BERLAINAN...gaya rambut artistik menarik perhatian.
SERAMAI 10 pendandan rambut mencipta gaya tersendiri apabila melakukan teknik dandanan paling menyerlah dengan sentuhan elegan dan klasik.
Hadir dengan ilham dandanan pada era 80-an, semua model tampil memukau apabila muncul di pentas utama menerusi gaya rambut terpacak, sanggul tinggi serta panjang berjurai.
Semua gaya dandanan terkini ini dipersembahkan pada majlis makan malam dan pertunjukan fesyen bersama 16 pemilik salun e3 di seluruh negara, pelanggan dan pelajar salun.
Antara pendandan yang menyerlahkan kreativiti mereka ialah Reny Janssens, Ko Ching Wee, Foon Kwai Kam, Chang Ching Lee, Wong Kok Yew, Jim Tze How, Lim Khai Boon, Yang Seng Chuan, Lam Chee Wai dan Chan Po Lin.
Menurut pemilik dan pencetus idea salun e3 di Malaysia, Eden Er, malam penghargaan berkenaan diadakan bagi meraikan semua pendandan rambut di seluruh negara yang lahir daripada kumpulan latihan e3 sejak 10 tahun lalu yang menjadi pencetus kepada gaya dandanan terkini di Malaysia termasuk penggayaan warna artistik rambut, produk rambut serta teknik potongan.
“Semua pendandan rambut berpengalaman ini dapat dilihat kreativiti mereka menerusi teknik potongan serta gaya dandanan yang tentunya memberi imaginasi kepada penonton mengenai kedatangan gaya dandanan pada masa akan datang,” nyatanya.
Pertunjukan fesyen rambut bertemakan Baru Bermula ini adalah serlahan gaya terkini yang lebih elegan dan moden sama ada daripada segi warna dan potongan rambut.
Menurut Er, dua warna rambut ditampilkan iaitu teknik 3D dan warna penuh yang semakin mendapat tempat di hati seluruh wanita Asia serta lelaki.
“Rambut yang diwarnai dengan ton ungu iaitu cerah, sederhana dan gelap semakin mendapat tempat. Warna tidak terlalu menonjol ini mampu menyerlahkan gaya moden wanita masa kini.
“Begitu juga dengan teknik 3D yang mula digemari remaja, walaupun nampak terlalu ranggi apabila menggunakan teknik pewarnaan yang betul ia mampu menyerlahkan penampilan seseorang,” katanya.
Tambahnya, daripada segi teknik potongan, gaya rambut pendek ala 80-an semakin mendapat tempat.
Dengan mengambil gaya artis terkenal pada tahun itu iaitu David Bowie, potongan pendek paras bahu dengan sedikit terpacak dan diberi sentuhan klasik menyerlahkan gaya moden dan membuatkan seseorang itu tampil anggun dan muda.
“Potongan cara ini bukan saja sesuai untuk lelaki, malah wanita turut menggemarinya.
Gaya sebegini sentiasa melangkaui zaman serta tampak versatil sepanjang masa.
“Namun teknik ini akan lebih menyerlah dan ‘kena’ bergantung kepada bentuk wajah seseorang sama ada bulat atau bujur,” katanya.
Selain itu, bagi wanita berambut panjang teknik spotongan beralun dengan sentuhan segar masih mendapat perhatian.
Gaya sebegini bukan saja sesuai untuk menghadiri majlis, tetapi juga untuk acara kasual. Cuma tambahkan nilai sama ada pada sanggul kemudian biarkan rambut terurai cantik cukup menyerlahkan gaya feminin mereka.
Pada majlis itu juga, Pengarah Urusan e3 yang mempunyai 300 cawangan salun di Taiwan, Huang Fu Hsi turut hadir bagi menyampaikan anugerah kepada pemilik salun paling menyerlah dan berjaya di Malaysia.
Penghargaan juga diberikan kepada kakitangan e3 yang bekerja keras memastikan salun e3 menjadi salun terbaik bukan saja di Malaysia, malah di Singapura serta mampu membuka 100 cawangan di rantau Asia Tenggara untuk beberapa tahun akan datang.
Pada hari berkenaan, turut dipersembahkan pertunjukan fesyen artistik daripada pelajar di bawah kumpulan salun e3.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: