Monday, July 4, 2011

Antara kari, misai & sari


Pintu masuk sebelum memasuki Maharaja City Palace di Jaipur.


PENGALAMAN empat hari berada di bumi India sememangnya tidak dapat dilupakan malah boleh saja disifatkan amat mencabar buat sesiapa saja yang biasa dengan kehidupan selesa.

Kesemua catatan itu diabadikan bermula pada 24 Jun lalu sebaik saja rombongan media Malaysia seramai sembilan orang memijak Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi New Delhi. Cuaca panas menyambut kedatangan kami meskipun jam telah menunjukkan angka 9 malam.

Suhu antara 39 hingga 45 darjah selsius menyebabkan kami mencari kawasan berhawa dingin. Bila sejuk, sudah pasti perut berbunyi minta diisi. Di Hotel Crown Plaza Rohini, kami menjamah masakan utama masyarakat tempatan iaitu kari.

Tidak dinafikan, terdapat kelainan masakan itu dari Malaysia. Cukup enak sehinggakan satu mangkuk kari dikongsi bersama rakan-rakan lain tidak berbaki di penghujungnya.

Pelbagai gaya dan rasa kari jika kita pergi ke premis makanan setiap bandar antaranya New Delhi, Agra dan Jaipur yang menawarkan cara masakan berbeza. Pedas, masin dan masam dek yogurt yang menambah perasa masakan kari - kesemuanya bergantung kepada jumlah penggunaan dan kepakaran si tukang masak.

Pengurus Pemasaran Australasia dan Timur Tengah Go India Journey, Kumur Guru memberitahu, hidangan tersebut menjadi kemestian kepada pelancong.

“Kebanyakan masyarakat India menyukai masakan penuh rempah, herba dan sayur-sayuran. Ada di kalangan mereka yang mengamalkan diet vegetarian,” katanya dalam pertemuan baru-baru ini.

Setiap masakan bergantung kepada kawasan, faktor demografi dan etnik di negara yang punya kepadatan mencecah 1.2 bilion penduduk itu.

Bagaimanapun, rata-rata penduduk mementingkan penggunaan serbuk kari, jintan putih, biji sawi, kunyit, halba, halia, ketumbar dan bawang putih pada setiap masakan.

Walaupun kadangkala rasa masakan lebih kurang sama seperti di dalam juadah dal makhani, tika masala dan rogan josh. Cuma bezanya pada kepekatan dan cara ia dipersembahkan kepada pengunjung.

Pelanggan boleh memilih sama ada untuk menikmati masakan tersebut dengan nasi, roti nan atau meratah begitu saja.

Selain itu, terdapat juga pencuci mulut seperti rasgulla, bebola kecil yang menyebabkan anda berkerut tersenyum dek kemanisannya. Boleh juga cuba teh masala yang cukup menyegarkan sebagai pelengkap hidangan.

Misai oh misai

Satu lagi tarikan utama di kalangan masyarakat India adalah fesyen misai di kalangan penduduk di sini. Terdapat pelbagai gaya dan warna menyebabkan rasa kagum menjelma.

Secara tak langsung mengalahkan rasa teruja sewaktu menjalani siri lawatan ke Taj Mahal dan Red Fort di Agra, Maharaja City Palace, Chandra Mahal dan Amber Fort (Jaipur). Begitu juga saat berada di hadapan India Gate dan Qutub Minar serta melawat sekitar bandar New Delhi.

Misai menjadi fokus utama kerana masyarakat di sana terutama di Rajasthan memilih untuk menyimpannya di bahagian bawah hidung dan mulut itu lebih panjang.

Amalan tersebut juga dikaitkan dengan lambang kelakian dan keberanian buat seorang lelaki. Panjang misai menunjukkan kedewasaan dan kematangan mereka.

Bagi Bahamar Singh, 51, dia selesa untuk berkeadaan sebegitu sejak enam tahun lalu. Sebagai anak kelahiran Jhunjhunu, Rajasthan perbuatan menyimpan tersebut ditekankan sejak kecil oleh ibu bapanya.

Lantaran itu, tidak hairanlah jika panjang misai kini mencecah 2.5 meter. Cara penjagaan dititikberatkan dengan sapuan minyak misai dan disisir setiap hari.

“Misai yang panjang dipintal-pintal dan diselit di celah telinga supaya kelihatan lebih kemas,” katanya yang mengakui tidak pernah menggunting janggutnya itu sehingga ke hari ini.

Ditanya Bahamar selesa berkeadaan sebegitu terutama di saat menjamu makanan, dia hanya tersenyum. Katanya, misai yang disimpan itu masih dalam kategori pendek sebab ada di kalangan rakan-rakan Bahamar sudah menyimpan misai berpuluh-puluh tahun lamanya.

Pelbagai fabrik

India juga terkenal dengan kepelbagaian fabrik yang berkualiti dengan harga berpatutan. Rasanya tidak sempurna andai tidak menjengah ke Pasar Sarojini Nagar di New Delhi.

Pelbagai macam jenis sari dan kain dijual. Menariknya, pengunjung boleh menawar harga paling rendah mengikut jenis fabrik yang mereka ingini. Bagaimanapun, terpulang kepada peniaga sama ada mahu memberi harga yang diminta.

Seorang peniaga, Sunil dari kedai fabrik Mamey Di Hatti memberitahu, premisnya sering dikunjungi pelancong Malaysia. Ada di kalangan mereka yang datang berkali-kali untuk meminta harga paling murah.

“Saya tak ada masalah untuk memotong harga asalkan pengunjung berpuas hati dengan kualiti fabrik yang dijual,” katanya yang turut menjual fabrik berkualiti dari sutera mewah.

Selain kain baju, terdapat barangan harian termasuk cenderahati, kurtis, sari, kain kapas, alas tilam, sarung bantal turut dijual di sana.

Lantaran itu, pelancong baru ke India punya banyak alasan untuk ke negara tersebut. Sama ada untuk menikmati juadah, membeli belah, melancong atau merasai sendiri satu pengalaman yang cukup berbeza dengan apa yang ada ditawarkan dalam negara.

Tambahan pula perjalanan ke India bukan satu perkara yang mustahil ketika ini. AirAsia menyediakan dua penerbangan pergi bali Kuala Lumpur ke India setiap hari.

Maklumat jadual penerbangan dan pakej yang ditawarkan oleh AirAsia boleh didapati dari laman web www.airasiago.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: