Thursday, July 7, 2011

Syamsul Farid saling mengagumi



Perseteruan yang timbul antara dua pengarah muda yang berbakat besar, Syamsul Yusof dan Farid Kamil nampaknya tidak berpanjang.

Dalam diam, mereka mengagumi kejayaan antara satu sama lain.

Syamsul yang dihubungi baru-baru ini mengakui tidak mahu lagi memikirkan persengketaan yang pernah terjadi antara mereka dan menganggap ia sebagai satu salah faham semata-mata.

“Lepas saja Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) tahun lalu, kami tidak pernah berjumpa dan saya sendiri tiada masalah untuk kembali berbaik seperti dahulu. Lagipun antara kami bukanlah rapat sangat sebelum ini.

“Jadi saya anggap salah faham yang berlaku sebelum ini berakhir begitu sahaja. Secara peribadi saya mengagumi hasil kerja Farid dan beliau memang seorang pengarah dan penulis skrip yang berbakat,” katanya kepada Zass.

Malah ditanya mengenai filem KL Gangster dan Kongsi yang mempunyai persamaan dari segi jalan cerita berkaitan kongsi gelap, Syamsul berkata, persamaan itu berlaku secara kebetulan dan tidak disengajakan.

“Kami tidak pernah berbincang apa-apa projek bersama-sama. Ia mungkin berlaku secara kebetulan tetapi genre serta sentuhan dalam filem sangat jauh berbeza,” ulasnya.

Sementara itu, bagi Farid sendiri mengakui sudah tidak wujud perkataan sengketa antara dia dan Syamsul malah tiada masalah untuk berbaik-baik.

“Pada tahun lalu, saya hanya mempertikaikan filem dia, hasil kerjanya bukan mempertikaikan dia. Bagi saya isu itu telah berakhir dan secara peribadi saya sangat mengagumi dia,” katanya.

Farid juga menegaskan bahawa dua filem itu mempunyai jalan cerita berbeza.

“Kongsi lebih kepada genre komedi walaupun berkisar mengenai kongsi gelap” katanya.

Sebelum ini ketengangan antara mereka berdua bertitik-tolak daripada kenyataan Farid mempertikaikan kemenangan Syamsul sebagai Pengarah Terbaik di FFM23.

Semenjak itu mereka dikatakan tidak bertegur-sapa dan sentiasa bidas membidas melalui media. Sebelum ini mereka pernah bekerjasama dalam Evolusi KL Drift 2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: