|
|
DI mana sahaja biduanita Datuk Sharifah Aini mengadakan persembahan, pasti ada kelompok peminat setianya yang hadir memberi sokongan.
Terbaru, sebagai tanda kasih dan setia mereka kepada penyanyi itu, peminat dari Singapura, Sabah, Kedah dan hampir seluruh negara hadir menonton persembahan majlis Makan Amal Simfoni Kasih IKIM.fm Hapuslah Air Matamu Bersama Datuk Sharifah Aini.
Menurut Sharifah Aini, sejak menjadi mentor kepada Shiha menerusi program Mentor, sedikit sebanyak dia berjaya mengumpul peminat baru di kalangan anak-anak muda.
"Amat mengejutkan kerana setiap kali mengadakan persembahan, Kak Pah sedar ada wajah-wajah baru terutamanya di kalangan anak muda. Bagi Kak Pah itu satu penghargaan kerana anak-anak muda sekarang, tidak mudah untuk meminati penyanyi yang bukan sebaya," katanya.
Dia yang sudah 42 tahun dalam bidang seni berkata, di kalangan para peminatnya, ada juga para pelajar yang baru balik dari seberang laut.
Malah katanya, untuk kekal diminati sehingga kini lebih sukar berbanding ketika dia mula menapak mencipta nama dalam bidang seni suara.
Apa yang pasti kelunakan suara Sharifah Aini yang tetap merdu sejak dulu sehingga kini adalah di antara faktor kenapa dia terus diminati.
Selain anugerah bakat seninya, sikap Sharifah Aini yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja itu membuatkan orang ramai terus melekat menyokongnya.
"Kak Pah bersyukur kerana ada ketikanya publisiti untuk Kak Pah kurang tapi tawaran menyanyi tetap ada. Boleh dikatakan rezeki dalam bidang seni suara ini tidak pernah putus.
"Malah sejak dua tahun lalu, Kak Pah juga banyak menjayakan persembahan amal yang Kak Pah atur sendiri. Niat Kak Pah satu sahaja, biarlah rezeki yang Kak Pah perolehi dikongsi bersama mereka yang memerlukannya.
"Selalunya Kak Pah akan salurkan kepada sekolah-sekolah tahfiz di sekitar Lembah Kelang," katanya.
Menurut Sharifah Aini, walaupun usahanya itu kecil namun sedikit sebanyak ia memberi kepuasan kepadanya yang lebih dikenali sebagai ummi di kalangan peminat-peminat muda.
Justeru, dia merayu jika ada badan-badan korporat yang ingin melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing, agar sudilah menajanya menjayakan konsert amal.
"Alangkah gembiranya kalau ada yang ingin menaja Kak Pah buat persembahan amal macam Ikim. fm ini. Sekurang-kurangnya, kita sama-sama dapat membuat amal jariah.
"Walaupun belum ada tajaan besar, Kak Pah tetap teruskan projek amal yang Kak Pah buat sejak dua tahun lalu. Mudah-mudahan usaha ini dapat berkat daripada Allah," katanya tenang.
Pada majlis anjuran Ikim.fm itu juga, potret Sharifah Aini turut dilelong dengan harga RM500 dan bakal disalurkan kepada Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (IRM).
Meskipun ia majlis amal, namun sepanjang menonton persembahan Sharifah Aini, terasa seperti menonton konsert kerana penyanyi itu tidak berkira ketika mendendangkan lagu.
Dengan iringan keyboard oleh Belle dan tiga penyanyi latar, penyanyi berpengalaman itu mendendangkan hampir 20 buah lagu termasuk Seri Dewi Malam, Perasaanku, Permaidani, Keagungan Tuhan dan Terbang Helang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: