Tuesday, July 19, 2011

Nukilan seni Shuryani


Shuryani Shuib menunjukkan dua buku terbarunya Flowers of My Heart dan The Other Side of The World .


Setiap kali ke luar negara mengikut suami bertugas mahupun bercuti, pasti ada 'buah tangan' yang beliau garap dalam buku catatannya.

Terlalu banyak yang dicatat hingga mampu melahirkan dua naskhah istimewa, Flowers of My Heart dan The Other Side of The World , yang merupakan koleksi puisi menceritakan keindahan perjalanan yang dilalui isteri Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah, Datin Seri Shuryani Shuib.

Menurut Shuryani, dua buah buku tersebut menampilkan bait-bait puisi indah bersama memoir yang digarap hasil cetusan ideanya sendiri.

Idea untuk menghasilkan buku tersebut didorong oleh keinginan untuk berkongsi pengalaman perjalanan yang dilalui.

"Dengan membukukan catatan tersebut, saya boleh berkongsi perasaan dan pengalaman yang dilalui. Diharap ia juga boleh menggembirakan orang lain.

"Menulis adalah sebahagian daripada minat saya dan saya rasa dengan tulisan ia boleh menjadi cermin kepada diri sendiri," katanya.

Malah kata Shuryani, penghasilan buku itu bukan semata-mata untuk kepuasan sendiri tetapi ia juga demi membantu masyarakat.

Ini kerana hasil jualan akan disumbangkan kepada Yayasan Semporna bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan di Sabah.

"Mungkin ini adalah salah satu cara saya untuk membantu golongan yang susah khususnya di kawasan Semporna, Sabah,'' ujarnya pada majlis pelancaran buku tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Hadir sama suami Shuryani, Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal.

Katanya, dana yang terkumpul hasil daripada jualan buku itu akan disalurkan kepada aktiviti pendidikan yayasan, termasuk pembiayaan pembelajaran selain membantu ibu tunggal, anak yatim serta golongan kurang berkemampuan.

"Justeru, sumbangan daripada jualan buku ini mampu secara langsung dapat memperbaiki struktur sosio ekonomi masyarakat Semporna melalui peningkatan taraf pendidikan terutamanya generasi muda," katanya.

Buku setebal 88 muka surat itu dijual kepada pembaca pada harga RM100 senaskah.

Sementara itu, Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, beliau amat mengagumi usaha isterinya itu.

Katanya, ia dilakukan bukan untuk dirinya sendiri, tetapi demi penduduk di kawasan yang diwakilinya itu.

"Bukan mudah untuk menulis puisi, tetapi isteri saya berjaya mengusahakannya. Saya yakin usaha untuk membantu masyarakat di Semporna ini tidak akan terhenti setakat ini saja," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: