Biarpun pernah mencetuskan kontroversi beberapa tahun lalu, ia sedikit pun tidak menghalang Wee Meng Chee atau Namewee untuk tampil mengarah filem pertamanya, Nasi Lemak 2.0.
Filem komedi sosial yang turut menyelitkan banyak elemen muzik ini diterbitkan bertujuan untuk memupuk keharmonian antara kaum, sejajar dengan konsep 1Malaysia.
Ketika sidang media ‘Nasi Lemak 2.0’ baru-baru ini, Namewee, yang turut bertindak sebagai penulis skrip, penyunting dan juga pelakon berkata, sejak akhir-akhir ini banyak perkara negatif berlaku dalam negara dan diharapkan filem ini boleh dilihat sebagai satu pesanan positif untuk bersatu.
Filem yang membabitkan kos hampir RM1 juta itu berjaya menghimpun satu barisan pelakon yang cukup ternama. Antaranya, Adibah Noor, Afdlin Shauki, Nur Fathia, Reshmonu, Dato’ David Arumugam, Pete Teo dan Ho Yuhang.
Menyentuh tentang pemilihan judulnya, Nasi Lemak 2.0, yang boleh mengundang rasa sinis bagi segelintir pihak, pengarah ini nampaknya punya jawapan tersendiri.
"Tajuk ini sudah ada sejak saya mula menulis skrip, dua tahun lalu. Ia sepatutnya tidak menjadi kontroversi kerana ketika saya persembahkan filem itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, pada Mac lalu, beliau mengumumkannya sebagai sebuah filem 1Malaysia.
“Terma ‘2.0’ bukan rekaan kami, sebaliknya ia merujuk kepada ‘Web 2.0’ yang memang diketahui pengguna Internet. Ia merujuk kepada generasi baru komuniti dalam talian. Di mana ‘Web 1.0’ tidak memberi ruang untuk pengguna berinteraksi, ‘Web 2.0’ menekankan jaringan sosial antara pengguna,” katanya.
Sementara penerbit eksekutif filem, Fred Chong, berkata, pemilihan nama nasi lemak juga mewakili simbol tersendiri dalam negara ini.
“Semua orang tahu nasi lemak adalah makanan lazim di Malaysia dan semua kaum memang menyukainya. Justeru, kami memilih penggunaan nasi lemak,” jelas Fred.
Tatkala di tembak dengan persoalan kerana menggunakan kontroversi Namewee sebelum ini untuk menjual ‘Nasi Lemak 2.0’, Fred berkata kontroversi itulah yang menyebabkan penggambaran filem tersebut dihentikan, gara-gara penarikan diri penaja dan pelabur.
“Bila penaja mula tarik diri, saya sekali lagi berjumpa Nazri dan bersyukur kerana beliau yakin dengan filem ini dan telah mengeluarkan surat sokongan.
“Saya sedar ada pihak yang akan mengaitkan dengan kontroversi Namewee tetapi saya tidak menggunakan kontroversi yang pernah berlaku itu untuk melariskan filem ini.
“Saya memberi kepercayaan kepada Namewee kerana dia adalah graduan dalam jurusan komunikasi dan filem. Saya percaya kemampuannya untuk mengarah filem,” katanya.
Nasi Lemak 2.0 bakal ditayangkan di pawagam bermula 8 September depan. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang filem ini, layari www.nasilemak2.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: