Thursday, July 7, 2011

Pengorbanan Papa buat Mia Ridhuan rela berhenti kerja



Memiliki anak yang comel dan petah berkata-kata sememangnya menjadi idaman ibu bapa termasuklah Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh.

Melihat kepada bakat menyerlah anak ketiganya, Mia Sara Nasuha, 6 tahun, Muhammad Ridhuan atau lebih mesra dengan panggilan Ridhuan mengakui sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menguruskan perjalanan seni anak kesayangannya itu.

Mengimbas kerjaya si comel Mia Sara ini, Ridhuan berkata, ia bermula ketika berusia dua tahun.

“Saya memang suka melihat anak-anak kecil muncul di kaca TV. Terdetik di hati saya untuk mencuba bakat Mia Sara.

“Tambahan Mia memang seorang yang sangat mesra, tak takut orang dan suka berdepan dengan kamera. Jadi tak salah saya mencuba. Tak sangka, percubaan saya menjadi apabila dia diterima untuk berlakon iklan komersial. Walaupun masih kecil, tapi Mia sangat senang dikawal dan rakaman menjadi mudah.

Kerana itu katanya, anaknya mendapat banyak tawaran berlakon drama dan filem, biarpun dia keletihan namun Mia tetap bersungguh menghabiskan kerjanya.

“Sebagai bapa, saya kagum dengan dia. Ada kalanya di set penggambaran, semua krew letih tapi Mia masih bertenaga.

“Walaupun Mia penat dan tertidur, tetapi apabila dikejutkan dia tidak pernah meragam dan boleh meneruskan penggambaran,” katanya.



Pernah ditipu



Pada permulaan kerjaya Mia, Ridhuan berkata, dia sering ditipu oleh beberapa wakil syarikat pengiklanan.

Pernah putus asa dan menolak tawaran beberapa syarikat besar, Ridhuan kasihankan nasib Mia yang bekerja seperti orang dewasa namun anaknya menerima bayaran yang tidak setimpal.

“Mia bermula pada usia dua tahun. Pada mula-mula tu saya sering ditipu dan saya berhenti hampir dua tahun kerana tidak mahu anak saya dianiayai.

“Biarpun ada ramai yang datang, perasaan takut masih ada sehinggalah jiran saya mencadangkan saya pergi uji bakat untuk sebuah iklan antarabangsa.

“Saya hanya mencuba dan tak sangka, dalam ramai-ramai tu Mia terpilih. Selepas banyak kali ditipu, saya belajar banyak perkara dan mula berhati-hati agar anak saya tidak di manipulasi,” katanya yang akan memastikan Mia akan mendapat rehat dan makan yang cukup.



Berhabis untuk Mia



Tidak seperti kanak-kanak lain seusianya, Mia sebenarnya dijaga makan dan kelengkapan dirinya seperti orang dewasa.

“Saya memang menjaga keseluruhan diri Mia. Saya belikan Mia set suplemen untuk menambah tenaga. Selain itu, saya akan membawa Mia ke klinik gigi setiap dua bulan sekali.

“Mia masih kecil, jadi penjagaan gigi amat penting. Saya juga akan memastikan Mia memakai losen jika mahu keluar rumah dan penjagaan rambut di salun. Itu antara yang saya lakukan untuk Mia.

“Saya mahu Mia sentiasa nampak ceria dan menjaga kesihatannya kerana jadual kerjanya tidak sama seperti orang lain,” katanya yang memperuntukkan hampir RM500 ringgit setiap bulan untuk semua perkara ini.

Memandangkan jadual kerjaya seni Mia yang tidak menentu menyebabkan Ridhuan tidak dapat menghantar Mia ke sekolah biasa.

“Sebenarnya Mia ada mendaftar di Brainy Bunch Islamic Montessory. Tapi, jarang sekali Mia dapat hadir ke sekolah.

“Sebagai bapa, saya tetap utamakan pelajaran kepadanya. Saya juga ada mengambil tutor untuk mengajar Mia di rumah.

Seawal usia lima tahun katanya, Mia sudah boleh membaca dan boleh dibanggakan biarpun tidak dapat hadir ke sekolah, anaknya itu tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Tambahnya, biarpun anaknya bakal menginjak usia tujuh tahun, Ridhuan tidak dapat mendaftarkan anaknya ke sekolah.

“Sebagai bapa, saya sentiasa mahukan yang terbaik untuk Mia, tapi atas nasihat daripada guru besar, saya tidak dapat hantar Mia ke sekolah biasa.

“Dia menjadi perhatian ramai dan ini amat membimbangkan saya. Mungkin saya akan terus menggunakan khidmat tutor Mia sehingga satu tempoh,” katanya.



Mia ingin jadi doktor



Saat ditanya kepada Mia mengenai cita-citanya apabila dewasa nanti, tangkas dia menjawab `seorang doktor`.

“Mia nak jadi doktor manusia. Mia tak mahu jadi doktor haiwan lagi, sebab bila Mia tengok ular sangat besar dan Mia jadi takut. Mia suka tengok semua orang sihat,” ujar si kecil ini.

Tanpa ada rasa mengeluh mengenai kerjayanya, Mia berkata, dia suka berlakon dan mahu berlakon sampai bila-bila.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: