Friday, July 15, 2011

Anak penoreh getah buktikan kejayaan

Siapa sangka, berkat mengambil nama sempena tokoh agama tersohor pada tahun 50-an, Mohd Hassan Adli, dari Bagan Datoh, Perak, membawa tuah kepada juara Imam Muda musim kedua, Mohd Hassan Adli Yahaya,26, atau kini lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan.

Tidak menyangka akan bergelar juara, Hassan, menganggap kemenangan itu adalah hadiah cukup berharga untuk ibunya yang sekian lama membanting tulang empat kerat membesarkannya, setelah kematian bapanya pada tahun 1992.

Menurut Hassan, ketika itu dia bersama lapan lagi adik-beradik bergantung harap kepada hasil kebun getah dan pencen arwah bapanya. Walaupun zaman kanak-kanaknya tidak semewah mana, namun dia sudah diajar hidup serba sederhana.

"Seawal usia enam tahun, saya dilatih untuk berdikari dengan menaiki bas sendiri untuk ke sekolah tadika di Seri Manjung. Saya kerap tertidur dalam bas kerana kepenatan dan dikejutkan oleh pemandu apabila sampai di rumah.

“Setiap malam ibu akan menemani kami adik-beradik untuk menyiapkan tugasan rumah dan nasihat ibu tidak pernah lekang dari mulut. Walaupun ibu tidak mempunyai pendidikan tinggi, tetapi saya akui, ilmu didikan ibu adalah tahap ‘profesor’,” katanya yang kini sedang menyambung pengajian Sarjana dalam bidang Usuluddin, Quran dan Hadis, dii Universiti Utara Malaysia.

Hassan memberitahu, sejak kecil, ibunya sangat menitikberatkan pendidikan agama terhadap semua adik-beradiknya. Selain sembahyang lima waktu, ibunya akan memastikan mereka mendalami ilmu al-Quran.

"Hasil didikan ibulah, saya semakin cenderung dengan ilmu keagamaan dan sejak kecil saya dah dimasukkan ke sekolah agama.

"Tetapi semasa menuntut di UIA (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), saya pernah tersalah kursus dan untuk semester kedua saya berjaya menukar ke bidang Ilmu Wahyu," katanya yang pernah melakukan pelbagai kerja sambilan untuk meringankan beban ibunya.

Anak jati Perak ini juga turut melengkapi dirinya dengan kemahiran berbahasa Arab dan Talaqqi al-Quran, di Maahad Al-Idrisi, Damsyik. Malah kelayakannya itu turut memberinya ruang menjadi imam di masjid Al-Iman, Kemensah Height.

Selain itu, Hassan turut menjadi tenaga pengajar di sebuah institut pengajian tinggi.


Pernah tersingkir dari Akademi al-Quran

Di sebalik kejayaannya hari ini, Hassan, pernah kecundang dalam program realiti Akademi al-Quran, musim keempat, terbitan TV9. Namun dia tidak pernah putus asa dan mencuba nasib pula dalam program realiti Imam Muda.

"Saya sebenarnya mahu menyertai lagi program Akademi al-Quran, tapi tak ada rezeki saya. Kebetulan, Imam Muda juga sedang mencari calon untuk musim kedua. Atas dorongan ibu dan rakan-rakan, saya ingin mencuba nasib.

"Ketika itu, saya berminat dengan pendekatan dakwah yang ditampilkan dalam Imam Muda dan saya tidak pernah fikir untuk menang. Namun, syukurlah, rezeki berpihak kepada saya. Inilah rezeki Allah," katanya yang tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Mengimbau kembali detik-detiknya bersama program realiti terbitan Astro Oasis itu, Hassan berkata, saat berentap dengan empat finalis untuk mara ke peringkat akhir yang paling mencabar.

“Setiap finalis mempunyai kelebihan masing-masing dan untuk bersaing di antara mereka memerlukan kesungguhan yang berganda. Malah semua dah tahu hanya dua finalis sahaja yang terpilih untuk mara ke final.

"Apa yang saya tahu, ketika itu saya hanya mahu buat yang terbaik tanpa memikirkan kemenangan. Bila saya diumumkan mara ke peringkat akhir, saya nekad untuk melakukan yang lebih baik," katanya yang akan mengadakan kenduri kesyukuran sempena kemenangannya itu di kampung halamannya, pada 30 Julai ini.


Kahwin tahun hadapan?

Diusik mengenai teman hidup, Hassan mengakui, dia masih belum bertemu jodoh yang sesuai. Namun tidak menolak ketentuan Tuhan untuknya. Menurut Hassan, kalau diizinkan Allah, dia mahu menamatkan zaman bujangnya pada usia 27 tahun.

“Soal kahwin ni memang tak boleh lambat-lambat, kalau dah ada jodoh saya terima. Selain empat kriteria yang ditetapkan dalam Islam, bakal isteri saya haruslah menghormati ibu bapa. Sebelum itu juga, saya akan selidik latar belakangnya dulu, kerana ia adalah pengukur siapa dirinya,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Hassan, mempunyai impian untuk memiliki syarikat sendiri. Namun, ia masih awal untuk diperkatakan dan lebih berserah kepada Allah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: