Sunday, July 3, 2011

Geisha Meraih Bintang




PERCAYA atau tidak masa empat bulan akan datang, jadual band ini sudah penuh dengan pelbagai aktiviti yang diatur. Sudah tidak boleh diisi dengan apa juga aktiviti baru walaupun dibayar dengan harga yang berlipat kali ganda.

Cukup hebat penangan grup yang menggelarkan diri mereka sebagai Geisha ini. Malah ketika kunjungan mereka ke Kuala Lumpur baru-baru ini, masing-masing melahirkan rasa teruja memandangkan ini merupakan kali pertama mereka masuk secara rasmi di sini.

Bagi yang mengikuti perkembangan grup ini, pasti ramai yang cukup tahu dengan kehebatan mereka. Lagu-lagu yang termuat dalam album pertama berjudul Anugerah Terindah itu cukup menangkap. Lagu seperti Tak Kan Pernah, Selalu Salah dan Kamu Yang Pertama begitu diminati sehingga membawa grup ini ke puncak kemasyhuran.

Kira-kira dua tahun yang lalu, dalam sebuah majlis anugerah di Jakarta, Indonesia, penulis pernah menyaksikan grup Geisha membuat persembahan bersama dengan Nidji.

Dan lagu Tak Kan Pernah ada yang mereka dendangkan cukup berbekas biarpun masih belum mengenali siapakah Geisha pada waktu itu. Dalam jangkamasa dua tahun itu rupa-rupanya Geisha telah membina empayar yang cukup besar di sana.

Geisha yang dianggotai oleh lima anak muda termasuklah Momo selaku vokalis dan satu-satunya ahli wanita tunggal. Selain Momo, grup ini juga dianggotai oleh Roby (gitar) Nard (bass), Dhan (keyboard) dan Aan selaku pemain drum.

“Ternyata album Anugerah Terindah itu cukup mendapat sambutan hangat daripada peminat kami di sana. Lantas apabila menghasilkan album Meraih Bintang ini, seperti lanjutan daripada album pertama.

“Sebetulnya bila Geisha masuk ke Malaysia, itu sudah cukup menggembirakan kami. Sejak dulu lagi kami sudah merencanakan untuk mengembangkan grup ini ke sini seperti mana grup-grup lain.

“Bila sampai di sini sahaja, kami dapat lihat reaksi yang positif daripada peminat di sini. Itu sudah cukup untuk buat kami bangga dengan apa yang kami perolehi,” kata Momo ketika ditemui baru-baru ini.

Jika melihatkan perkembangan mereka sejak awal penglibatan pada tahun 2007 lagi, Momo lebih menonjol berbanding dengan ahli yang lain. Kelibat Momo cukup menarik perhatian ramai dan sering diletak ke depan berbanding dengan ahli kumpulan yang lain.

Cukup terkesan dengan kritikan orang terhadap mereka, ahli-ahli yang lain turut melahirkan rasa yang sama. Ternyata telahan orang itu benar apabila ahli-ahli yang lain terlalu ke belakang sehingga memperlihatkan Momo seperti penyanyi solo.

“Untuk buat orang kenal pada nama Geisha bukan satu perkara yang mudah kerana saingan kami bukan sedikit. Hampir setiap hari ada sahaja grup-grup baru yang muncul dalam industri di sana.

“Semuanya keluar dengan muzik yang bagus dan cukup progresif. Hanya mereka yang benar-benar memberi kelainan akan terus ke depan. Sesiapa sahaja akan buat yang terbaik bila sudah ada tapak yang kukuh.

“Perjalanan kami juga tidak semudah mana. Kalau ada yang masih ingat kami muncul bila menyertai muzik Festival Indonesia pada tahun 2007. Bersaingan dengan 2,000 grup yang lain, kami rasa sangat bertuah sebab dapat menempatkan diri di pentas akhir.

“Dalam pertandingan akhir tu kami tak dapat nombor pun tetapi label rekod tetap panggil kami untuk jadi artis naungan mereka. Maka lahirlah Geisha yang baru seperti yang ada sekarang,” cerita Roby pula.

Sejak dua tahun lalu, sudah banyak pengiktirafan yang diterima termasuklah dalam Dasyat Award pada tahun lalu.

Malah semasa melancarkan album Meraih Bintang pada April lalu, Geisha mencipta sejarah sebagai grup pertama yang melancarkan album secara talian, langsung ke lima buah negara.

Selain Indonesia, acara pelancaran itu dapat disaksikan oleh peminat kumpulan ini yang berada di Malaysia, Hong Kong, Thailand dan Australia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: