Monday, July 25, 2011

Juara Doktor Kecil Lifebuoy


PASUKAN Doktor Kecil dari SK Tasik Damai, Perak dinobatkan sebagai juara Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy.


ANAK-ANAK muda Malaysia masa kini lebih menyedari keperluan amalan menjaga kebersihan.

Buktinya dapat dilihat dalam pertandingan antara sekolah di seluruh negara yang dipelopori oleh Lifebuoy, jenama sabun perlindungan daripada kuman No. 1 Dunia.

Pertandingan enam minggu Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy bertujuan untuk memberi penekanan positif rakan sebaya secara berkesan untuk menggalakkan murid sekolah mengamalkan tabiat kebersihan.

Amalan itu termasuk membasuh tangan dan membersihkan diri dengan sabun semasa melakukan lima perkara penting setiap hari iaitu ketika mandi, selepas menggunakan tandas, sebelum sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Sebanyak 16 buah sekolah iaitu wakil-wakil sekolah dari setiap negeri dan tiga Wilayah Persekutuan menyertai cabaran itu.

Setiap sekolah telah diwakili oleh murid tahun empat atau lima bersama seorang guru penasihat.

Para peserta itu kemudian dilatih sebagai Doktor Kecil Lifebuoy dalam kem interaktif selama tiga hari dua malam. Mereka ditugaskan untuk menggalakkan rakan sekolah supaya mengamalkan tabiat menjaga kebersihan apabila kembali ke sekolah masing-masing.

Pemenang kemudian akan dipilih berasaskan pertukaran tabiat paling ketara dalam kalangan murid sekolah, khususnya tabiat membasuh tangan dan membersihkan diri dengan sabun semasa melakukan lima perkara penting itu.

Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy ditutup pada 28 Jun lalu selepas meninggalkan kesan positif ke atas kira-kira 18,000 murid sekolah.

Selepas proses penilaian yang teliti, Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Damai, Perak telah dipilih sebagai pemenang.

Selain berjaya menggalakkan muridnya mengamalkan tabiat yang baik untuk menjaga kebersihan, Doktor Kecil SK Tasik Damai juga menarik murid-murid dari sekolah jiran mereka, SK Tasek, untuk mengikuti sesi tunjuk dan terang mengenai cara yang betul membasuh tangan.

Doktor Kecil yang sama juga menganjurkan Karnival Kesihatan di sekolah mereka untuk menggalakkan tabiat menjaga kebersihan dalam kalangan murid, ibu bapa dan orang ramai.


TABIAT menjaga kebersihan yang diajar pada murid-murid sekolah diharapkan dapat disebarkan kepada rakan sebaya mereka di mana-mana sahaja.


Bagi pemenang hadiah pertama, Lifebuoy akan menanggung kos pengubahsuaian tandas dan kemudahan mencuci tangan sekolah itu sehingga RM20,000. SK Tasik Damai juga akan menerima bekalan sabun Lifebuoy selama satu tahun untuk tandas mereka.

SK Taman Suria, Johor dan SK Pekan Satu, Labuan pula dipilih sebagai pemenang-pemenang hadiah sagu hati. Sekolah-sekolah tersebut menerima bekalan sabun Lifebuoy selama satu tahun untuk tandas masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar), Dr. Khair Mohamad Yusof, hadir untuk menyampaikan hadiah kepada sekolah yang menang dan Doktor Kecil mereka.

Turut hadir memberi sokongan, Lenny Chuah, Pengurus Jenama (Pembersihan Kulit), Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd. dan Amy Mastura, duta jenama Lifebuoy yang juga merupakan seorang penghibur terkenal.

"Sambutan terhadap Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy lebih baik daripada yang dijangkakan. Kami sukar membuat keputusan untuk memilih pemenang kerana semua sekolah peserta dan Doktor Kecil mereka telah menunjukkan semangat, kreativiti dan dedikasi untuk menyebarkan mesej yang ingin disampaikan.

"Secara keseluruhannya, kami percaya semua murid di sekolah-sekolah yang terlibat mendapat manfaat daripada misi sosial besar-besaran kami untuk menjadikan Malaysia lebih sihat.

"Kesedaran terhadap pentingnya kebersihan dan tabiat menjaga kebersihan yang disemai sejak kecil akan kekal sepanjang hayat mereka," kata Lenny.

Menurutnya, dalam kehidupan seharian mereka, kanak-kanak terdedah kepada kuman dan bakteria berbahaya yang menjadi punca pelbagai penyakit, daripada batuk, selesema hinggalah cirit-birit.

"Selain menekankan tabiat membasuh tangan, lebih penting lagi ialah membasuh dengan sabun yang betul dan berkesan untuk membunuh kuman yang berbahaya," jelasnya.

Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy adalah sebahagian daripada kempen Malaysia, Jom Lebih Sihat!.

Kempen itu bertujuan untuk mempelopori usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih sihat dengan menggalakkan perubahan positif dalam tabiat menjaga kebersihan menerusi penggunaan sabun setiap kali melakukan lima perkara penting sepanjang hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: