Tuesday, July 19, 2011

Faizah, Ahmad Farhan pelajar terbaik Darul Quran


Ahmad Farhan Ahmad dan Faizah Mustapha bersama skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen Darul Quran di Darul Quran, Kuala Kubu Bahru, semalam.


HULU SELANGOR 18 Julai - Memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian membolehkan Faizah Mustapha meraih Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Konvokesyen Darul Quran edisi ke-20, dekat sini hari ini.

Faizah, 21, yang mengaku pernah berhasrat menyambung pengajian ke luar negara kini benar-benar bersyukur atas keputusannya memilih Darul Quran sebagai platform untuk menjadi seorang hafiz.

Berasal dari Kubang Kerian, Kelantan, dia yang aktif dalam kokurikulum berjaya meraih anugerah itu setelah memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.92 mata.

"Saya sebenarnya tidak sangka akan menerima anugerah ini dan ia membuatkan saya bertekad untuk lebih berjaya dalam bidang yang saya ceburi nanti.

"Syukur atas rezeki yang Allah berikan kepada saya. Ini adalah hadiah untuk ibu bapa saya yang tidak pernah berhenti menyokong dan mendorong saya selama ini," ujarnya.

Pemegang Diploma Tahfiz Al- Quran (Qiraat Syariah) ini menjadikan amalan memperbanyakkan doa dan memohon secara terus kepada Allah sebagai resipi kejayaannya.

Tambahnya, berkat niat serta kesungguhan mempelajari al-Quran untuk menjadi seorang hafiz, dia berjaya menghafaz kesemua 30 juzuk dalam tempoh setahun setengah berada di Darul Quran.

Turut menerima anugerah yang sama, Ahmad Farhan Ahmad, 23, yang memperoleh CGPA 3.86 dalam kursus Diploma Tahfiz Al-Quran.

"Kejayaan yang diperoleh ini mungkin hasil berkat niat yang ikhlas untuk menjadi seorang hafiz al-Quran serta kesungguhan menuntut ilmu tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

"Saya yakin selagi ada niat yang ikhlas dalam menuntut ilmu, Insya-Allah segala urusan seharian kita akan dipermudahkan-Nya," katanya.

Anak kelahiran Kampung Jawa, Selangor ini, bersyukur serta menghargai anugerah yang diterimanya itu dan menganggap ia suatu amanah yang perlu dipikul untuk membantu masyarakat.

Dia yakin kejayaan pasti akan datang sekiranya seseorang itu bersungguh-sungguh berusaha tanpa berputus asa serta menghormati semua orang termasuk ibu bapa dan pensyarah.

Ahmad Farhan yang juga aktif dalam kokurikulum khususnya silat cekak Hanafi berharap golongan hafiz akan bersatu untuk berdakwah dan menggalakkan masyarakat mempelajari serta mendalami ilmu al-Quran.

Pada majlis konvokesyen berkenaan, seramai 414 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: