KEMAMAN – Karnival Emping 2011 anjuran Parlimen UMNO Kemaman yang julung-julung kalinya diadakan membawa satu keunikan tersendiri apabila lokasinya dipilih di tengah sawah padi di Kampung Dadong, Air Putih di sini.
Selain lokasinya yang begitu unik, pengisian program selama tiga hari dua malam ini dilihat cukup bermakna untuk pembangunan modal insan.
Lebih menarik lagi, atur cara karnival dibuat begitu komprehensif, meliputi pembangunan insani dan rohani serta menepati cita rasa semua golongan terutama belia.
Sebagai nilai tambah, rakyat berpeluang bertemu dan mengenali pemimpin secara lebih dekat, sekali gus merapat hubungan silaturrahim antara mereka.
Urusetia karnival, Erena Shafika Wahab berkata, pihaknya menyasarkan seramai 20,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan karnival ini.
“Pesta ini adalah julung-julung kali diadakan dan diharapkan mendapat sokongan serta kerjasama pelbagai pihak.
“Program ini boleh dianggap sebagai satu aktiviti cukup bermakna dalam melahirkan generasi belia yang aktif melibatkan diri bersama masyarakat dan agensi kerajaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Karnival Emping 2011 akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada malam ini di pentas Karnival Emping 2011 Kampung Dadong di sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman dijangka merasmikan Rakan Muda Ramadan di Masjid Dadong di sini.
Kata Erena, antara aktiviti yang dijangka bakal mencuri tumpuan adalah pertandingan mengemping padi, menumbuk emping dan kacau kubang.
“Tidak ramai yang kenal emping apatah lagi cara membuatnya. Pada karnival ini, pengunjung dapat melihat sendiri dan mengetahui lebih lanjut mengenai emping.
“Lebih menarik lagi, persembahan konsert oleh artis terkenal seperti Ramli Sarip, Hattan dan Zarina AF akan diadakan di tengah sawah.
“Di samping itu, beberapa acara berbentuk keagamaan dan kekeluargaan seperti tadarus al-Quran, pertandingan gubahan dan masakan tradisional turut diadakan bagi menarik perhatian semua golongan usia,” ujarnya.
Tambahnya, lebih 20 gerai yang menjual pelbagai produk tempatan disediakan di tapak karnival.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: