|
|
SATU per lima daripada keseluruhan penduduk dunia yang mewakili angka 6.5 bilion orang merupakan penganut agama Islam.
Melengkapkan keperluan makanan halal untuk pecahan itu, kos pengeluaran tahunannya dianggarkan bernilai antara RM4.5 bilion dan
RM6 bilion dengan peningkatan sekitar 10 peratus setiap tahun.
Melihat keperluan tersebut, banyak organisasi dan syarikat pengeluar makanan antarabangsa semakin memberi tumpuan kepada penyelidikan kualiti produk makanan halal.
Bagi tujuan sama, institusi pengajian tinggi (IPT) juga tidak ketinggalan menjalankan pelbagai kajian berkaitan status halal sesebuah produk makanan.
Objektifnya adalah untuk memastikan ketelusan operasi pengeluaran serta penghasilan produk makanan halal yang sememangnya tidak ada kompromi di kalangan masyarakat muslim.
Universiti Prince of Songkla (PSU) yang terletak di daerah selatan Thailand misalnya merupakan antara institusi pengajian yang mempunyai Pusat Kajian dan Penyelidikan Makanan Halal.
Ditubuhkan pada 2009, ia berfungsi sebagai pusat latihan, penyelidikan dan peningkatan sumber manusia dalam industri makanan halal Thailand.
Menurut Timbalan Pengarah, Pusat Sains Makanan Halal PSU, Suebsak Glinson, pusat tersebut turut berperanan sebagai perunding khidmat nasihat kepada para pengusaha produk makanan.
''Kebanyakan pengusaha tidak mempunyai pengetahuan yang luas dalam industri makanan halal. Jadi, kita mahu menyampaikan ilmu ini kepada mereka dalam bentuk latihan dan pengajaran.
''Menerusi cara tersebut, ia secara tidak langsung dapat memperluaskan skala industri makanan halal sekali gus membantu ekonomi para usahawan.
''Bukan setakat itu, kami turut menyediakan pangkalan data produk-produk halal untuk rujukan maklumat seperti pengeluar, kandungan dan bahan yang digunakan,'' katanya pada Pameran Makanan Asia 2001 Thaifex di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Bersempena pameran itu, rombongan para petani, penternak dan peladang dari Malaysia telah menyertainya di bawah program Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 anjuran Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT).
Bercerita mengenai Pusat Kajian dan Penyelidikan Makanan Halal PSU, Glinson memberitahu, pihak universiti telah membelanjakan lebih 30 juta bath untuk penyediaan bangunan dan peralatan penyelidikan.
Secara keseluruhannya, lebih 30 orang penyelidik terlibat dalam aktiviti penyelidikan halal merangkumi kajian sistem pengurusan kualiti, analisis proses dan keselamatan.
''Memperluaskan aktiviti ini, kita ada menjalankan kerjasama penyelidikan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Malaysia serta beberapa universiti di Indonesia.
''Di samping itu, PSU juga sedang dalam proses mencari pengeluar-pengeluar makanan halal di China untuk terlibat sama dalam penyelidikan ini,'' tambahnya.
Setakat ini, terdapat lebih 2,500 pengusaha makanan di selatan Thailand telah menyertai penyelidikan yang dijalankan PSU sekali gus mempraktikkan prosedur halal dalam operasi pengeluaran makanan mereka.
Antara produk tersebut adalah seperti masakan kari sejuk beku, karipap sejuk beku, ikan kering, ayam panggang, daging panggang dan udang panggang.
Penyelidikan lain PSU pula adalah berkaitan pembangunan mekanisme penentuan unsur-unsur tidak halal dalam makanan seperti gelatin, pelan pengeluaran bahan mentah, resipi dan nutrisi serta program keselamatan makanan.
Melengkapkan kajian dan penyelidikan makanan halal pusat tersebut, mereka turut disokong oleh beberapa komuniti PSU yang terdiri daripada pelbagai fakulti lain seperti perniagaan, pengurusan sumber manusia, kejuruteraan dan pengurusan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: