Monday, July 25, 2011

Rekaan bagasi artistik


KOLEKSI fiber lite turut tampil dengan pilihan warna hijau iguana, hitam dan merah.


BAGASI sememangnya menjadi salah satu elemen pertama percutian yang sering menimbulkan masalah. Sama ada ia terlalu berat berbanding barangan yang dibawa, tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan atau sekadar rekaan yang tidak menarik.

Generasi klasik Delsey sudah memikirkan perkara-perkara tersebut sebelum tampil dengan koleksi bagasi terbaharu mereka sempena tahun 2011 ini. Justeru, rekaan kali ini bukan sahaja artistik, malah lengkap ciri-ciri keselamatan yang dipatenkan.

Pengguna pastinya tertarik dengan rangkaian Fiber Lite daripada Delsey yang ringan, kekuatan zipnya adalah empat kali ganda berbanding zip bagasi biasa yang dibangunkan dengan teknologi Zip Securi Tech, malah pad kekuncinya dilengkapi sistem Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) yang memenuhi standard keselamatan Amerika Syarikat (AS).

Ia adalah inovasi teknologi dan sistem yang mengurangkan risiko kecurian barangan peribadi. Beg dengan rangka gentian kaca seberat 3.6 kilogram itu juga pasti menjadi pilihan pengembara yang inginkan keselesaan apatah lagi troli empat rodanya tidak membebankan pengguna berbanding beg sandang.

Rangkaian Inbox disediakan dalam warna ungu lembut (lilac), hijau iguana, merah dan hitam bersaiz 44 sentimeter (sm) X 65sm X (diameter) 30/34sm.

Rangkaian Inbox pula diinspirasikan oleh pengembaraan di bawah keadaan ekstrem. Tujuh Inovasi teknologi major terdapat di dalam bagasi itu. Rekaan luarannya yang cantik mudah dibersihkan dan tahan lasak.

Bagasi bergaya tersebut juga ringan dan mudah digerakkan menggunakan roda empatnya. Sistem keselamatan yang sama seperti Fiber Lite melengkapi ciri-ciri keselamatan.

Ia juga dibangunkan menggunakan 100 peratus tekno-polikarbonat yang diakui kekuatannya dan kalis air bagi melindungi sepenuhnya barangan yang dibawa.

Rangkaian itu tampil dengan warna hitam, logam dan tembaga, manakala saiznya ialah 46 X 63 X 27 cm.

Sementara itu, rangkaian Karat pula direka seperti seni moden dengan rupa yang diperhalusi supaya tampil dengan personaliti unik tanpa mengenepikan ciri-ciri ringan dan sistem keselamatan Delsey.

Roda bergandanya memberi keselesaan penuh dan senyap semasa digerakkan. Ia begitu cantik, praktikal dan selamat. Ia sememangnya menjadi bagasi yang mesti dimiliki setiap orang dan juga sesuai sebagai bagasi simpanan gajet elektronik.

Bagasi dengan rekaan seakan permata itu tampil dalam warna kelabu, putih dan perak serta disediakan dalam saiz 45sm X 65sm X 29sm.

Sementara itu, rangkaian Lite Gloss mensasarkan pengembara muda yang mahu tampil bergaya dan trendy. Warna-warna yang ditampilkan begitu serasi dengan golongan ini iaitu hitam, perak dan merah berkilat di atas material polikarbonatnya.

Material terkini inilah yang menjadikan bagasi tersebut ringan tetapi kuat dan lasak. Pembahagian bahagian dalamannya yang luas dan ruang berzip dapat mengasingkan baju kotor dan baju bersih.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: