|
AWAL tahun lalu pernah menyaksikan bagaimana kedua-dua artis ini terlibat dalam satu pergaduhan sehingga nama masing-masing terpalit dengan kontroversi.
Biasalah, yang satu menyalahkan pihak ini, yang seorang lagi menyalahkan pihak ini.
Sudahnya, masing-masing bersengketa sehingga kemudiannya menjadi bahan ketawa orang.
Mengklasifikasikan peristiwa itu sebagai satu salah faham, baik Didie Alias, 38, mahupun Roslan Shah, 41, masing-masing sudah tidak kuasa lagi mahu menoleh ke belakang dan mengungkit cerita lama.
Bagi mereka, insiden itu sekadar isu yang sengaja dibesarkan oleh sesetengah pihak walhal pada hakikatnya, apa yang terjadi cuma satu pertengkaran kecil.
Apa yang penting, itu adalah cerita lama, sekarang situasi sudah berubah.
Malah, ketika menyertai Konsert Pancaindera yang diadakan sempena penganjuran Pesta Sungai Melaka 2011 di Melaka baru-baru ini, mereka dilihat cukup serasi digandingkan sebagai pengacara.
Kali pertama digandingkan sebagai pasangan hos untuk program sedemikian, Didie dan Roslan menerima pujian daripada peminat yang suka menyaksikan celoteh mereka berdua.
Semalam di Fiesta Bera, Pahang, kedua-duanya muncul di pentas bagi menceriakan acara Santai Pop Yeh-Yeh Pancaindera. Kecoh pentas acara dibuatnya bila dua kepala ‘gila’ ini bertemu.
Ketika diajukan kepada Roslan mengenai hal ini, pelawak dan pengacara ini pantas mengiyakan.
“Betul.. banyak komen positif yang saya dan Didie terima daripada peminat mengenai cara kami mengendalikan program sebagai hos tempoh hari.
“Kami terima khidmat pesanan ringkas (SMS) dan ada juga yang beri kata-kata pujian melalui laman sosial Facebook. Semua kata kami pasangan hos yang serasi,” katanya.
Mungkin ada benarnya. Kalau dilihat pada Roslan, siapa yang tak kenal? Merupakan seorang penghibur serba boleh, Roslan tak pernah gagal menggamatkan mana-mana majlis jika dia berdiri sebagai seorang pengacara.
Begitu juga dengan Didie. Kebolehan Didie dalam memberikan jenaka yang spontan dan bersahaja menjadikan dia seorang artis yang versatil selain unik.
“Kami memang spontan di atas pentas. Tapi jangan ingat ia mudah.
“Bukan senang nak buat orang ketawa. Tapi Alhamdulillah, setakat ini kami tak punya masalah sebab masing-masing tak cuba menenggelamkan antara masing-masing kalau berada di atas pentas.
“Kami juga ada teknik 5P yang ada pada kami iaitu pelakon, pelawak, pengacara, penari dan penyanyi. Ternyata teknik ini menjadi,” katanya.
Dalam pada itu, Didie melahirkan rasa gembira kerana hubungan persahabatannya dengan Roslan sudah kembali jernih.
Malah, kata Didie, dia juga tidak pernah menganggap soal pergaduhan dengan Roslan satu ketika dahulu perlu menjadi dendam sehingga dibawa ke mati.
“Tak pernah wujud soal gaduh pun. Bertengkar tu biasalah, tapi bila orang luar dengar, mereka ingat kami gaduh besar.
“Buat apalah nak simpan marah tu lama-lama dalam hati. Kami ada dalam satu industri. Lambat laun berjumpa juga bukan?
“Saya dan dia pun dah lupakan apa yang berlaku dan kami sama-sama memaafkan. Lagipun kita ni bukannya manusia sempurna. Kadang-kadang ada terbuat salah tapi tak perlulah sampai nak berdendam lama,” katanya.
Debaran Didie
Dalam rancak menegaskan bahawa mereka berdua kini sudah berbaik, kata Didie, dia juga kini sedang berdebar menunggu tarikh 15 Julai yang bakal menyaksikan dia berdiri di pentas Anugerah Planet Muzik 2011 (APM) sebagai pengacara.
Ditanya mengenai saat menerima pelawaan itu, Didie dalam nada gembira spontan berkata “Oh..mestilah terkejut! Tak sangka sangat!”
Namun begitu, dalam keterujaan, dia juga mengaku tidak dapat menyembunyikan rasa gementar apalagi APM merupakan majlis pertama yang menyaksikan dirinya sebagai hos.
“Sembilan tahun lalu, semua orang tahu, Aznil Nawawi adalah pengacara tetap APM. Jadi bayangkan apa jangkaan orang ramai terhadap saya pula?
“Tapi jujurnya saya pun tak sangka akan diberi penghormatan dan kepercayaan untuk mengendalikan majlis sedangkan banyak lagi pengacara hebat macam Sarimah Ibrahim, Raja Azura dan Sharifah Syahirah.
“Pun begitu, saya lihat ia sebagai satu peluang untuk memperluaskan bakat mengacara yang ada. Tentunya saya akan ambil ia sebagai satu pengalaman yang sangat bermakna dalam hidup saya,” ujarnya.
Dalam pada itu kata pelakon drama berjudul Kum Kum The Series ini lagi, pentas APM juga akan dikongsi olehnya bersama tiga lagi pengacara sensasi daripada negara jiran iaitu Indonesia dan Singapura.
Komen Roslan terhadap Didie?
SAYA sudah berkawan lama dengan Didie. Bila ditanya Didie ini bagaimana orangnya, apa yang saya boleh cakap, dia seorang yang sangat berterus-terang.
Kalau dia tak suka, dia akan cakap depan. Saya juga senang bekerjasama dengan Didie sebab kami sama-sama tahu bagaimana cara untuk membantu antara satu sama lain ketika mengendalikan majlis. Karakter Didie juga unik dan itu menjadikan kami pasangan hos yang serasi.
Komen Didie terhadap Roslan?
KIRA-KIRA enam tahun lepas kami pernah bergandingan sebagai hos tetapi untuk majlis yang kecil sahaja. Namun dari situ, saya tahu yang kami boleh jadi pasangan hos yang serasi dan sama gila-gila. Seronok jadi rakan hos dengan Roslan kerana dia tahu bagaimana nak tarik perhatian penonton dengan cara dia tersendiri. Oh ya, jenaka Roslan juga boleh tahan kelakar ya!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: