|
|
KUALA LUMPUR - Pesakit dan beberapa petugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam gempar apabila tersebar berita salah sebuah Wad Kecemasan terbakar dan mengorbankan seorang lelaki pesakit mental.
Mangsa yang terbakar dalam kejadian pada pukul 12.30 malam itu Dedy Mulya Abdul Ghani, 33, seorang rakyat Indonesia yang bertaraf penduduk tetap.
Ia sebenarnya membabitkan sebuah bilik tahanan sementara di wad berkenaan.
Bagaimanapun, 15 pesakit lain yang berada di wad kritikal di wad kecemasan itu berjaya diselamatkan oleh kakitangan hospital yang cemas melihat kepulan asap menyelubungi wad terbabit.
Namun keadaan kelam-kabut itu berakhir selepas anggota tiba dan memadamkan api dalam tempoh setengah jam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 12.34 tengah malam sebelum menghantar dua jentera.
"Kita mengambil masa setengah jam memadam api di bilik mangsa. Selepas api padam kita menemui satu mayat melecur hampir seluruh tubuh di bilik tersebut," kata beliau ketika ditemui di HKL semalam.
Difahamkan mangsa ditahan di bilik seluas tiga meter lebar dan empat meter panjang itu kerana bertindak agresif.
"Kebakaran itu hanya memusnahkan bilik tahanan sementara yang didiami mangsa," kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: