![]() |
| Shahool Hameed Mohd. Meerah ketika melawat Makam Salahuddin Al-Ayoubi. |
KETIKA berada di bumi Gaza, Palestin, pergerakan krew produksi SNR Multitech Sdn. Bhd., sentiasa menjadi perhatian pihak berkuasa di sana.
Kehadiran 10 krew yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahool Hameed Mohd. Meerah ke situ seolah-olah dianggap sebagai pengintip.
Kata Shahool Hameed, walaupun berada dalam kebimbangan, namun perasaan itu ditolak tepi demi menghasilkan sebuah program yang memberi kebaikan kepada semua pihak.
Menurutnya, kehadiran mereka di sana adalah untuk melakukan penggambaran dokumentari bersiri berjudul Palestin - Bumi Para Anbiya, tajaan CIMB Islamic Bank Berhad.
Dokumentari sebanyak 30 episod itu bakal disiarkan sepanjang Ramadan di Saluran Astro Oasis mulai 1 Ogos ini.
Bagaimanapun katanya, ketidakselesaan itu bukan penghalang kepada mereka untuk merakam fakta sejarah bumi Palestin yang bermula sejak zaman Nabi Ibrahim hingga kini bagi kepentingan umum.
"Syukur, biarpun dua buah kamera kami dirampas sewaktu berada di Syria, namun kami dapat menyelesaikan penggambaran dengan sempurna.
"Kami menjelajah tujuh buah negara Timur Tengah dan untuk penggambaran dokumentari itu kami berada di sana selama dua bulan iaitu dari April hingga Jun lepas," katanya pada majlis pelancaran dokumentari Palestin - Bumi Para Anbiya yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Majlis yang diadakan di Restoran Al-Rawsha, Kampung Pandan itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Berhad, Mohamad Sarfi Shahul Hamid dan Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar.
Menurut Shahool Hameed, sebelum memulakan penggambaran, dia telah melakukan penyelidikan selama tiga tahun bagi memastikan kebenaran fakta.
Di samping itu mereka turut menggunakan khidmat pelukis untuk melakar semula bangunan atau wajah mengikut imaginasi pelukis berdasarkan fakta dalam al-Quran.
"Tidak mudah untuk seorang pelukis melakar semula kesan sejarah. Kira-kira 70 buah keping lukisan dibuat. Tujuan kami membuat lakaran bagi memudahkan penonton memahami isi kandungan yang disampaikan.
"Selain lukisan, penggunaan grafik juga diguna untuk memudahkan perjalanan dokumentari di samping penceritaan daripada pakar sejarah.
"Dengan berpandukan fakta-fakta yang dijelaskan dalam al-Quran dan kitab Bible, saya dan pasukan penyelidik turut menemu bual pakar sejarah tempatan dan luar negara," jelasnya.
Katanya, jika ada fakta yang diberi oleh pakar sejarah tersimpang daripada yang tertera dalam al-Quran, pendapat itu tidak diterima. Namun kebanyakan hasil daripada temu bual adalah sejajar dengan keterangan dalam al-Quran.
Menurut Shahool Hameed, dokumentari yang disiarkan bukan sekadar memaparkan kesan sejarah tapi mengajak umat Islam untuk mengkaji makrifat di sebalik kejadian.
"Dari segi isi kandungan program juga sudah menjelaskan bahawa Palestin - Bumi Para Anbiya berbeza dengan program sedia ada kerana kami lebih kepada kupasan apa yang berlaku," jelasnya.
Katanya, antara isu yang diketengahkan dalam program itu adalah, mengapa perebutan berlaku, apa sejarah sebenar, mengapa Yahudi mengancam untuk merobohkan Masjid Al-Aqsa dan apakah tanggungjawab seorang Islam dalam mempertahankan bumi Palestin.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: