Tuesday, July 19, 2011

SMK Tengku Mahmud, Besut juara Speech Choir


Para pelajar SMK Tengku Mahmud bersorak kegembiraan selepas menjuarai kategori Speech Choir Kumpulan Inspirasi program Pengukuhan Bahasa Inggeris Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) di Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 18 Julai - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud 2, Besut menjuarai kategori Speech Choir Kumpulan Aspirasi sempena program Pengukuhan Bahasa Inggeris Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan 2011 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.

Sekolah itu membawa pulang hadiah wang tunai berserta piala pusingan dan piala iringan selaku johan manakala naib johan disandang oleh SMK Sultan Ismail 2, Kemaman, sementara SMK Padang Negara, Kuala Terengganu di tempat ketiga.

Muhammad Amirul Afiq Shafei dari SMK Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu pula diumumkan sebagai konduktor terbaik bagi kategori tersebut.

Bagi kategori Speech Choir Kumpulan Inspirasi pula, johan disandang oleh SMK Tengku Mahmud, Besut diikuti SM Imtiaz Dungun manakala SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu di tempat ketiga.

Konduktor terbaik untuk kategori itu ialah Wan Hazrena Wan Zakaria dari SMK Tengku Mahmud, Besut.

Bagi kategori Smart English, SK Gong Kapas muncul sebagai juara manakala naib johan disandang oleh SK Seri Gelugor, Kemaman dan SK Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang pula di tempat ketiga.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin berangkat ke majlis itu dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Baginda diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Datuk Prof. Emeritus Dr. Abdul Rahman Embong dan Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman.

Program kali kedua sejak diperkenalkan tahun lalu itu merupakan anjuran bersama YDSM yang dinaungi baginda dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama UMT.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: