
Bagaimanapun, andai dibandingkan dengan tujuh siri sebelum ini, filem kali ini boleh dianggap edisi terbaik dalam francais Harry Potter yang pernah menemui penonton.
Bukan saja dilihat lebih kemas dari segi penceritaan, skrip mahupun perkembangan watak lebih dirasai. Bahkan kesan khasnya terutama dari segi persembahan visual nyata cukup hebat.
Teknik imej janaan komputer (CGI) boleh dianggap paling kemas pernah ditonjolkan menerusi filem kali ini. Malah menerusi bantuan CGI juga penonton akan kagum melihat babak-babak pertarungan.
Meskipun ada perbezaan di antara buku dan filem, pengarah, David Yates bijak memperbaiki kekurangan itu dan membuatkan filem kali ini lebih menyentuh rasa.
Potter lakonan Daniel Radcliffe, misalnya, walaupun diukur dari segi usia, wataknya sebagai hero begitu dirasai.
Lakonan Rupert Grint dan Emma Watson juga wajar diberi pujian kerana kematangan lakonan mereka yang amat baik.
Begitu juga penonton akan terpukau menyaksikan babak membabitkan Profesor Snape, lakonan Alan Rickman ketika dia berdialog dengan Potter. Adegan itu sesuatu yang pasti lama akan dikenang peminat.
Menerusi memori Snape, Potter bertemu dengan ibunya, Lil dan juga bapanya. Dalam perbualan itulah, segala rahsia yang selama ini mempunyai kaitannya dengan Potter akhirnya terbongkar.
Selepas menayangkan bahagian pertama penghujung tahun lalu, ramai yang membuat spekulasi mengenai watak Potter. Ada yang mengandaikan dia bakal menemui ajal berdasarkan poster yang disebarkan.
Bagaimanapun penulis filem ini, Steve Kloves, begitu bijak mengatur 'ending' cerita dan sememangnya tidak disangka-sangka.
Untuk mengetahui sejauh manakah kehebatan siri fantasi popular ini, jangan lepaskan peluang untuk saksikannya sendiri di pawagam!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: