Thursday, July 21, 2011

Usahawan taraf dunia

LANCAR...Nor Mohamed (tengah) merasmikan majlis pelancaran Teras sambil ditemani Husni (kiri) dan Hafsah di Kuala Lumpur, semalam.
LANCAR...Nor Mohamed (tengah) merasmikan majlis pelancaran Teras sambil ditemani Husni (kiri) dan Hafsah di Kuala Lumpur, semalam.

UNIT Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan mengenal pasti 1,100 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera yang berpotensi untuk dibangunkan menjadi generasi usahawan Bumiputera bertaraf dunia menerusi program PKS Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Husni Salleh berkata, sebagai permulaan, seramai 100 PKS Bumiputera dan 100 syarikat kecil teratas akan dipilih berdasarkan kriteria yang jelas serta proses terbuka dan telus.


Pemilihan itu termasuk syarat yang menghendaki mereka untuk tidak hanya bergantung kepada kontrak kerajaan, sebaiknya memiliki penarafan minimum tiga bintang di bawah program penambahbaikan penarafan kompetitif PKS (Score).

“Calon juga harus memiliki penarafan kredit yang baik yang dinilai Biro Kredit Malaysia dan mesti menunjukkan potensi untuk menjadi perniagaan menguntungkan serta boleh berkembang,” katanya selepas majlis perasmian Program SME Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama pada majlis pelancaran Ketua Eksekutif Teraju, Husni Salleh dan Ketua Eksekutif SME Corporation, Datuk Hafsah Hashim. Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Malaysia Venture Capital Management Bhd, Tan Sri Dr Abdul Samad Alias.


Katanya, Program Teras memerlukan PKS yang tercalon meningkat menjadi perusahaan besar serta mencapai sasaran dalam tempoh lima tahun dan jika gagal, mereka akan digugurkan daripada program.

Husni berkata, proses pemilihan dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan dan calon terpilih dijangka diumumkan pada Oktober ini.


Teraju ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bertujuan meneraju, mengurus dan memacu penyertaan ekonomi Bumiputera disamping bertindak sebagai Sekretariat Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: