Friday, July 29, 2011

Suhaila nekad bercerai

Pergolakan rumah tangga pasangan Jimmy Shanley dan Nursuhaila Elaini Datuk Suhaimy masih tidak menemui kata putus. Jika Jimmy Shanley hanya menunggu keputusan mahkamah berhubung tuntutan kembali taat isterinya, namun terbaru Suhaila memberitahu sudah melantik peguam untuk meneruskan hasrat bercerai dengan Jimmy.

Suhaila yang ditemui di kediamannya berkata, keputusan itu diambil apabila mendapati dia dan Jimmy sudah tidak ada persefahaman lagi.

“Sejak awal perkahwinan kami sehingga saya mengandung, kami tidak ada keserasian. Sering kali bertengkar dan dia mudah naik tangan membuatkan saya takut dan mahu berpisah dengannya.

“Keputusan ini adalah terbaik buat saya dan dia. Kami tetap ayah dan ibu kepada anak kami tapi bukan sebagai pasangan suami isteri,” katanya selepas majlis cukur jambul anaknya, kelmarin.

Tambahnya lagi, dengan sikap panas baran dan sukar dibawa berbincang membuatkan hatinya tertutup untuk mereka kembali bersatu.

“Saya pernah cuba untuk berdamai, tapi saya kecewa kerana hanya saya sahaja yang berusaha sedangkan dia tetap dengan sikap egonya. Ada juga kiriman SMS saya tidak berbalas dan dia hanya menghubungi ibu saya untuk memaklumkan apa-apa.

“Kerana itu, saya rasa kami sudah tidak boleh lagi hidup bersama dan inilah cara terbaik untuk kami selesaikan segala kerumitan yang berlaku,” katanya.


Ibu bapa mahu hubungan dikekalkan

Walaupun begitu, hasrat Suhaila untuk bercerai tidak mendapat sokongan daripada kedua orang tuanya.

“Saya rasa perkara ini tidak perlu hingga bercerai-berai. Mungkin Jimmy dan Suhaila masih ada ruang untuk berbincang dan pulihkan keadaan.

“Mereka sudah ada anak dan harap mereka memikirkan masa depan anak mereka. Sebagai ibu bapa, kami memang tidak pernah campur tangan dalam hal rumah tangga mereka.

“Bagi saya, mereka sudah cukup dewasa untuk berfikir dan membuat keputusan sewajarnya. Tapi, sekiranya bercerai beri kesan baik kepada mereka, saya tidak menghalang.

“Rumah tangga perlukan keserasian dan untuk mencapainya juga mengambil masa. Saya tidak menyalahkan sesiapa. Saya cuma berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” kata Datuk Suhaimy bapa kepada Suhaila.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: