Monday, July 11, 2011

Pengorbanan Tom untuk Adam


STATUS ibu tunggal tidak menghalang Tom terus gigih menyanyi di kelab-kelab malam sejak sembilan tahun lalu.


WALAU sibuk mana sekalipun seseorang ibu itu, hati dan ingatannya tetap tidak akan melupakan anak-anaknya. Tidak kira walau di mana juga ibu itu berada. Apatah lagi, anak itu pula merupakan satu-satunya zuriat kurniaan Allah SWT buatnya.

Malah, bagi ibu tunggal seperti penyanyi kelahiran pertandingan nyanyian Mystarz LG, Tom, dia juga paling sukar melupakan anak tunggalnya, Adam yang kini berusia tiga tahun dua bulan. Adam adalah segala-galanya dalam hidupnya.

Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram berkata, sejak perkahwinannya gagal pada 30 April tahun lalu, anak lelakinya itulah menjadi sumber inspirasi dan memang sukar baginya untuk berpisah dengan Megat Ariel Shakur Mohd. Farhan atau Adam.

Sayangnya menurut Tom, dia terpaksa akur dengan desakan hidup yang memaksanya berdikari bagi membesarkan anaknya itu. Semua itu dilakukan bukan dengan kerelaan dan ia juga bukan alasan untuk dia berputus asa.

“Selagi saya hidup saya akan terus memastikan Adam membesar seperti kanak-kanak lain. Saya tidak salahkan takdir kerana terpaksa bercerai. Cuma yang lebih saya fikirkan sekarang ini ialah anak saya itu masih kecil.

“Mujurlah, keluarga bekas mertua saya amat memahami keadaan saya. Sejak Adam berusia dua bulan, anak saya itu berada di bawah jagaan ibu mertua saya di Permas Jaya, Johor Bahru. Saya tidak mahu berpisah dengan Adam.

“Tetapi apakan daya, saya terpaksa akur dengan keadaan. Apatah lagi, Adam adalah cucu pertama bekas ibu mertua saya itu. Keluarga bekas mertua saya amat menyayanginya,” katanya kepada Hits pada satu sesi fotografi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut penyanyi berusia 26 tahun itu, biarpun dia tinggal di Subang Jaya, Selangor tetapi itu bukan penghalang untuknya terus berhubungan dengan Adam setiap hari. Telefon menjadi tali penghubung dua beranak itu.

Tom juga sentiasa mencari peluang bersama anaknya itu jika ada masa terluang. Masa yang berkualiti itu akan dimanfaatkannya dengan sebaik mungkin.

“Saya bekerja sebagai penyanyi kelab malam. Biasanya siang saya tidur dan malam menyanyi bersama-sama kumpulan saya iaitu Hype No Rush ataupun Icon Band. Sebab itu, buat masa ini Adam kurang sesuai tinggal dengan saya.

“Bagaimanapun, kalau saya bercuti panjang misalnya dua minggu sehingga sebulan, saya akan membawa Adam tinggal bersama-sama di rumah saya di Subang Jaya. Ketika itu saya akan menghabiskan masa bersama-samanya.

“Sekarang ini, Adam kecil lagi. Apabila sudah besar nanti kalau boleh saya mahu dia terus tinggal bersama-sama saya. Kalau boleh saya tidak mahu berpisah dengan anak tunggal saya itu. Saya rindu padanya setiap hari,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: