Tuesday, July 26, 2011

Versi baru program televisyen Charlie's Angels September ini


Dari kiri, Rachael Taylor, Minka Kelly, dan Annie Ilonzeh bakal membintangi siri televisyen Charlie's Angels generasi baru.


SAN DIEGO 25 Julai - Siri televisyen terkenal sekitar tahun 1970-an, Charlie's Angels yang menampilkan aksi lasak tiga wanita seksi bakal 'dihidupkan semula' dalam siri rancangan baru bermula September ini.

Siri rancangan itu yang turut dijadikan filem pada tahun 2000 dan 2003, menampilkan aksi berani, kemahiran yang digunakan serta aksi agresif, dilihat sesuai sebagai filem penuh cabaran untuk ditayangkan kepada penonton televisyen generasi baru.

Kali pertama rancangan itu ditayangkan dari tahun 1976 sehingga 1981 dibintangi oleh Farrah Fawcett, Kate Jackson dan Jaclyn Smith sebagai tiga penyiasat persendirian yang seksi.

Mereka bertiga bekerja untuk seorang lelaki bernama Charlie, yang bertanggungjawab menghantar ketiga-tiga mereka dalam misi merbahaya menangkap penjahat.

Kemudian pada tahun 2000 dan 2003, Drew Barrymore, Lucy Liu dan Cameron Diaz melakonkan watak trio Angels dalam filem Charlie's Angels dan Charlie's Angels: Full Throttle yang ternyata padat dengan aksi yang mendebarkan.

Siri ketiga Charlie's Angels bakal ditayangkan pada musim luruh dalam rangkaian televisyen ABC, dilakonkan oleh Minka Kelly, Annie Ilonzeh and Rachael Taylor, sebagai watak penyiasat yang serius dan berani untuk beraksi menghapuskan kegiatan jenayah.

Kelly yang dikenali dalam siri rancangan televisyen Friday Night Lights dengan membawa watak Lyla Garrity, ternyata gembira dengan watak baru yang lebih mencabar.

"Saya tidak pernah melakonkan watak perempuan yang gagah," katanya.

Ketiga-tiga pelakon Angels tersebut muncul pada konvensyen komik Comic-Con International di San Diego pada Sabtu lepas untuk menayangkan sebahagian daripada episod siri rancangan tersebut dan menjawab soalan peminat yang musykil dengan kemunculan siri baru itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: