Tuesday, July 19, 2011

SMK Ismail Petra muncul juara dua kategori tarian


Pasukan Petra Tari dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra meraikan kejayaan mereka pada Karnival Kebudayaan dan Kesenian Peringkat Negeri Kelantan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 18 Julai - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra muncul johan dua kategori tarian sempena Karnival Kebudayaan dan Kesenian Peringkat Negeri yang berlangsung di Bahagian Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Kumpulan itu mempersembahkan tarian gabungan zapin, joget riang ria dan inang burung di hutan bagi memenangi kategori Tarian Rampaian Tradisional dan Tarian Zapin Pekajang bagi kategori Tarian Etnik.

Guru penyelaras, Muhammad Zaidin Hussin berkata, pasukan tarian yang melibatkan seramai 12 pelajar itu mengadakan latihan sejak sebulan lalu bagi menyertai pertandingan tersebut.

Katanya, latihan diadakan dengan kerjasama Jalinan Anak Seni Teater, Tari dan Sastera Kelantan (Jastera) di bawah bimbingan Pengerusinya, Mohd. Zamani Mohd. Zain yang turut mencipta tarian berkenaan.

''Penyertaan dalam pertandingan ini merupakan pendedahan terbaik kepada pelajar dalam menimba pengalaman berguna," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, pelajar dari SMKIP menyertai pertandingan tersebut sejak tahun 2000 dan sebahagian daripada mereka kini aktif dalam aktiviti kebudayaan termasuk di luar Kelantan.

''Ramai daripada mereka terlibat sebagai artis tanah air dan mengharumkan nama Kelantan di Kuala Lumpur, antaranya Nik Nur Syayidah Yazib dan Catriona Ross,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: