Di mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi, perupamaan sinis, sesuai ditujukan kepada Datuk Yusof Haslam dan Syamsul Yusof yang berpayung di bawah bidang pengarahan dan juga lakonan di negara ini.
Ironinya, filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd ini, banyak mencatat sejarah dalam industri filem tempatan membabitkan kutipan tiket berjuta-juta hingga menjadi penanda aras kepada perkembangan industri.
Pada 1995, Sembilu 2 mencatat kutipan pecah panggung dengan RM6 juta, satu jumlah yang tidak pernah dijangka oleh ramai pihak ketika itu. Malah atas kejayaan itu, Datuk Yusof Haslam digelar ‘Six Million Dollar Man’.
Selepas 16 tahun berlalu, rekod sekali lagi dicipta Skop Production menerusi anaknya, Syamsul menerusi filem KL Gangster selepas mencatat kutipan RM12 juta menewaskan filem besar dari Hollywood.
Kejayaan itu juga menyebabkan ramai pihak memberikan gelaran ‘12 Million Dollar Man’ kepada anak pengarah prolifik itu.
Ternyata sejak menduduki kerusi pengarahan, anak bujang Datuk Yusof Haslam ini melonjak dari satu anak tangga bermula dengan filem Evolusi KL Drift, Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2 dan Khurafat kerana kutipannya menunjukkan peningkatan.
Bertitik tolak dengan kejayaannya merangkol gelaran, Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) melalui Evolusi KL Drift 2, kejayaan Syamsul membuatkan bapanya, Yusof Haslam menguntum senyuman.
“Ketika Syamsul menang Pengarah Terbaik, saya sudah cukup berbangga dengannya kerana secara tidak langsung dia telah mengubat ‘kempunan’ saya.
“Mengenai KL Gangster walaupun Syamsul berjaya mengutip RM12 juta secara kasarnya, ia bukan platform untuk kami mendabik dada. Perjuangan masih harus diteruskan.
“Saya harap Syamsul akan menjadikan kejayaan filem KL Gangster sebagai penggerak untuk beliau menghasilkan karya lebih baik selepas ini,” katanya kepada Zass.
Tambah Yusof Haslam secara jujur, beliau bersyukur kerana Syamsul telah menyambung perjuangannya dan belum pernah membuatkan beliau kecewa.
“Saya begitu bersyukur kerana Syamsul rela hati mengikut jejak langkah saya di dalam bidang pengarahan dan mencipta satu persatu kejayaan.
“Selepas ini adiknya pula, Syafiq akan mengikut jejak langkah, Syamsul dan saya berharap Syafiq juga akan berjaya seperti abangnya,” ungkapnya.
Peniaga ke pelakon
Mengimbau penglibatan Yusof Haslam di dalam bidang lakonan, Yusof berkata beliau sangat bernasib baik kerana dapat berlakon dengan seniman agung Negara Tan Sri P. Ramlee.
Yusof memegang watak tambahan Menteri Fasola dalam filem Laksamana Do Re Mi bersama Tan Sri P.Ramlee.
“Saya mula berkecimpung dalam bidang perfileman pada tahun 1972 dalam usia 17 tahun. Saya terlibat sebagai pelakon tambahan selama dua tahun di Studio Merdeka. Ketika itu filem masih dalam hitam putih.
“Pada tahun 1974 dengan Shaw Brothers, saya mendapat peluang untuk berlakon secara serius dan filem pertama bertajuk Permintaan Terakhir bersama dengan Uji Rashid.
“Pada usia awal 20an pula saya berlakon dalam beberapa buah filem antaranya ialah Jiwa Remaja dan Cinta dan Lagu. Pada tahun 1978, Aimi Jarr telah membawa saya berjumpa dengan Tan Sri Jins Shamsudin dan mendapat peranan dalam filem Tiada Esok Bagimu,” katanya.
Selain berlakon, Yusof berkata beliau pernah berniaga di kantin dan juga menjual kereta terpakai bagi menyara kehidupan pada masa itu.
Namun berkat sokongan isteri, sedikit demi sedikit Yusof mula bangkit dan menghasilkan filem pertamanya, Bayangan Maut pada tahun 1990. Siapa sangka filem berkenaan melonjak nama Yusof Haslam di dalam bidang pengarahan dan juga menjadi filem pembuka tirai buat Yusof.
Tetap kagumi papa – Syamsul
Sementara itu, Syamsul yang dihubungi Zass mengakui berbangga dengan kejayaan filemnya itu dan bersyukur kerana KL Gangster tidak menerima pandangan negatif sepanjang ia ditayangkan.
Taatkala diusik kejayaannya yang secara langsung telah mengatasi kejayaan yang pernah diraih bapanya, Syamsul berkata papanya tetap menjadi sifu dan ikonnya dalam bidang pengarahan
“Bagi saya kejayaan ini bukan untuk saya seorang tetapi untuk seluruh warga Skop Production dan juga kejayaan buat seluruh penggiat tanah air.
“Berjaya bukan bermaksud saya telah menyaingi Papa, malah saya tetap menghormati dan mengagumi Papa bukan sahaja sebagai seorang ayah bahkan sebagai ikon dalam bidang pengarahan,” katanya merendah diri.
Malah Syamsul berkata sehingga kini dia tetap merasakan masih banyak yang perlu dipelajari dan selalu berfikiran sederhana.
“Saya tidak mahu lemas atau hanyut dengan kejayaan yang sedang saya kecapi sekarang ini. Saya juga sering menjadi pengkritik kepada hasil kerja saya sendiri.
“Saya sedar dengan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi, pasti ada yang melabel saya dengan gelaran seperti bapa saya tapi terus-terang, saya sebenarnya tidak suka dipanggil ‘Million Dollar Man’ atau Pengarah Terbaik kerana masih banyak yang perkara perlu dipelajari,” katanya.
Bercerita mengenai perkembangan karier seninya, Syamsul berkata dia kini sedang sibuk menyiapkan proses suntingan dan dubbing (proses audio) untuk filemnya iaitu Bohsia 2.
Selepas Aidilfitri nanti, Syamsul menjangka akan mulai penggambaran filem KL Gangster 2.
Syamsul berkata dia begitu berterima kasih kepada Yusof Haslam kerana sudi memberi peluang buatnya berkarya dan akan terus membanggakan bapanya selepas ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: