Monday, July 4, 2011

AIM 18 hapuskan kategori album


TENAGA penting di sebalik penganjuran AIM 18 (dari kiri) Khairul Anwar Salleh, Rosmin Hashim, Aefendy Zainal Abidin dan Adrian Lim menggenggam trofi anugerah itu pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


BIASANYA sesebuah album menampilkan sesuatu genre muzik seperti pop, rock, hip hop, nasyid dan etnik tradisional dalam lagu-lagu yang ditampilkan bagi membezakannya dengan album-album lain.

Genre-genre muzik yang diketengahkan menerusi sesebuah album itu juga memudahkan Anugerah Industri Muzik (AIM) memberi anugerah buat pemenang bagi setiap genre yang dipertandingkan sejak 17 tahun lalu.

Bagaimanapun, pada AIM kali ke-18 (AIM 18) pada tahun ini, anugerah anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) itu tidak mempertandingkan anugerah Album Terbaik bagi genre-genre muzik tersebut.

Menurut Naib Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri RIM, Rosmin Hashim, pihaknya tidak menyediakan kategori Album Terbaik untuk setiap genre muzik kerana kurangnya penerbitan album pada tahun ini.

"Ini semua kerana album baru yang diterbitkan oleh ahli-ahli RIM semakin berkurangan. Contohnya, tahun lepas cuma ada tiga album etnik yang diterbitkan, album pop rock ada tujuh dan album nasyid juga tujuh album.

"Semua itu mempengaruhi jumlah pencalonan anugerah dalam AIM 18. Sebab itu kami tidak mengadakan kategori Album Terbaik untuk setiap genre muzik terbabit," katanya sewaktu ditemui selepas sidang akhbar AIM 18 baru-baru ini.

Pada majlis itu, Rosmin turut mendedahkan ekoran kurangnya bilangan penerbitan album baru, RIM hanya mencalonkn 19 anugerah pada AIM 18 berbanding 29 anugerah sebelum ini.

Meskipun tiada kategori album terbaik mewakili genre-genre muzik tertentu serta kurangnya pencalonan anugerah, tetapi AIM 18 turut menyaksikan munculnya satu lagi anugerah baru iaitu Artis Mobile Terbaik.

Ia ekoran berkembangnya trend muat turun lagu-lagu secara digital melalui telefon yang kini mendapat perhatian semua syarikat telekomunikasi yang melihatnya sebagai satu cabang perniagaan muzik yang baru.

Syarikat-syarikat terbabit misalnya, mengiktiraf Anugerah Industri Muzik (AIM) apabila turut sama menyediakan kategori Anugerah Khas iaitu Artis Mobile Terbaik Celcom pada anugerah yang akan berlangsung pada 12 November ini.

Salah satu syarikat telco yang terbabit menjayakan kategori itu, Celcom Axiata Berhad akan memilih lagu yang paling banyak dimuat turun secara digital menerusi talian telefon sebagai pemenang bagi kategori itu yang menyediakan hadiah berupa trofi.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Celcom Axiata Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin, anugerah itu yang pertama kali diperkenalkan sejak AIM dianjurkan 17 tahun lalu bertujuan menggalakkan lebih banyak lagu dimuat turun secara digital melalui syarikat-syarikat telco.

"Pemenang anugerah ini dikira berdasarkan bilangan lagu yang dimuat turun secara digital menerusi telefon di mana ia tidak dikira hanya daripada perkhidmatan yang disediakan oleh Celcom sahaja. Sebaliknya, ia juga daripada syarikat-syarikat telco yang lain.

"Beberapa minggu sebelum AIM ke-18 berlangsung, kami akan umumkan lagu manakah yang paling banyak dimuat turun secara digital meliputi kesemua syarikat telco yang ada sepanjang tahun ini," katanya pada sidang akhbar pertama AIM yang ke-18 di sini hari ini.

Selain anugerah Artis Mobile Terbaik Celcom, AIM ke-18 turut mempertandingkan 19 lagi kategori antaranya Album Terbaik, Lagu Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Video Muzik Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Naib Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Adrian Lim, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri RIM dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh selaku penyiar rasmi AIM ke-18.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: