasan paling teguh Suhaila, dia sudah enggan bersuamikan Jimmy kerana pernah dipukul serta disepak terajang oleh Jimmy.

Alasan Jimmy pula, seorang suami boleh memukul isteri jika isteri berdegil, ingkar dan cuba menderhakai suami setelah berkali-kali dinasihatkan secara baik.

"Paling teruk saya pernah dipukul lebih kurang empat hingga lima kali sepanjang sebulan bersamanya. Sebelum akad nikah dan semasa berbulan madu di Koh Samui (Thailand) saya juga mengalami peristiwa yang serupa.

"Selama ini saya berdiam kerana tak nak publisiti murahan... saya orang bisnes dan tak suka publisiti macam ni. Banyak lagi yang saya pendamkan dan tak perlu dihebahkan kepada umum contohnya pergaulan Jimmy dengan sanak saudara sebelah saya sangat dingin. Dia ingat dia superstar, tak layak bergaul dengan sanak saudara saya, setiap kali majlis kenduri diadakan oleh bapa saya, Jimmy jarang bersapa dan bersalaman dengan sanak saudara," jelas Suhaila dalam kenyataannya.


SELEPAS isterinya bersalin, Jimmy kini bergelar bapa kepada bayi perempuan, Zahrah Shanley yang lahir pada 24 Jun lalu.


Dalam kenyataan itu, Suhaila ada menyebut tentang perangai Jimmy yang dirasakan pelik.

Kenyataannya berbunyi begini: "Semasa majlis pertunangan, rombongan pihak lelaki yang hadir hanya lima orang dan pada majlis akad nikah pula, rombongannya tidak sampai 10 orang, itupun di kalangan ahli keluarga sahaja tidak ada artis atau selebriti yang hadir bagi pihaknya. Jimmy tidak mempunyai kawan."

Jimmy, 32, bagaimanapun tidak mahu lagi meluahkan banyak perkara sehingga merumitkan keadaan. Ketika dihubungi untuk mendapatkan kepastian, Jimmy hanya mampu mengeluh dan berkata, lebih baik perkara itu tidak lagi diperbesar-besarkan kerana ia sudah menjadi kes mahkamah.

"Lepas ini saya hanya akan memberi keterangan di mahkamah. Saya jumpa dia (Suhaila) di mahkamah nanti," jelas Jimmy seperti keletihan menangani masalah perkahwinannya yang kusut lagi mengusutkan.

Suhaila turut mendakwa Jimmy gilakan publisiti dan tidak pernah cuba untuk berkomunikasi dengannya setiap kali mereka menghadapi masalah malahan pengacara itu lebih senang mengadu kepada ibunya, Datin Muniroh Kasim.

Jimmy pula bertegas, setiap kenyataan yang diberinya selama ini bukan kerana ingin meraih publisiti murahan seperti yang didakwa Suhaila kerana sepanjang tujuh tahun bergelar selebriti, dia tidak pernah mencetuskan sebarang kontroversi murahan.

Tambah Jimmy, dia juga mengakui, sepanjang masalah rumah tangganya berlaku, dia sering mengadu kepada ibu mertuanya tetapi itu berlaku kerana kesukaran untuk berhubung dengan Suhaila sendiri.

Apakah kesinambungan perang lidah Suhaila dan Jimmy, dan bagaimana kesudahan perbalahan pasangan yang terlalu mentah dala hal rumah tangga itu akan berakhir, semuanya akan menyusul sedikit masa lagi. Pasti ada sambungannya, tunggulah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: