|
|
SEMUANYA bermula daripada minggu kelima program Maharaja Lawak sewaktu kumpulan lawak popular yang menggelarkan diri mereka sebagai Sepah ini mempersembahkan jenaka berkaitan perubahan wajah.
Ketika itu, salah seorang anggotanya, Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib menggambarkan wajah barunya selepas pembedahan seperti bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Dafi.
“Cuba tengok wajah aku? Ada macam Dafi tak,” soal Shuib kepada dua temannya, Jep dan Mamat yang terpinga-pinga sambil bertanyakan siapakah Dafi yang dimaksudkan Shuib itu.
Sejak daripada itu, nama Dafi sudah sebati dengan Shuib dan sering bermain di bibirnya. Jika tidak menyebut nama Dafi, bahasa tubuh mahupun tanda pengenalan Dafi sewaktu AF5, Baik Punya pasti akan terselit dalam persembahan Sepah.
Apabila Shuib menyebut nama Dafi, ia kedengaran sungguh lucu sekali dan bagaikan ada magnet yang menarik mereka berdua sehingga dapat dilihat Shuib dan Dafi seperti ada keserasian.
Apakah yang menyebabkan Dafi begitu dekat di hati Shuib sehinggakan nama penyanyi lelaki itu tidak lekang dari bibirnya?
Walhal baik Shuib mahupun Dafi, mereka tidak pernah bertemu secara empat mata mahupun bertanya khabar.
Lalu, Hits mencuri masa Shuib dan Dafi daripada jadual padat masing-masing dengan menggabungkan mereka dalam satu sesi fotografi yang berlangsung di Studio Utusan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tidak memperlekeh Dafi
Tidak menunggu lama selepas fotografi, Hits dengan pantas bertanyakan kepada Shuib tentang kehadiran Dafi dalam hidupnya.
Dengan penuh teruja, Shuib memulakan bicaranya sambil diperhatikan oleh isterinya yang berada di sebelahnya ketika itu.
Cerita Shuib, semuanya bermula ketika dia dan anggota kumpulan Sepah yang lain mahu mencari personaliti yang dilihat hampir serupa dengan diri masing-masing untuk persembahan pentas.
“Jep memilih Faizal Hussein dan watak itu memang kelihatan kena dengan dirinya memandangkan dia memiliki ketinggian yang lebih kurang sama dengan aktor itu.
“Ketika itu, saya bercadang mahu memilih Aaron Aziz tetapi macam tak kena pula. Entah bagaimana tiba-tiba nama dan wajah Dafi terus bermain di mata saya.
“Jadi, daripada situ, nama Dafi terus menjadi pilihan saya sehinggalah dibawa ke gelanggang Maharaja Lawak. Alhamdulillah, ia diterima dengan baik oleh peminat dan telah membawa sinar baru untuk Sepah,” kata Shuib sambil ketawa kecil.
Dafi memang comel
Dalam masa yang sama, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu menafikan dia sengaja menggunakan nama Dafi untuk melonjakkan lagi populariti kumpulan Sepah.
Bukan itu sahaja, Shuib juga menafikan sekeras-kerasnya dia cuba mempersendakan atau hendak menjatuhkan maruah dan integriti artis muda itu.
“Soal itu langsung tidak pernah timbul. Bagi saya, Dafi seorang lelaki yang cukup istimewa kerana jarang ada lelaki yang begitu comel sepertinya.
“Kecomelan Dafi tidak ada pada mana-mana lelaki. Saya begitu mengagumi kulitnya yang putih, bersih dan gebu itu. Dalam erti kata lain, comel Dafi umpama seperti gula.
“Bukan hanya saya, tetapi isteri dan ibu saya serta Jep sendiri memuji raut wajah Dafi yang comel itu. Maklumlah, kalau hendak dibandingkan dengan saya memang jauh panggang daripada api,” ujar Shuib penuh rendah diri sambil menyifatkan Dafi memiliki identiti sendiri yang menyebabkan dirinya mudah diingati oleh sesiapa pun.
Selepas beberapa minggu, Dafi dijadikan modal oleh Shuib dalam persembahannya sepanjang Maharaja Lawak berlangsung, akhirnya penyanyi itu muncul di pentas akhir untuk sketsa kumpulan Sepah.
Untuk pengetahuan, kemunculan Dafi pada malam akhir yang menobatkan kumpulan Sepah sebagai juara Maharaja Lawak itu memang merupakan satu rahsia yang tidak diketahui ramai.
Lalu, apabila Dafi membuat kemunculan istimewa bersama-sama Sepah dalam persembahan mereka, ia berjaya menggegarkan Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton.
Bagi Shuib, ia merupakan detik terindah buat dirinya dan Sepah kerana tidak menyangka Dafi sudi meluangkan masanya untuk mereka.
“Apabila namanya sudah kerap disebutkan dalam program mingguan, saya fikir sudah tiba masanya untuk saya menutup kisah saya dengan Dafi dengan kemunculan Dafi pada malam itu.
“Namun, saya berharap ia bukan pengakhiran untuk selama-lamanya. Jika ada pihak yang mahu menyatukan kami dalam mana-mana program, saya tidak menolaknya,” jelas Shuib yang kini sibuk merancang idea untuk sebuah sitkom bersama Sepah.
Dafi minat Sepah
Apabila Shuib menggunakan namanya sebagai bahan jenaka dalam persembahannya, jujurnya, Dafi memberitahu dia langsung tidak terkejut.
Ini kerana kata Dafi, sebelum ini Zizan juga telah menggunakan namanya sewaktu Raja Lawak musim pertama.
Baginya, dia begitu terbuka seandainya ada pihak yang mahu menggunakan namanya dalam mana-mana persembahan.
“Saya anggap ia sebagai penghormatan. Selagi ia terkawal dan tidak melampaui batasan sehingga mampu menjejaskan imej serta maruah, saya tidak kisah.
“Memang pada mulanya, saya pelik mengapa nama saya sering disebut oleh Shuib dalam persembahannya. Jujurnya juga, saya memang tidak berkesempatan untuk menonton Maharaja Lawak setiap minggu.
“Lalu, saya menonton setiap episod di YouTube dan saya perhatikan jika Shuib tidak menyebut nama saya, pasti akan ada perkara lain yang ada kena-mengena dengan saya yang akan digunakannya sebagai bahan jenaka.
“Saya memang tidak ketinggalan menonton kesemua persembahan mereka di YouTube. Apa yang boleh saya katakan, mereka memang kumpulan lawak sejati dengan jenaka yang membuatkan kita tidak kering gusi,” ujar Dafi yang cukup popular dengan lagu Bila Terasa Rindu itu lagi.
Namun begitu, Dafi tidak dapat menolak prasangka yang mula terbit dalam dirinya dengan menyangkakan Shuib sengaja mahu memperlekehkan dirinya.
Tetapi, lama-kelamaan, selepas menonton persembahan Sepah, barulah Dafi faham dan dia sendiri terhibur dengan jenaka mereka di Maharaja Lawak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: