Monday, July 25, 2011

Stail kasual Pippa


PESONA adik ipar kepada Putera William terserlah dalam gaun mini bermotif bunga.


SEBELUM ini Philippa Charlotte Middleton, 27, bukan sesiapa di mata masyarakat dunia. Dia tidak dikenali ramai dan menjalani rutin harian dengan tenang tanpa sebarang gangguan. Boleh dikatakan sebahagian masanya menguruskan bisnes parti, Party Pieces, iaitu perniagaan yang diasaskan oleh ibu bapanya dan beroperasi secara dalam talian.

Ruang privasi buat dirinya dan teman-teman jarang sekali menjadi tumpuan ramai. Dia juga bebas melakukan bermacam-macam aktiviti dan mengunjungi pelbagai destinasi.

Namun kini, situasi Philippa atau nama timangannya Pippa, sudah berubah. Sejak menjadi pengapit kakaknya, Kate Middleton, yang mengahwini pewaris takhta kedua Britain, Putera William, kehadiran Pippa mula meraih perhatian luar biasa dalam kalangan media dan lensa paparazi.

Ramai yang terpesona dan memuji keanggunan Pippa yang tampil ringkas dalam persalinan dres putih polos rekaan pengarah kreatif jenama Alexander McQueen, Sarah Burton, sewaktu mengiringi Kate pada hari persandingan. Kejelitaan Pippa semakin terserlah pada majlis resepsi yang berlangsung pada sebelah petang.

Pada acara berkenaan, wanita lulusan Ijazah Bahasa Inggeris, Universiti Edinburgh, United Kingdom (UK) tersebut menggayakan gaun warna hijau zamrud yang seksi di bahagian dada. Menurut Temperley London yang bertanggungjawab mereka gaun indah, dia seronok kerana berpeluang bekerjasama dengan Pippa yang disifatkan memiliki cita rasa fesyen yang tinggi.

"Pippa tidak cerewet. Dia bijak memilih warna fabrik dan potongan gaun yang bersesuaian dengan ton kulitnya. Lagipun warna hijau merupakan warna kesukaannya," tutur London dalam satu temu bual.


PIPPA bergaya dengan beg tangan material kulit bersama kasut kegemarannya warna krim.


Kebanyakan pemerhati dan komentar fesyen menyifatkan Pippa bijak dalam aspek fesyen. Tidak kira menghadiri majlis keramaian, berparti atau bersantai, setiap pakaian yang membalutinya tubuhnya semuanya tampak sempurna.

Kini, penampilan Pippa dalam fesyen jalanan ataupun kasual sentiasa menjadi subjek bidikan lensa paparazi. Bertambah menarik, koleksi foto gaya Pippa itu laris dipaparkan dalam ruangan fesyen majalah buat tatapan pembaca.

Bergelar adik ipar kepada keluarga diraja Britain sedikitpun tidak mendorong Pippa untuk memiliki koleksi pakaian berjenama. Sebaliknya, anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu selesa membeli pakaian yang mengikut trend sesama meskipun ia dijual pada harga sederhana.

Buktinya, sehari selepas hari persandingan kakak kesayanganya, Pippa yang pernah menjalinkan hubungan cinta bersama bekas pemain kriket, Alex Loudon, kelihatan bergaya dengan menyarungkan jaket warna biru jenama Zara.

Jaket berharga AS$100 (RM350) yang bertatah tiga butang kuning keemasan itu dipadankan bersama blaus nuansa krim, seluar denim putih dan kasut bertapak rata ala balet.

Selain itu, gaya ranggi Pippa memakai baju T warna merah terang dan berjaket hitam turut menjadi tumpuan. Stail tersebut diserikan dengan seluar jean potongan tirus jenama Hudson yang berharga AS$187 (RM654) bersama but hitam dan cermin mata hitam jenama Gucci.

Tidak ketinggalan gaya Pippa ke pejabat sambil menjinjing beg komputer riba. Penampilan ringkas dalam persalinan gaun mini tiga warna jenama Zara yang berharga AS$60 (RM210). Dia memadankan bersama kardigan warna dan sepatu nuansa putih.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: