Thursday, July 7, 2011

Rempit untuk mencari kepuasan


Gejala merempit di kalangan anak muda bagai tiada kesudahan.


MAT rempit, gelaran cukup sinonim dengan gejala sosial yang meruntuhkan akhlak anak-anak muda termasuk seks bebas, jenayah ragut, samseng jalanan dan sebagainya.

Biarpun sudah banyak dilakukan bagi membendung kegiatan golongan ini namun sehingga sekarang ia bagai tiada kesudahan dan terus menjadi duri dalam daging.

Apakah punca kegagalan itu disebabkan pendekatan yang kurang sesuai atau mungkin kerana masyarakat tidak memahami ‘siapa’ sebenarnya mereka ini.

Baru-baru ini, penulis berpeluang ‘melepak’ bersama beberapa orang mat rempit dalam usaha menyelami hati dan memahami apa sebenarnya yang dicari di sebalik kegiatan tersebut.

Ternyata personaliti mereka jauh berbeza apabila tiada helmet di kepala dan tangan tidak memulas ‘minyak’.

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa mereka ini menjadi ‘liar’ tatkala beradu kehandalan masing-masing di atas jalan raya.

“Sekarang susah untuk kami melepak di satu-satu kawasan kerana pihak berkuasa bukan sahaja mengacau malah mereka juga tidak pernah memberi peluang kepada kami untuk membela diri.

“Kami sememangnya begitu ‘hina’ di mata mereka (pihak berkuasa). Disebabkan itu sekarang ini kami lebih gemar mengisi minyak penuh dan membuang masa di atas jalan raya,” ujar Joe (bukan nama sebenar), salah seorang mat rempit yang ditemui.

Dia yang berusia awal 20-an mengakui dirinya seolah-olah ‘ketagih’ sekiranya tidak merempit satu hari.

Bercerita lanjut penglibatannya di dalam dunia rempit, jelas Joe, ia akibat daripada pengaruh rakan-rakan sebaya.

Walaupun pada mulanya dia tidak mempunyai motosikal, tetapi rakan-rakan sanggup meminjamkan dan bermula daripada situ Joe mula serius dan akhirnya hari ini dia merupakan salah seorang mat rempit yang disegani.

Banyak menghabiskan masa pada malam minggu, Joe juga tidak pernah terkecuali dengan perlumbaan haram bersama rakan-rakan rempit yang lain.

Bukan itu sahaja malah Joe juga sanggup berhabis wang ringgit untuk menjadikan motosikalnya yang terhebat di kawasan ‘jajahannya’.

Yang menjadi persoalannya, daripada manakah Joe memperoleh duit untuk membaiki dan ‘menyolek’ motosikalnya?

Setelah dirisik, rupa-rupanya Joe bekerja di siang hari malah kerja yang dilakukannya merupakan pekerjaan tetap di sebuah syarikat swasta.

Apabila ditanya bagaimana pula dengan penerimaan ahli keluarga terutama ibu bapa dengan ‘hobinya’ itu, Joe memberitahu mak bapa mana yang tidak risau apabila melihat anak mereka sering merayap setiap malam.

“Saya memang tinggal dengan keluarga dan sudah pasti emak yang paling kuat membebel.

“Tapi apa boleh buat, saya memang suka merempit, ia memberi kepuasan yang tidak terhingga apabila dapat memulas minyak hingga habis meter.

“Biarlah apa orang nak kata, lagipun yang merempit saya bukannya mereka dan yang tanggung akibatnya pun saya, mereka tiada kaitan langsung,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut seorang lagi rakannya, Black (bukan nama sebenar), dunia rempit hanya berkisar tentang kehebatan masing-masing di jalan raya dan bukannya raja lepak.

Untuk itu, sesiapa sahaja yang bergelar mat rempit pastinya berkebolehan menunggang dan mampu melakukan pelbagai skil berani mati seperti wheelie (mengangkat tayar hadapan) dan juga wikang (wheelie menggunakan tayar belakang).

Jelas Black lagi, dirinya tergolong dalam kategori mat rempit yang mementingkan kepuasan apabila dapat menarik minyak dengan kelajuan maksimum.

“Memang puas sangat kalau saya berjaya memecut laju dan sememangnya kami gemar memecut.

“Untuk itu, motosikal akan diubahsuai berkali-kali bagi mencapai kelajuan yang benar-benar maksimum,” tambahnya.

Katanya lagi, jika Joe merupakan mat rempit yang puas apabila dapat memecut, dirinya pula merupakan mat rempit yang lebih mementingkan hadiah wang kemenangan.

Bagi Black, lumba haram sudah sebati dalam dirinya dan dia tidak teragak-agak menyahut cabaran jika ada yang mencabar kemampuannya.

Sekiranya menang, kepuasan memang tidak dapat digambarkan kerana dalam masa yang sama diri turut diberi penghormatan.

Black juga tidak menyembunyikan fakta bahawa dirinya pernah ditahan polis gara-gara melanggar sekatan jalan raya.

Begitupun, selama menjadi mat rempit, kedua-dua remaja ini belum pernah lagi terbabit dengan kemalangan yang teruk cuma sekadar cedera ringan.

Yang pasti, mereka hanya melepaskan ‘gian’ masing-masing untuk membuktikan kemampuan diri dalam mengendalikan motosikal di jalan raya.

Mereka juga merupakan anak-anak muda yang ingin kehendak mereka difahami dan didengari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: