
Drama yang berdurasi 60 minit dan mempunyai 13 episod mula disiarkan setiap Selasa, jam 10 malam menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104), sejak 12 Julai lalu.
Menerima sentuhan pengarah berpengalaman iaitu Ismail Yaacob, drama terbitan Skop Productions Sdn Bhd ini telah dibintangi barisan pelakon yang berbeza daripada filem asalnya.
Zahiril Adzim memikul watak utama sebagai Johan bersama Nora Danish (Mastura) dan beberapa watak lain seperti Amar Baharin, Dynaz Mokhtar dan Zack Taipan.
Penerbit, Datuk Yusof Haslam berkata, jalan cerita drama bersiri Khurafat tidak sama dengan filem arahan Syamsul sebelum ini, sebaliknya mengambil sedikit nafas serta aura dengan jalan cerita berlainan.
“Ini bukan kali pertama Skop Productions mengadaptasi filem menjadi drama. Contohnya sebelum ini kami pernah mengadaptasi filem Janji Diana menjadi drama bersiri. Semuanya berbeza termasuklah pelakon dan jalan ceritanya.
“Jika dinilai, memang terdapat perbezaan antara penghasilan filem dan drama bersiri. Jika filem selama 90 minit, sekarang ia dipanjangkan menjadi 13 episod dengan memaparkan mesej berguna untuk masyarakat.
“Drama ini cuma mengambil aura atau permulaan jalan cerita yang kemudiannya dikembangkan menjadi sebuah cerita yang baru. Saya memperuntukkan bajet sekitar RM35, 000 untuk setiap episod,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Khurafat The Series, di Bijan Bar, baru-baru ini.
Sementara itu, Ismail yang berpengalaman mengarah filem Lenjan, melonjak nama Rosyam Nor sebagai Pelakon Pembantu Filem Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-51 berkata, dia berasa lega kerana drama yang diarahkan itu tidak perlu sama atau mengikut jalan cerita asal filem Khurafat sebelum ini.
“Drama ini menarik kerana kami cuba mengambil semangat saja seperti berhubung dengan mayat. Jadi di situlah timbul khufarat.
“Saya bertuah kerana Datuk dan Syamsul memberi kebebasan untuk saya berkarya kerana stail serta cara pengarahan saya sudah tentu berbeza daripada Syamsul. Saya cuba ilhamkannya mengikut sudut pandangan saya sahaja.
“Menariknya, penonton akan mengikuti banyak kisah Khurafat dalam setiap episod yang mana kami akan menampilkan kisah mayat iaitu daripada roh yang berbeza yang cuba diselesaikan oleh pelakon utamanya Zahiril Adzim dan Nora Danish,” katanya.
Drama Khurafat berkisar tentang Johan dan Mastura yang mengikat perjanjian sehidup semati dengan melakukan satu upacara menjamu darah mereka pada satu busut. Sebagai balasan, hati mereka akan tertutup untuk jatuh cinta dengan orang lain.
Malangnya, belum sempat Johan melamarnya, Mastura terbabit dalam satu kemalangan dan menyebabkannya koma. Kemudian, Johan mula merasakan perubahan pada dirinya apabila perlahan-lahan dia mula dapat lihat makhluk-makhluk dari alam lain seperti jin dan roh.
Saksikan pelbagai konflik yang berlaku terhadap diri Johan dalam menyelesaikan masalah banyak Jin dan roh dengan menonton Khurafat The Series yang telah pun mula bersiaran di Astro Ria jam 10 malam, sejak 12 Julai 2011.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: